#4541: Bertajwid dan Tartil dalam Bacaan al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Tuntutan tartil dan tajwid, adakah ia memberi kesan dalam pembacaan al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا ٤ إِنَّا سَنُلْقِى عَلَيْكَ قَوْلًۭا ثَقِيلًا

Maksudnya: “Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan tartil (4). (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

(Surah al-Muzammil: 4-5)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, bacaan secara tartil merupakan kaedah bacaan al-Quran yang paling utama. Rasulullah SAW mengamalkan bacaan tartil kerana telah diperintahkan Allah SWT menerusi Surah al-Muzammil.

Terdapat riwayat daripada Ya‘la bin Mamlak menceritakan bahawa Ummu Salamah R.Anha meriwayatkan mengenai bacaan al-Quran oleh Rasulullah SAW:

ثُمَّ نَعَتَتْ قِرَاءَتَهُ فَإِذَا هِيَ تَنْعَتُ قِرَاءَةً مُفَسَّرَةً حَرْفًا حَرْفًا

Maksudnya: “Kemudian Ummu Salamah R.Anha menyifatkan bagaimana bacaan al-Quran Rasulullah SAW, Baginda membacanya dengan bacaan yang jelas iaitu perkataan demi perkataan.”

Riwayat al-Tirmizi (2923) dan beliau menyatakan, hadith ini hasan gharib.

Perbuatan terlalu mempercepatkan bacaan adalah makruh dan boleh mencapai hukum haram apabila sengaja menukar huruf dan meminggirkan ayat tertentu sehingga mencacatkan kesempurnaan ayat.

Bacaan tartil bermakna membaca al-Quran sebagaimana bacaan al-Quran ketika diturunkan oleh Allah SWT. Bacaan ini tidak berpisah dengan tuntutan tajwid. Ibn al-Jazari menerangkan:

فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا تَعَسُّفٍ وَلَا إِفْرَاطٍ وَلَا تَكَلُّفٍ

Maksudnya: “Tajwid merupakan kemanisan dan perhiasan bagi tilawah (bacaan). Yakni ia dilakukan dengan memberikan hak kepada huruf-huruf dan susunan huruf (kalimah) berdasarkan keadaannya. Seterusnya, menyebut huruf berdasarkan makhrajnya dan (mempraktikkan) cara bacaan asalnya. Seterusnya, membacakan (al-Quran) dengan disiplinnya, membetulkan lafaznya dan melembutkan sebutannya berdasarkan situasi tertentu. Segala bacaan (dilaksanakan) secara sempurna terhadap paparannya (ayat-ayat). Ini semua dilakukan tanpa penyelewengan, berlebih-lebih atau mengurangkan (tuntutan tajwid).” (Lihat al-Nasyr fi al-Qiraat al-‘Asyr, 1/212).

Antara implikasi bacaan tartil adalah ia dapat mempengaruhi jiwa para pembaca al-Quran tambahan lagi ketika waktu tahajjud. Sebagai contoh, detik Islam yang bertarikh 10 Ogos 2012 menyentuh pengaruh bacaan al-Quran terhadap fizikal dan spiritual manusia. Artikel itu menyentuh kajian Dr. al-Qadhi di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, yang berjaya membuktikan hanya dengan mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, seseorang Muslim dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar. Kajiannya mendedahkan bahawa berlakunya penurunan tekanan, kesedihan dan memperoleh ketenangan jiwa.

Kajiannya dilaksanakan dengan bantuan peralatan elektronik untuk mengesan tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dr. al-Qadhi membuat kesimpulan bahawa bacaan al-Quran memberikan kesan yang besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan memberi kesan kepada aspek kesembuhan penyakit.

Sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984 turut mendedahkan al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya. Dalam kajian yang lain, al-Quran dinyatakan menyumbang pengaruh besar terhadap bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kauseling dan Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi yang berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran daripada perakam suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/205-206).

Oleh yang demikian, sebagai penutupnya, jelaslah bahawa bacaan al-Quran secara tartil yang dibaca dengan tajwid, menjaga makhrajnya dan seumpamanya yang termasuk dalam tuntutan pembacaan al-Quran, di samping menghadirkan hati dan keikhlasan serta menghayati maknanya, dapat memberi kesan kepada jiwa, kerohanian, kesihatan seseorang Muslim. Lebih-lebih lagi, di sana terdapat beberapa kajian telah dilakukan dan membuktikan kemukjizatan bacaan al-Quran.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”