#4552: Lalat dalam al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan lalat dalam nas al-Quran dan hadith serta kajian Saintifik dan apakah jawapan terhadap salah faham berkenaan dengannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Maksudnya: “Wahai manusia! Diberikan kepada kamu satu perumpamaan maka dengar-kanlah. Sesungguhnya tuhan-tuhan yang kamu sembah selain Allah itu tidak akan mampu mencipta seekor lalat walaupun mereka semua bekerjasama untuk melakukannya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada berhala-berhala itu, mereka tidak akan dapat mengambilnya semula. Yang menyembah berhala ialah lemah dan yang disembah juga lemah.”

(Surah al-Hajj: 73)

Allah berfirman dengan menyeru kepada seluruh manusia dengan menegaskan bahawa segala apa yang manusia ambil sebagai sembahan selain daripada Allah sama sekali tidak mampu menciptakan sesuatu walaupun seekor lalat yang kecil. Ketahuilah! Ayat ini menggambarkan betapa lemahnya berhala-hala yang menjadi sembahan orang kafir. Walaupun dihimpunkan kesemuanya bekerjasama untuk mencipta seekor lalat, pastinya tidak akan berjaya. Malah, jika lalat itu merampas sesuatu daripada berhala-berhala itu, mereka tidak mampu untuk melawan dan mengalahkan lalat itu. Sedangkan lalat ialah makhluk Allah yang paling lemah dan hina. Kedua-duanya lemah belaka, lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya), iaitu berhala dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya) iaitu lalat. Ini pandangan yang lebih tepat menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan dipilih oleh Ibn Jarir al-Tabari. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/685)

Sesungguhnya orang kafir telah salah dalam penilaian mereka terhadap kemuliaan dan keagungan Allah saat mereka menyembah selain-Nya. Sedangkan Allah Tuhan yang Maha Kuat,  Maha Perkasa bukan sahaja mampu mencipta lalat, bahkan alam semesta keseluruhannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/511)

Lalat dalam Al-Quran dan Hadis: Amthal, Kajian Saintifik dan Jawapan Terhadap Salah Faham

Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang, yang makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk ke dalam perutnya melalui belalainya. Ia merupakan sejenis serangga yang mampu menyebarkan penyakit, disebabkan cara pemakanannya dan sifatnya yang sering terbang ke tempat yang kotor seperti dalam tandas, tempat sampah dan sebagainya. Ia juga termasuk dalam salah satu jenis serangga makhluk perosak yang paling mudah dijumpai. Namun begitu jenis lalat buah dan bunga tidak dikategorikan sebagai pembawa penyakit. Walaupun semua lalat suka menghinggapi tempat yang kotor, tong sampah dan sebagainya, lalat askar hitam umpamanya hanya terbang di persekitaran kompos untuk tujuan mengawan dan bertelur.

Perumpamaan mengenai lalat dalam ayat 73 Surah al-Haj ini mengandungi rahsia i’jaz yang begitu hebat. Kelemahan manusia untuk mencipta lalat samalah dengan ketidakupayaan mereka untuk mencipta unta dan gajah. Namun uslub al-Quran memilih lalat yang kecil dan hina untuk dibuat cabaran kepada manusia yang ingkar. Hal ini kerana cabaran untuk mencipta lalat lebih ‘terasa’ kelemahannya berbanding cabaran untuk mencipta gajah dan unta. Menurut Syed Qutb, inilah yang dinamakan sebagai kesenian dalam uslub al-Quran. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2443-2444)

Bahkan, seandainya diadakan satu muktamar yang dihadiri oleh para sarjana ilmu serangga dari seluruh pelosok dunia untuk bekerjasama mencipta seekor lalat dan memberinya nyawa, sudah pasti muktamar itu akan gagal. Ini kerana, tiada siapa pun yang mampu mencipta seekor lalat yang sempurna.

Pemilihan lalat sebagai perumpamaan memberikan maksud yang besar dan mendalam kerana lalat mempunyai pengaruh yang buruk daripada aspek kesihatan manusia. Sehingga kini, lalat merupakan di antara serangga yang menjadi punca utama masalah kesihatan manusia dan haiwan ternakan di seluruh dunia. Pelbagai jenis penyakit yang melibatkan lalat terdapat di seluruh dunia atau khususnya di satu-satu kawasan geografi dunia. Terdapat banyak mikroorganisma yang bersekutu dengan lalat dan mikroorganisma terdiri daripada jenis-jenis bakteria, virus, protozoa, kulat dan juga cacing-cacing nematod (roundworms) yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia dan haiwan ternak.

Oleh kerana lalat merupakan agen pembawa penyakit, maka Nabi SAW menyuruh agar di’neutral’kan racun yang ada pada lalat sekiranya ia terjatuh di dalam air. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالْأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya: “Jika ada seekor lalat yang terjatuh pada minuman kamu maka tenggelamkanlah keseluruhannya kemudian angkatlah kerana pada salah satu sayapnya penyakit dan sayap lainnya terdapat penawar.”

Riwayat al-Bukhari (3320)

Antara fiqh al-Hadith yang boleh difahami daripada hadith di atas:

  • Pertama: Lalat ini suci ketika ia hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.
  • Kedua: Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair (cecair) dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadith di atas.
  • Ketiga: Pada hadith tersebut terdapat I’jaz Ilmi (إعجاز العلمي) kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit di salah satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah lagi sayap yang lain.
  • Keempat: Para ulama’ mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci. Ia juga tidak menjadi najis apabila ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman samada ia sedikit atau banyak. Ini kerana, sebab najisnya sesuatu itu adalah darah yang terkurung di dalam haiwan selepas kematiannya. Oleh itu, sebab ini tidak wujud pada lalat atau lebah maka ia dihukum suci oleh para ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 148/1)

Mukjizat al-Quran amat terserlah kerana sehingga ke hari ini manusia bukan sahaja tidak dapat mencipta seekor lalat, bahkan manusia juga gagal untuk membuat sesuatu alat yang setanding dengan keunikan yang ada pada lalat. Manusia mencipta kapal terbang dan helikopter dengan mengambil lalat sebagai model, namun seekor lalat adalah terlalu unggul berbanding setiap teknologi yang direka oleh manusia. Apa yang hebat, ia adalah seekor ‘makhluk hidup’. Kapal terbang dan helikopter hanya bermanfaat untuk seketika waktu. Sebaliknya lalat sentiasa menghasilkan generasi yang sama. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/514-515)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nukilkan daripada Sayyid Qutb yang berkata: Lalat adalah serangga yang amat kecil dan hina, namun demikian tuhan-tuhan palsu yang disembah manusia itu tidak sekali-kali berkuasa menciptakan lalat yang kecil dan hina ini walaupun mereka berkumpul dan bekerjasama untuk menciptakannya. Kerja untuk menciptakan lalat itu adalah suatu kerja mustahil sama seperti mustahilnya kerja untuk mencipta unta dan gajah, kerana lalat mengandungi satu rahsia mukjizat iaitu rahsia hayat. Justeru, sama sahaja kemustahilan menciptakannya dengan kemustahilan menciptakan unta dan gajah, tetapi uslub al-Quran yang bermukjizat itu memilih lalat yang kecil, kerana kelemahan menciptakan lalat menyarankan di dalam hati bayangan kelemahan yang berganda-ganda dari bayangan yang dapat disarankan oleh kelemahan menciptakan unta dan gajah, sedangkan uslub ini pula tidak merosakkan hakikat ini di dalam pengungkapan itu. Inilah salah satu dari keindahan-keindahan uslub al-Quran yang penuh mukjizat itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/230)

Walaupun lalat hanyalah seekor serangga yang kecil, namun makhluk ciptaan Allah ini sangat unik. Ia sekaligus membuka ruang kepada manusia untuk berfikir dan merenung kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Inilah antara tujuan perumpamaan itu diungkapkan di dalam al-Qur’ān.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”