#4530: Bahaya Sifat Nifak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri,  boleh terangkan kepada kami tentang bahayanya sifat nifak ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِذَا جَآءَكَ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ قَالُوا۟ نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُۥ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ ١ ٱتَّخَذُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ جُنَّةًۭ فَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٢ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ ثُمَّ كَفَرُوا۟ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ

Maksudnya: Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.  Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

(Surah al-Munafiqun: 1-3)

Allah SWT juga berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَاهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.”

(Surah Muhammad: 30)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan kemunafikan dalam bahasa Arab disebut al-nifaq, sering diertikan dengan “pengakuan dengan lidah dan pengingkaran dengan hati.” Al-Raghib al-Asfahani’ mengertikan nifaq iaitu “masuk ke dalam syariat dari satu pintu dan keluar melalui pintu yang lain.” Ungkapan yang lebih sederhana dikemukakan oleh al- Tabataba’i’ bahawa nifaq secara lisan menyatakan iman, tetapi hati menyatakan keingkaran, Istilah nifaq yang mengandung makna kemunafikan, muncul dalam al- Qur’an sebanyak 37 kali. Sementara itu, pengertian munafik secara terminologi menurut syariat Islam adalah orang yang menampakkan sesuatu yang sejalan dengan kebenaran di depan orang ramai, padahal dalam batinnya atau perbuatan yang sebenarnya tidak demikian.

Tanda-tanda orang munafik disebutkan dalam empat ciri. Berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, dia berkata Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَ يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ.

Maksudnya: “Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka dia disebut munafik tulen. Jika dia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sehinggalah dia meninggalkan perilaku tersebut, iaitu: jika diberi amanah, dia khianat; jika berbicara, dia berdusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi dan jika berselisih faham, dia akan berbuat zalim.”

(Riwayat Bukhari:34)

Sifat nifaq merosak iman. Amat berbahay kepada masyarakat. Dan jika dilihat kepada sejarah keruntuhan tamadun Islam adalah daripada sifat nifaq sebahagian umat Islam yang bermuka-muka dengan musuh islam dan bersekongkol dengan mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/748)

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Dengan mencipta pelbagai alasan untuk meninggalkan kebenaran akan menzahirkan kemunafikan.” (Lihat Tafsir wal Bayan. 2/684)

Justeru kami katakan sifat munafik ialah salah satu sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Oleh itu, marilah sama-sama kita menginsafi diri untuk mengelakkan dari terjerumus ke lembah kemunafikan dan tetap teguh dengan keIslaman serta keimanan sebagai Muslim dan mukmin sejati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam