#4550: Kemuliaan Masjid al-Haram dan Ancaman Bagi Sesiapa yang Melakukan Kezaliman dan Dosa di Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana tinggi dan mulianya kedudukan Masjid al-Haram di sisi Islam dan apakah ancaman bagi sesiapa yang melakukan kezaliman dan dosa di Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ٱلَّذِى جَعَلْنَـٰهُ لِلنَّاسِ سَوَآءً ٱلْعَـٰكِفُ فِيهِ وَٱلْبَادِ ۚ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍۭ بِظُلْمٍۢ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ ٢٥ وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَٰهِيمَ مَكَانَ ٱلْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِى شَيْـًۭٔا وَطَهِّرْ بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْقَآئِمِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ ٢٦ وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍۢ ٢٧ لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍۢ مَّعْلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۖ فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang melakukan kekufuran serta menghalang manusia dari jalan Allah dan dari Masjid al-Haram, yang Kami telah jadikannya untuk semua manusia sama ada mereka adalah penduduk Makkah atau orang luar yang datang berziarah; bagi mereka azab yang pedih dan juga kepada sesiapa yang berkehendak untuk melakukan perkara yang dilarang Allah di Makkah, kami juga pasti akan timpakan mereka dengan seksaan yang amat pedih. Ingatlah ketika Kami sediakan bagi Ibrahim tapak untuk mendirikan Kaabah, Kami wahyukan kepadanya, “Janganlah engkau mengsyirikkan Aku dengan apa jua dan sucikanlah rumah-Ku ini untuk mereka yang bertawaf dan mereka yang rukuk dan sujud bersolat.” Serulah kepada semua manusia agar mereka menunaikan haji. Nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan juga menaiki pelbagai jenis unta yang kurus. Mereka akan datang dari segenap pelusuk yang jauh. Mereka datang untuk menyaksikan pelbagai manfaat yang disediakan dan juga untuk menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang korban pada hari-hari yang telah ditetapkan sebagai tanda syukur kepada Allah atas binatang ternakan yang telah dikurniakan. Maka makanlah daripada sembelihan itu dan berilah makan kepada orang yang menanggung perit kefakiran.”

(Surah al-Hajj: 25-28)

Allah mendatangkan ancaman kepada setiap orang yang kufur kepada-Nya dan mendustai rasul-Nya serta menghalang manusia daripada beriman kepada Allah dan memakmurkan Masjidil Haram. Ancaman ini bersifat umum, iaitu bukan hanya terhadap orang kafir yang menghalang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda pada tahun terlaksananya Perjanjian Hudaibiyyah tetapi bersifat umum, iaitu sesiapa sahaja yang melakukan perkara yang sama sehingga hari kiamat. Masjidil Haram ialah tempat ibadah bagi semua umat Islam, sama ada mereka yang menetap di Makkah atau pun yang datang dari luar. Kesemua umat Islam mempunyai hak yang sama untuk beribadah di dalam Masjidil Haram. Allah mendatangkan ancaman bahawa sesiapa sahaja berazam untuk melakukan kezaliman sama ada mensyirikkan Allah, atau apa sahaja perkara dosa yang lain akan dibalas dengan azab yang pedih. Pembalasan azab ini terutamanya kepada mereka yang menghalang manusia daripada mengimarahkan Masjidil Haram dan berniat melakukan kezaliman di dalamnya.

Setelah diterangkan pendirian orang musyrikin yang menghalang umat Islam dari mengimarahkan Masjidil Haram, Allah menjelaskan pula kedudukan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S yang berjuang menentang penyembahan berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Allah mengingatkan kepada Nabi Muhammad SAW supaya mengkhabarkan kepada manusia perintah Allah kepada Nabi Ibrahim A.S untuk membina Kaabah di tempat yang telah ditentukan. Tujuan peringatan ini ialah supaya orang musyrikin mengingati dan mengambil pengajaran seterusnya berhenti menyembah berhala. Peringatan ini merupakan celaan kepada orang musyrikin yang menyekutukan Allah di Baitullah yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S di atas asas tauhid. Allah juga menerangkan bahawa Dia berpesan kepada Nabi Ibrahim A.S supaya jangan menyekutukan-Nya dalam ibadah. Diperintahkan pula Nabi Ibrahim A.S supaya membersihkan Baitullah daripada kesyirikan, berhala dan segala kekotoran yang lain supaya Kaabah itu menjadi suci bagi orang menyembah Allah. Mereka yang melakukan tawaf hanya khusus dilakukan pada Kaabah sahaja dan tidak pada tempat yang lain. Digandingkan ibadah  tawaf dan solat kerana kedua-duanya disyariatkan khusus untuk Kaabah. Tawaf dilakukan di sekeliling Kaabah manakala solat dihadapkan ke Kaabah. Allah menyebutkan beberapa rukun solat iaitu berdiri, rukuk dan sujud kerana ketiga-tiganya merupakan rukun yang menjadi tunjang utama dalam solat.(Lihat Tafsir al-Bayan, 3/479)

Ketinggian Kedudukan Masjidil Haram Ancaman Bagi Sesiapa yang Melakukan Kezaliman dan Dosa di Makkah

Allah tidak akan membalas perbuatan seseorang hamba yang berniat melakukan dosa selagi mana dia tidak melakukannya melainkan di Masjidil Haram. Ini adalah kerana kesuciannya berbanding tempat-tempat lain di muka bumi. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

إنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ وَمَنْ يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang melakukan kekufuran serta menghalang manusia dari jalan Allah dan dari Masjid al-Haram, yang Kami telah jadikannya untuk semua manusia sama ada mereka adalah penduduk Makkah atau orang luar yang datang berziarah; bagi mereka azab yang pedih dan juga kepada sesiapa yang berkehendak untuk melakukan perkara yang dilarang Allah di Makkah, kami juga pasti akan timpakan mereka dengan seksaan yang amat pedih.”

(Surah al-Hajj: 25)

Ancaman ini adalah berkaitan keinginan melakukan kemaksiatan semasa di Tanah Haram, Makkah, bukan di Madinah. Ibn al-Qayyim berkata, “Di sini ada Masjidil Haram, ertinya seluruh tanah adalah haram.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/434)

Beliau berkata lagi, “Kata kerja ‘iradah‘ (keinginan) tidak disertai dengan huruf ba’, tetapi mengandung makna ‘ يهم ” فيه بكذا’ (keinginan untuk melakukan ini), ini lebih kuat daripada sekadar keinginan. Sebutan huruf ba menunjukkan kepastian mendapat seksaan apabila ada hajat, walaupun tidak jelas.” (Lihat Badai’ al-Fawaid, 2/259)

Maksud ‘إِلْحَادٍ’ adalah keluar dari kebenaran. Manakala maksud ‘ظُلْمٍ’ dalam ayat tersebut ialah segala sesuatu yang menyalahi syariat. Ini termasuklah syirik, bidaah dan dosa seperti membunuh.

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti berkata, “Yang zahir dalam perkara ini ialah setiap penyimpangan dengan meninggalkan kewajipan atau melakukan perkara yang haram, termasuk dalam kategori kezaliman yang disebutkan. Adapun yang dibolehkan adalah seperti  seorang suami yang memarahi isteri atau hambanya, ia tidak termasuk dalam ilhad dan juga tidak termasuk dalam kategori kezaliman. Sebahagian ulama berkata, sesiapa yang kuat keinginan untuk melakukan kejahatan di Makkah, Allah akan menyeksanya dengan azab yang pedih kerana keinginannya yang kuat terhadapnya, walaupun dia tidak melakukannya. Tidak seperti tempat lain selain Masjidil Haram, dia tidak diseksa dengan kemahuan yang kuat.’ (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 4/294)

Justeru, seseorang yang memasuki Masjidil Haram seharusnya membersihkan jiwa dan hatinya serta memfokuskan matlamatnya hanya untuk mencari redha Allah. Apabila Allah menyebutkan tentang (يَأْتُوكَ رِجَالًۭا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍۢ), ayat ini menjadi dalil keharusan untuk datang mengerjakan haji sama dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Ia menunjukan kemuliaan yang Allah letakkan pada Masjidil Haram sehingga manusia diseru datang kepadanya sama ada dalam keadaan berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Perkara ini disepakati oleh seluruh ulama. Apa yang menjadi khilaf dalam kalangan mereka ialah apakah kaedah yang terbaik, sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan:

  • Sebahagian ulama dalam mazhab Maliki menyatakan bahawa berjalan kaki adalah lebih baik kerana kesusahan yang ditanggung adalah lebih berat berbanding menaiki kenderaan.
  • Majoriti para ulama menyatakan bahawa menaiki kenderaan adalah lebih baik kerana berpandukan kepada amalan Nabi Muhammad SAW serta perbelanjaan yang perlu dikeluarkan adalah lebih besar.

Hal in menunjukkan bahawa tingginya kemulian Masjid al-Haram sebagaimana yang disebut oleh nas al-Quran dan juga hadith.

Namun, apa yang membimbangkan pada hari ini adalah kewujudan kumpulan syiah yang mempertikaikan kedudukan Masjidil Haram sehingga mereka membina Kaabah mereka sendiri sebagai ganti buat mereka. Tindakan ini jelas bertentangan dengan syariat Islam yang secara jelas menyebutkan tentang kemuliaan Masjidil Haram yang dibangunkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan terletak di tempat di mana lahirnya seorang nabi akhir zaman.    (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/481-482)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Masjid al-Haram mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia dalam Islam. Hal ini ditambah lagi apabila Allah menjaga kemuliaannya dengan sesiapa yang ingin melakukan kezaliman di dalam Masjid al-Haram dan tanah haram Makkah keseluruhannya akan dibalas dengan dosa dan azab yang pedih di akhirat kelak. Justeru, marilah sama-sama kita merebut pahala di tanah haram Makkah dan meninggalkan dosa dan niatnya dan dalam masa sama membersihkan jiwa dan hati kita serta memfokuskan matlamat hanya untuk mencari redha Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”