#4536: Memahami Ayat 4 dan 5 Dari Surah al-Ahzab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya suka membaca al-Quran berserta dengan terjemahannya untuk lebih menghayati Kalamullah. Tetapi, ada beberapa ayat yang terkadang saya kurang faham mesej yang ingin disampaikan, antaranya adalah ayat 4 dan 5 Surah al-Ahzab. Boleh ustaz terangkan sedikit berkenaan ayat ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami ucapkan syabas atas semangat saudara yang berusaha untuk memahami ayat-ayat Allah SWT. Moga dengan semangat ini, saudara dikurniakan kefahaman yang baik dan pahala yang berlipat kali gandanya dari Allah SWT. Amin.

Seterusnya, kami bawakan firman Allah SWT dalam ayat 4 dan 5 dari Surah al-Ahzab:

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍۢ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِۦ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَٰجَكُمُ ٱلَّـٰٓـِٔى تُظَـٰهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَـٰتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَٰهِكُمْ ۖ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِى ٱلسَّبِيلَ (٤) ٱدْعُوهُمْ لِـَٔابَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوٓا۟ ءَابَآءَهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَمَوَٰلِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌۭ فِيمَآ أَخْطَأْتُم بِهِۦ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًا (٥)

Maksudnya: “Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu ‘zihar’kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber-bin-kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maula kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 4-5)

Kedua-dua ayat ini memfokuskan larangan terhadap 2 amalan Jahiliyyah yang masih berlaku dalam kalangan sahabat pada ketika itu. Pertamanya adalah amalan zihar, dan keduanya adalah menisbahkan anak angkat kepada bapa angkat.

Larangan Zihar

Perbuatan zihar adalah salah satu budaya Jahiliyyah. Ianya diharamkan dalam Islam. Sekiranya seorang suami hendak menceraikan isterinya maka dia hendaklah menceraikannya dengan cara yang baik. Bukan dengan menyamakan isterinya dengan ibunya atau perempuan yang menjadi mahramnya.

Amalan zihar telah menyebabkan berlakunya penganiayaan terhadap wanita yang bergantung tidak bertali apabila suaminya tidak menyetubuhi kerana menganggap ucapannya memberi kesan lantas taraf isterinya sama dengan ibu. Islam membatalkan fahaman ini, sepertimana dalam firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِنكُم مِّن نِّسَآئِهِم مَّا هُنَّ أُمَّهَـٰتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَـٰتُهُمْ إِلَّا ٱلَّـٰٓـِٔى وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًۭا مِّنَ ٱلْقَوْلِ وَزُورًۭا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌۭ

Maksudnya: “Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka dari kalangan kamu bahwasanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Mujadilah: 2)

Imam Ibn Kathir menyatakan dalam tafsirnya, asal zihar adalah dari kalimah al-zahr (bahagian belakang). Hal ini kerana, golongan Jahiliyyah apabila mereka saling menziharkan isteri mereka, mereka akan berkata kepada isterinya: “Kamu ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibuku.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/42)

Di tempat kita, perbuatan zihar jarang berlaku kerana perbezaan budaya dan bahasa menyebabkan fenomena ini sukar untuk berlaku secara sengaja. Namun begitu hukum ini tidak boleh diremehkan kerana bersangkut dengan hukum halal dan haram dalam hubungan suami isteri. Justeru, menjadi kewajiban kepada suami untuk mengetahui implikasi ucapannya kepada isteri dan menjauhi ucapan yang membawa kepada zihar.

Menisbahkan Anak Angkat Kepada Bapa Angkat

Begitu juga termasuk dalam budaya Jahiliyyah adalah panggilan mereka terhadap anak-anak angkat yang mereka jaga. Mereka memanggil anak-anak dengan di-bin-kan kepada nama mereka, sehingga orang menyangka anak itu adalah anak kandung. Perbuatan ini juga bertentangan dengan al-Quran.

Isu menisbahkan anak angkat kepada bapa angkat ini merupakan suatu masalah sosial yang tidak boleh dipandang remeh. Sememangnya ada kes-kes yang ditemui bapa angkat berjaya mendaftarkan anak angkat untuk dibinkan kepadanya. Pada sangkaan keluarga angkat tersebut, itulah pilihan terbaik supaya anak angkat itu tidak terbelenggu dengan statusnya sebagai anak angkat apabila meningkat dewasa. Namun, hakikatnya tidak seperti itu.

Anak-anak angkat sebenarnya berasa tertipu dan hilang kepercayaan kepada ayah atau ibu angkat yang menjaganya sejak kecil apabila diperlakukan sebegitu. Apabila dewasa, jika anak angkat itu adalah anak perempuan, maka akan timbul isu perwalian dalam pernikahan yang wajib mengutamakan ayah kandung. Begitu juga dalam bab pembahagian harta pusaka yang biasa menjadi sebab pergaduhan sesama ahli keluarga.

Justeru, sikap yang paling benar adalah berlaku jujur dengan anak angkat dengan memanggil mereka dengan ber-bin-kan kepada bapa kandung mereka daripada hubungan yang sah supaya tidak menjadi masalah pada masa akan datang. Syari‘at yang Allah SWT turunkan ini pasti mempunyai maslahah yang lebih besar daripada apa yang sesetengah orang runsingkan apabila dilaksanakan.

Imam Ibn Kathir berkata, ayat dalam Surah al-Ahzab ini diturunkan untuk memutuskan penasaban anak angkat kepada ayah angkat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/376)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menisbahkan seseorang kepada selain nama bapanya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.”

Riwayat Ibn Majah (2609)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 206)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, dapat difahami bahawa ayat 4 dan 5 dari Surah al-Ahzab ini berfokus kepada 2 masalah yang dahulunya menjadi budaya Arab Jahiliyyah. Lalu Allah SWT menurunkan kedua-dua ayat ini sebagai bimbingan buat hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak menuruti jejak langkah Jahiliyyah ini.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama ini, seterusnya dapat mengamalkannya dengan benar dalam kehidupan seharian. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam