Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah sebab turunnya ayat 11 Surah al-Jumuah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.Anhuma bahawa beliau berkata:
أَقْبَلَتْ عِيرٌ يَومَ الجُمُعَةِ، ونَحْنُ مع النبيِّ ﷺ، فَثارَ النّاسُ إلّا اثْنَيْ عَشَرَ رَجُلًا، فأنْزَلَ اللَّهُ: ﴿وَإِذا رَأَوْا تِجارَةً أوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إلَيْها وتَرَكُوكَ قائِمًا
Maksudnya: Sebuah rombongan perniagaan datang pada hari Jumaat dan ketika itu kami sedang duduk bersama-sama dengan Nabi SAW. Kebanyakan yang duduk bersamasama Nabi SAW bergegas keluar kecuali 12 orang lelaki. Maka Allah SWT menurunkan ayat: (وَإِذَا رَأَوْا۟ تِجَـٰرَةً أَوْ لَهْوًا ٱنفَضُّوٓا۟ إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَآئِمًۭا)
Riwayat Bukhari(4899)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, allah SWT menjelaskan satu peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat di dalam Masjid Nabawi di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Para jemaah Jumaat bergegas keluar dari masjid ketika Baginda sedang menyampaikan khutbah Jumaat di atas mimbar. Mereka keluar untuk menyambut ketibaan rombongan peniaga yang baru sampai ke Madinah dengan membawa banyak barang-barang dagangan atau kerana mereka mendengar sesuatu hiburan lalu mereka keluar dari masjid untuk menyaksikannya.
Kebanyakan dari mereka meninggalkan Nabi SAW berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tetap duduk dan setia mendengar khutbah Nabi SAW tersebut. Lalu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya menjelaskan kepada mereka bahawa pahala dan ganjaran yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan yang mereka saksikan itu. Allah SWT adalah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/736-737)
Justeru kami katakan Bersegera untuk mengingati Allah dan mematuhi perintah Allah adalah lebih baik dari meneruskan urusan dunia dan perniagaan yang dilarang setelah dilaungkan azan Jumaat. Oleh itu, hendaklah kita bersegera untuk menyahut seruan Allah SWT pada hari Jumaat. Jangan kita menjadi seperti kaum Yahudi yang dilaknat menjadi kera kerana melanggar perintah Allah kepada mereka pada hari Sabtu.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam