#4545: Kenikmatan Sebagai Ganjaran kepada Orang yang Taat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh sebutkan sebahagian kenikmatan yang akan diperoleh oleh golongan yang Abrar sebagai ganjaran atas ketaatan mereka? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَوَقَىٰهُمُ ٱللَّهُ شَرَّ ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمِ وَلَقَّىٰهُمْ نَضْرَةًۭ وَسُرُورًۭا ١١ وَجَزَىٰهُم بِمَا صَبَرُوا۟ جَنَّةًۭ وَحَرِيرًۭا ١٢ مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ ۖ لَا يَرَوْنَ فِيهَا شَمْسًۭا وَلَا زَمْهَرِيرًۭا ١٣ وَدَانِيَةً عَلَيْهِمْ ظِلَـٰلُهَا وَذُلِّلَتْ قُطُوفُهَا تَذْلِيلًۭا ١٤ وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِـَٔانِيَةٍۢ مِّن فِضَّةٍۢ وَأَكْوَابٍۢ كَانَتْ قَوَارِيرَا۠ ١٥ قَوَارِيرَا۟ مِن فِضَّةٍۢ قَدَّرُوهَا تَقْدِيرًۭا ١٦ وَيُسْقَوْنَ فِيهَا كَأْسًۭا كَانَ مِزَاجُهَا زَنجَبِيلًا ١٧ عَيْنًۭا فِيهَا تُسَمَّىٰ سَلْسَبِيلًۭا ١٨ ۞ وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَٰنٌۭ مُّخَلَّدُونَ إِذَا رَأَيْتَهُمْ حَسِبْتَهُمْ لُؤْلُؤًۭا مَّنثُورًۭا ١٩ وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًۭا وَمُلْكًۭا كَبِيرًا ٢٠ عَـٰلِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌۭ وَإِسْتَبْرَقٌۭ ۖ وَحُلُّوٓا۟ أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍۢ وَسَقَىٰهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًۭا طَهُورًا ٢١ إِنَّ هَـٰذَا كَانَ لَكُمْ جَزَآءًۭ وَكَانَ سَعْيُكُم مَّشْكُورًا

Maksudnya: “Lalu Allah pelihara mereka daripada ditimpa keburukan hari tersebut dan dikurniakan kepada mereka wajah yang berseri-seri kegembiraan (11). Dan ganjaran kepada mereka dengan sebab kesabaran ialah  syurga dan pakaian daripada sutera (12). Mereka duduk berbaring di dalam syurga di atas pelamin-pelamin, tidak pula ternampak matahari mahupun kesejukan yang berlebihan (13). Hampir dengan mereka ialah naungan pohon-pohon, serta buah-buahannya pula dipermudahkan untuk dipetik. (14) Dan mereka dikelilingi pelayan dengan bekas daripada perak, dan gelas-gelas yang jernih seperti kaca (15). Gelas yang jernih itu hakikatnya daripada perak, yang mereka tentukan isi padu airnya dengan tepat, tidak kurang mahupun lebih (16). Juga mereka diberi minum di dalamnya segelas air yang dicampur dengan Zanjabil (17). Iaitu suatu mata air di dalam syurga yang diberi nama Salsabil (18). Mereka dikelilingi oleh pelayan kanak-kanak lelaki yang tetap muda; jika kamu perhatikan mereka, kamu sangka mereka seolah-olah mutiara yang bertaburan (19). Dan jika kamu melihat dan memerhatikan, nescaya kamu dapati nikmat-nikmat yang tak terhingga, juga kerajaan yang besar lagi agung (20). Mereka diberi pakai baju yang diperbuat daripada sutera halus berwarna hijau dan baju daripada sutera tebal serta diberi pakai gelang-gelang daripada perak. Tuhan mereka pula memberi minum daripada air yang suci bersih (21). Sesungguhnya semua itu ialah ganjaran serta balasan kepada kamu, dan usaha-usaha kamu di dunia diterima dan dihargai oleh Allah.

(Surah al-Insan: 11-22)

Terlebih dahulu kami kemukakan takrifan ringkas berkenaan golongan Abrar. Perkataan abrar (ٱلْأَبْرَارَ) adalah kata jamak daripada kata birr (برّ) yang bermaksud ahli kejujuran, taat dan ikhlas, orang yang tidak mengganggu sesiapapun walaupun semut. Orang yang berbakti kepada orang tua dan anak-anak mereka. Dalam konteks ayat 5 daripada Surah al-Insan, perkataan “al-abrar” ialah orang yang bersyukur, menunaikan hak Allah SWT, nazar dan janji, memberi makan kepada orang miskin ikhlas kerana Allah SWT dan takut dengan ancaman akhirat. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/379; Tafsir al-Qurtubi, 19/125; al-Tafsir al-Munir,29/286; Tafsir Ibn Kathir, 8/298).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Allah SWT berfirman dengan menggambarkan suasana di dalam syurga dan kenikmatannya sebagai ganjaran orang yang taat (al-Abrar). Terdapat 14 gambaran kenikmatan syurga yang dijelaskan dalam surah al-Insan daripada ayat 11 hingga 22 seperti berikut:

  • Selamat daripada kesengsaraan dan azab pada hari akhirat.
  • Wajah berseri-seri dan kegembiraan di hati.
  • Ganjaran atas kesabaran di dunia dikurniakan pakaian sutera yang indah yang jauh berbeza dengan sutera dunia.
  • Tempat tinggal yang menyeronokkan. Terdapat tempat duduk yang tenang, nyaman, dan mewah. Kebiasaannya duduk sebegini adalah duduk bersandar pada bantal. Manakala tempat tidur dihiasi dengan tirai dan cadar yang indah.
  • Cuaca syurga tidak panas menyengat dan tidak sejuk yang mencengkam, hanya kenyamanan yang kekal abadi.
  • Rimbunan pohon-pohan syurga yang bertautan antara satu sama lain dan menaungi ahli syurga ke mana-mana mereka pergi.
  • Buah-buahan yang dipermudahkan untuk memetiknya mengikut keadaan ahli syurga sama ada sedang berdiri, duduk mahupun baring. Pokok yang dipenuhi buah-buahan itu seakan-akan pendengar yang patuh menurut perintah ahli syurga tatkala berhajatkan buahnya.
  • Perkakas hidangan untuk ahli syurga terdiri daripada perak seperti gelas arak yang tidak bertangkai, tempat hidangan makanan dan sebagainya.
  • Minuman ahli syurga yang terdiri daripada arak dengan pelbagai campuran seperti campuran halia yang hangat, campuran kafuur yang dingin. Mereka juga diberi minum dari mata air surga yang dinamakan Salsabil, kerana kelembutan airnya, mudah mengalir, turun ke bawah dan ditelan di kerongkong ahli syurga.
  • Pelayan muda yang jelita dan tampan bagaikan mutiara yang bertaburan kerana keindahan wajah mereka, kulit putih, pakaian dan perhiasan yang indah. Mereka melayani ahli syurga dengan penuh keriangan.
  • Jika kamu melihat jauh di syurga berikut kenikmatan, keluasan, tingginya, kegembiraan dan kegirangan yang ada di dalamnya, kamu akan melihat kenikmatan yang tidak terperi, begitu juga dengan kekuasaan dan kerajaan besar yang tidak terukur besar dan megahnya.
  • Pakaian dan perhiasan ahli syurga terdiri daripada sutera bernilai tinggi, halus, dan berwarna hijau, ada tebal berkilauan yang dipakai di dalam dan di luar.
  • Perhiasan ahli syurga terdiri daripada gelang-gelang perak. Adakalanya mereka menghiasinya dengan emas, atau batu permata yang indah.
  • Minuman air yang bersih dan suci. Selepas ahli syurga diberi makanan, pada akhirnya mereka diberi minuman suci. Mereka meminumnya lalu keringat keluar dari tubuh mereka seperti aroma kasturi. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/281-282).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”