#4538: Kemuliaan Ummahat al-Mu’minin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Ummahat al-Mu’minin mempunyai kemuliaan yang khusus?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, menjadi Ummahat al-Mu’minin itu sendiri merupakan kemuliaan yang khusus buat para isteri Rasulullah SAW dengan diangkat darjat mereka di sisi Allah SWT. Dalam pada itu, mereka tetap diuji dengan keduniaan sepertimana yang direkodkan Allah SWT dalam kitab-Nya, lalu disertai dengan teguran ke atas mereka agar mereka dapat menjadi contoh kepada sekalian isteri di dunia ini. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًۭا جَمِيلًۭا (٢٨) وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَـٰتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًۭا (٢٩) يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَـٰحِشَةٍۢ مُّبَيِّنَةٍۢ يُضَـٰعَفْ لَهَا ٱلْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًۭا (٣٠)

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut‘ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar’. Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.”

(Surah al-Ahzab: 28-30)

Imam Ibn Kathir berkata, ini merupakan perintah Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW agar memberikan pilihan kepada para isteri Banginda, sama ada ingin diceraikan supaya mereka boleh berkahwin dengan orang lain dan memperoleh kehidupan dan perhiasan dunia, atau mereka ingin bersabar atas sempitnya keadaan dan dikurniakan kepada mereka ganjaran yang emlimpah dari Allah SWT. Ummahatul Mu’minin R.Anhun pun memilih Allah SWT, Rasul-Nya dan juga hari akhirat. Maka Allah SWT menghimpunkan buat mereka kebaikan dunia dan juga kebahagiaan di akhirat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/359)

Di dalam ayat di atas, jelas menunjukkan sifat-sifat mulia pada Ummahat al-Mu’minin yang memilih akhirat yang kekal abadi berbanding harta dunia yang sementara. Ketika para isteri-isteri Nabi SAW diberi pilihan untuk sama ada harta perhiasan dunia atau mereka menginginkan bersama Rasulullah SAW dan mendapat ganjaran di akhirat, lalu mereka memilih Rasulullah SAW dan ganjaran di akhirat.

Di samping itu, Allah menyebut bahawa isteri-isteri Nabi tidak seperti wanita-wanita lain bahkan Allah SWT memanggil isteri-isteri Baginda dengan sebaik-baik panggilan. Ini adalah satu pengiktirafan akan kedudukan dan kemuliaan mereka. Firman Allah SWT:

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍۢ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌۭ وَقُلْنَ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا

Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu bukanlah seperti perempuan yang lain jika kamu bertakwa.”

(Surah al-Ahzab: 32)

Imam al-Alusi di dalam tafsirnya menyebut bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW sama sekali tidak sama dengan wanita-wanita yang ada di zamannya. Mereka mendapat dua kemuliaan, pertama menjadi isteri Nabi SAW dan yang kedua menjadi ibu-ibu bagi orang Mukmin. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 11/185)

Panggilan (يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ) iaitu ‘Wahai isteri-isteri Nabi’ juga secara zahirnya sudah menjelaskan kemuliaan mereka. Ini kerana ianya dinisbahkan kepada Rasulullah SAW yang sudah pasti mempunyai keistimewaan. Lebih penting daripada itu, mereka adalah merupakan Ahli al-Bait Rasulullah SAW. Terdapat sebahagian pihak yang cuba menafikan kedudukan sebahagian daripada Ummahat al-Mu’minin sebagai Ahli al-Bait. Allah SWT mengiktiraf isteri-isteri Rasulullah SAW sebagai Ahli al-Bait tanpa dikecualikan seorang pun. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hendak menghapuskan sebarang dosa dan kecelakaan daripada diri kamu, wahai Ahli al-Bait dan membersihkan kamu daripada segala perkara keji sebersih-bersihnya.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini ayat yang akhir diturunkan dan dikhususkan kepada isteri-isteri Nabi SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/584)

Kesimpulan

Kami katakan, sudah pasti bagi Ummahatul Mu’minin itu kemuliaan mereka yang khusus, yang tidak ada pada wanita lain di dunia ini. Justeru, sebarang usaha untuk menafikan kedudukan Ummahat al-Mu’minin R.Anhun sebagai Ahli al-Bait adalah satu perkara yang secara jelas bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Begitu juga, sewajarnya bagi kita untuk mengambil iktibar daripada sikap qana‘ah (merasakan cukup) dan toleransi para isteri Rasulullah SAW. Mereka memilih untuk tidak meminta kemewahan dunia yang berlebihan, bahkan memilih Allah SWT dan Rasulullah SAW serta kenikmatan yang abadi di akhirat kelak.

Kami telah huraikan manaqib Ummahat al-Mukminin dalam kitab kami yang bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Sila rujuk untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita sifat sabar, merasa cukup dan toleransi terhadap pasangan kita selama melayari bahtera perkahwinan bersama. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam