#4548: Kejadian Manusia Sebagai Bukti Adanya Hari Kiamat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah proses kejadian manusia sebagai bukti kedatangan hari kiamat dan bagaimana kejadian janin pada fasa segumpal daging?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن تُرَابٍۢ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍۢ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍۢ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍۢ مُّخَلَّقَةٍۢ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍۢ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًۭا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنۢ بَعْدِ عِلْمٍۢ شَيْـًۭٔا ۚ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ هَامِدَةًۭ فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنۢبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍۢ ٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّهُۥ يُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَأَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

Maksudnya: “Wahai manusia! Jika kamu berasa ragu-ragu terhadap hari kebangkitan, maka perhatikanlah bahawa Kami telah menciptakan kamu pada asalnya daripada tanah. Kemudian selepas itu, Kami jadikan kamu pula daripada air mani, lalu seterusnya kamu menjadi gumpalan darah yang kemudiannya menjadi ketulan daging. Ada antara daging itu yang kami bentukkannya menjadi janin dan ada yang Kami gugurkan. Kesemua ini menunjukkan kepada kamu kekuasaan Kami dalam menciptakan kamu secara berperingkat. Kami menetapkan di dalam rahim apa yang Kami kehendaki pada janin itu, sehinggalah sampai tempoh yang telah ditetapkan. Kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi dan seterusnya kamu membesar sehingga dewasa. Ada antara kamu yang Kami matikan sebelum menjadi dewasa. Ada pula antara kamu yang Kami panjangkan umurnya sehingga dia menjadi nyanyuk tidak lagi mengetahui apa yang diketahuinya dahulu. Demikian juga satu bukti yang lain tentang hari kebangkitan ialah ketika kamu melihat bumi yang kering kontang, lalu Kami turunkan air ke atasnya maka ia mula mengeluarkan tunas, subur membesar dan menjadi tumbuhan yang menghasilkan pokok jantan dan betina yang mendatangkan kekaguman. Perkara-perkara tersebut membuktikan bahawa Allah itu benar dan Dia berkuasa menghidupkan apa yang mati. Dan Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”

(Surah al-Hajj: 5-6)

Telah diingatkan kepada manusia bahawa sekiranya mereka meragui akan adanya hari kebangkitan dengan manusia dibangkitkan semula, maka hilangkanlah keraguan tersebut dengan merenungkan kejadian diri manusia sendiri pada permulaan penciptaan mereka di dunia. Jelaslah bahawa, Allah Maha Menghidupkan sekalian manusia dan tumbuhan, justeru Allah juga Maha Mematikan segala hidupan di dunia ini untuk beralih ke satu alam yang baharu iaitu alam akhirat. Allah juga Maha Berkuasa Menghidupkan semula manusia di akhirat kelak untuk diperhitung segala amalan mereka seterusnya mereka hidup selama-lamanya sama ada di dalam syurga atau neraka. Segala perjalanan manusia turut dirakamkan dalam firman Allah:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِٱللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَٰتًۭا فَأَحْيَـٰكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Bagaimana kamu tergamak untuk kufur kepada Allah, sedangkan kamu dahulunya tidak wujud dan Dia yang telah menciptakan kamu. Kemudian, Dia akan mematikan kamu lalu membangkitkan kamu semula dan seterusnya hanya kepada-Nya kamu semua akan dikembalikan.

(Surah al-Baqarah: 28)

Lalu, Allah SWT menjelaskan penciptaan manusia secara terperinci mengikut peringkat-peringkatnya dengan menyatakan awal kejadian manusia daripada tanah yang merujuk kepada Nabi Adam A.S. Kemudian, daripada Adam A.S, berkembanglah keturunan manusia yang diciptakan Allah daripada air mani. Daripada air mani, jadilah ia segumpal darah, dan seterusnya menjadi daging. Ketika ia menjadi daging, Allah menyatakan dua situasi daging yang dijadikan dalam rahim ibu iaitu daging yang disempurnakan kejadiannya (مضغة مخلقة) dan daging yang tidak disempurnakan kejadiannya (مضغة غير مخلقة).

Fasa-fasa kejadian manusia di alam rahim tersebut adalah sebagai satu keterangan akan kesempurnaan kekuasaan Allah yang mengendalikan penciptaan manusia secara berperingkat. Seterusnya, Allah menetapkan daging yang tumbuh dalam rahim ibu tersebut mengikut perencanaan Allah sehingga ke satu masa yang ditentukan kelahirannya. Lalu, zuriat tersebut dikeluarkan Allah menjadi bayi kemudian menjadi kanak-kanak, kemudian ia dipelihara hingga ke peringkat usia dewasa (الأشد). Iaitu satu fasa kehidupan manusia yang paling optimum dari segi kekuatan fizikal dan mentalnya. Menurut al-Alusi, usia kematangan tersebut ialah antara 18-30 tahun. Ada dalam kalangan manusia dimatikan semasa kecil atau semasa dewasa dan ada pula yang dilanjutkan usianya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia lupa atau tidak mengetahui lagi apa yang diketahuinya dahulu. Seakan dia menjadi kanak-kanak semula yang lemah tubuh badannya, cetek akalnya dan kurang kefahamannya  (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/461-462)

Proses Kejadian Manusia sebagai Bukti Kedatangan Hari Kiamat yang Pasti

Rakaman penciptaan manusia dalam al-Quran dipaparkan dalam beberapa surah, antaranya Surah al-Haj, ayat 5 dan Surah al-Mu’minun, ayat 12-14. Malah, menurut pakar embriologi Barat, Prof. Dr. Keith Moore, kupasan mengenai penciptaan manusia dalam al-Quran begitu menakjubkan dan ia sangat tepat (accurate) dengan penemuan sains semasa. Ujar beliau, perincian mengenai kejadian manusia dalam al-Quran jauh mendahului zaman kemunculan sains embriologi moden. Ternyata penemuan elemen saintifik berkaitan embriologi dalam al-Quran menyerlahkan keajaiban al-Quran yang bermukjizat, dan terbukti ia sememangnya datang daripada Allah.

Apa yang lebih penting ialah, selain menjadi bukti kekuasaan Allah yang mentadbir sekalian alam, pencerahan mengenai penciptaan manusia dan tumbuh-tumbuhan dalam al-Quran turut menjadi bukti kepada kedatangan hari kiamat yang pasti. Allah Maha Berkuasa menghidupkan manusia di awal kejadian mereka di dunia. Justeru, Dia juga Maha Berkuasa Menghidupkan kembali manusia di akhirat. Sesungguhnya, Dia Berkuasa penuh atas segala kejadian. Atas kesedaran dan keyakinan jitu bahawa manusia dijadikan oleh Allah secara berperingkat dengan begitu sistematik. Kesedaran tersebut dapat memupuk keyakinan dalam hati manusia bahawa Dia juga Maha Mengatur alam dengan membangkitkan kembali manusia untuk menjalani kehidupan abadi selepas mati di alam akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/463)

Perbahasan Kejadian Janin pada Fasa Segumpal Daging (مضغة) yang Unik

Pada ayat 5 Surah al-Haj, penciptaan manusia pada fasa ‘segumpal daging ‘مضغة’ dinyatakan secara khusus sama ada penciptaan daging tersebut disempurnakan kejadiannya (مضغة مخلقة) dan tidak disempurnakan kejadiannya (مضغة غير مخلقة). Persoalan yang timbul ialah, apakah hikmah Allah menyandarkan ‘disempurnakan kejadiannya (مخلقة)’ dan ‘tidak sempurna kejadiannya (غير مخلقة)’ pada fasa penciptaan ‘مضغة’, dan tidak di fasa yang lain? Berdasarkan tafsiran yang dikemukakan oleh para ulama tafsir, maksud ‘segumpal daging yang tidak disempurnakan kejadiannya (مضغة غير مخلقة) menunjukkan situasi bahawa daging tidak terbentuk dengan baik, lalu berlakunya keguguran pada janin ibu. Fasa ‘mudghah’ ini dikatakan bermula pada seawal minggu keempat kehamilan selama 40 hari, iaitu sehingga sekitar minggu ke-10 kehamilan (usia kandungan kira-kira sebulan hingga dua bulan setengah). Justeru, al-Quran telah menyatakan bahawa fasa ini merupakan fasa kritikal bagi wanita agar memelihara kandungannya daripada berlakunya keguguran.

Keguguran ialah kehilangan bayi dalam kandungan sebelum minggu ke-24 kehamilan. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu keguguran awal kehamilan dalam 12 minggu pertama kehamilan dan keguguran lewat selepas minggu ke-12 hingga minggu ke-24 kehamilan. Ternyata, hasil dapatan menunjukkan bahawa insiden keguguran janin kerap berlaku pada awal kehamilan berbanding keguguran lewat yang jarang berlaku. Kekerapan berlakunya keguguran di awal kehamilan adalah sebanyak 1: 5 dalam kehamilan wanita. Manakala keguguran lewat hanya berlaku dalam nisbah 1:100 dari kehamilan wanita. Hal ini bertepatan dengan pernyataan ayat 5 dari Surah al-Haj yang memberikan mafhum ‘tidak disempurnakan kejadiannya’ (غير مخلقة) sebagai keguguran. Lantaran itu, situasi

(غير مخلقة) disandarkan pada fasa ‘مضغة’ dan tidak pada fasa-fasa kehamilan yang lainnya begitu tepat sekali dengan realiti kehidupan wanita hamil kerana keguguran banyak berlaku pada fasa tersebut. Ternyata, al-Quran memberikan pencerahan secara tidak langsung mengenai insiden keguguran yang sering berlaku pada awal kelahiran dan ia sememangnya berlaku pada fasa 12 minggu pertama kehamilan dan sangat jarang berlaku pada fasa yang lainnya di alam rahim. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/463-464)

Kesimpulan

Melalui ayat ini, kita diminta untuk merenungi kejadian manusia dan pengakhiran kehidupan ini serta seruan agar manusia bertakwa kepada Allah. Ketakwaan menjadi tujuan utama kehidupan manusia di dunia dan ia menjadi kunci yang menyelamatkan manusia dari azab api neraka.

Keajaiban al-Quran dapat disaksikan menerusi penceritaan kejadian manusia yang melalui fasa-fasa di alam rahim (tanah (تراب) – air mani (نطفة) – segumpal darah (علقة) – seketul daging (مضغة) – tulang (عظام) – daging yang meliputi tulang (لحم), seterusnya dilahirkan di alam dunia (kanak-kanak (طفل) – dewasa (الأشد) – tua (أرذل العمر), seterusnya dimatikan dan dihidupkan kembali di alam akhirat. Ketepatan al-Quran dalam mendeskripsikan kejadian manusia secara terperinci membuktikan bahawa al-Quran sememangnya kitab mukjizat yang datang daripada Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”