Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menggunakan khidmat jin? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk.
Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Jin berbeza dengan al-Insan. Lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu.
Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89).
Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Firman Allah SWT :
إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”
(Surah al-‘Araf: 27)
Tahir bin ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ia membawa makna bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/26).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Islam melarang umatnya daripada mengambil atau menggunakan khidmat jin apatah lagi dalam melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak malah ia merupakan salah satu bentuk kesyirikan. Selain itu, mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya.
Allah SWT berfirman:
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌۭ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍۢ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًۭا
Maksudnya: “Dan bahawasanya terdapat sebahagian lelaki daripada manusia yang meminta perlindungan daripada sebahagian lelaki dalam kalangan jin, maka dengan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
(Surah al-Jin: 6)
Meminta perlindungan daripada jin kerana mempercayai jin boleh berbuat sesuatu yang mustahil, jin mengetahui segala perkara, sedangkan apa yang diminta itu diluar keupayaan jin. Perbuatan ini menambahkan lagi kesusahan pada manusia, kesesatan daripada jalan yang benar dan terpesong daripada hidayah Allah.
Ibn Kathir menyebutkan, ketika jin-jin itu melihat bahawa manusia memohon perlindungan diri kepada mereka, maka mereka pun semakin menambahkan rasa takut dan seram serta sifat pengecut sehingga manusia merasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam memohon perlindungan diri kepada mereka. Qatadah menyebut, (فَزَادُوهُمْ رَهَقًۭا) “menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat,” iaitu dosa. Dengan demikian, jin semakin bertambah berani melawan mereka. Mereka yang cuba untuk mendapatkan khidmat jin biasanya beranggapan bahawa jin mengetahui perkara-perkara ghaib. Sedangkan pada hakikatnya, jin tidak mengetahui perkara ghaib. Hal ini jelas sepertimana yang berlaku dalam kisah Nabi Sulaiman A.S, Surah Saba’ ayat 14:
فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ ٱلْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِۦٓ إِلَّا دَآبَّةُ ٱلْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُۥ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ ٱلْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٱلْغَيْبَ مَا لَبِثُوا۟ فِى ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ
Maksudnya: “Apabila Kami telah menetapkan kematian Nabi Sulaiman, tiada tanda-tanda yang menunjukkan kematiannya kepada golongan jin itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Kemudian apabila Baginda rebah, ternyatalah kepada mereka bahawa sekiranya mereka mengetahui perkara ghaib, tentulah mereka tidak tinggal sebegitu lama dalam seksa kerja berat yang menghina.”
(Surah Saba’: 14)
Al-Maraghi menyatakan, setelah Kami mewafatkan Nabi Sulaiman A.S, sehinggalah jin melihat tongkatnya dihurungi anai-anai barulah mereka mengetahui kewafatannya. Ini disebabkan Nabi Sulaiman A.S wafat dalam keadaan berdiri sambil memegang tongkat sehingga akhirnya tongkatnya hancur dimakan anai-anai, barulah baginda jatuh tersungkur. Kemudian barulah jin menyedari sebenarnya mereka tidak mengetahui perkara ghaib dan mereka tetap meneruskan pekerjaan yang diamanahkan oleh Nabi Sulaiman kerana mereka menyangka Baginda masih hidup. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/68).
Begitu juga Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 September 1995 telah membincangkan Penggunaan Jin Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara-perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
- Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
- Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
- Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terbitan JAKIM, hlm. 8).
Dalam masyarakat Melayu juga, banyak berlaku kepercayaan-kepercayaan seumpama ini. Amalan-amalan seperti menjamu pulut semangat, tepung tawar, puja pantai, puja semangat padi dan sebagainya dipercayai ada hubungannya dengan kepercayaan terhadap jin yang sama ada membawa kepada mudarat atau manfaat. (Lihat Berpawang dan bersahabat dengan Jin oleh Jahid Sidek, terbitan Utusan Publication, hlm. 17-26).
Mereka ini sepatutnya berfikir untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi itu melalui akal dan pemikiran yang sihat, tetapi mereka lebih suka mempercayai perkara khurafat dan dongeng. Mereka sepatutnya berdoa kepada Allah untuk mendapatkan hajat mereka, tetapi mereka lebih berminat untuk mendapatkan pertolongan jin, dengan beranggapan jin boleh menyekat apa yang tidak disukai mereka dan membawa apa yang mereka sukai. Oleh itu, berdasarkan apa yang dinyatakan, jelas menunjukkan di sini bahawa menggunakan khidmat jin adalah dilarang bagi menyekat jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan akidah.
Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/182-184).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”