#4532: Ganjaran Sosial Untuk Beramal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh terangkan kepada kami apa dia ganjaran sosial untuk beramal? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ‎﴿٧﴾‏ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ‎﴿‏

Maksundya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Surah al-Zalzaah:7-8)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menurut Ibn Khaldun, manusia secara semulajadinya suka berorganisasi dan berkumpulan. Justeru, mereka akan memanfaatkan semua unsur yang ada bagi merealisasikan kehendak berorganisasi tersebut. Salah satu perkara penting dalam organisasi ialah konsep ganjaran atau upah bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang dilakukan. Ganjaran ini bukan sahaja meningkatkan motivasi dan semangat bekerja, bahkan dapat mengeratkan hubungan serta mengikat antara hati-hati anggota masyarakat.

Firman Allah SWT:

وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ‎

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.

(Surah al-Taghabun:9)

Penceritaan syurga dalam al-Quran adalah sebagai ganjaran kepada orang yang beriman dan beramal soleh adalah satu bentuk ganjaran sosial yang dapat meningkatkan motivasi dan keinginan berusaha ke arahnya. Ditambah lagi gambaran syurga yang dipenuhi sungai yang mengalir tenang dicelah-celah pokok dapat menyemarakkan cinta tersebut. Apabila ganjaran sosial ini sentiasa diulang-ulang dengan skrip yang sama, ia lebih mengukuh dalam jiwa pendengar seolah-olah mereka melihat kenikmatan syurga itu di depan mata. Gambaran ini bukan sahaja menenangkan jiwa, bahkan dapat mengheret emosi untuk menikmati keseronokan tersebut tanpa batas.

Justeru, apa yang membezakan syurga dengan ganjaran sosial yang lain adalah ia merupakan satu-satunya ganjaran sosial yang hanya mampu dirasai oleh perasaan tanpa dinikmati secara jasad. Ini kerana ganjaran sosial ialah ganjaran bagi kehidupan seterusnya yang telahpun didedahkan maklumatnya kepada manusia sebelum mereka melaluinya. Namun, apabila manusia telah melalui fasa itu, mereka akan menikmati ganjaran syurga yang sangat jauh bezanya daripada gambaran yang mereka peroleh sebelumnya. Syurga penuh dengan pelbagai nikmat dan rezeki yang tidak tergambar dek akal manusia! (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/762)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam