#4554: Fadhilat Surah al-Falaq dan al-Nas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan fadhilat surah al-Falaq dan al-Nas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ ١ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣ وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلْعُقَدِ ٤ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Katakan wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan yang mencipta dan mengurus waktu subuh dan seluruh makhluk.”“Daripada kejahatan apa yang diciptakan.”“Juga daripada kejahatan yang ada dalam  kegelapan malam apabila ia datang.”“Serta daripada kejahatan tukang sihir yang menghembus pada gumpalan-gumpalan dan simpulan-simpulan.” “Dan daripada kejahatan orang-orang yang mempunyai hasad dengki apabila dia berhasad.”

(Surah al-Falaq: 1-5)

Firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Aku berlindung dengan Tuhan manusia.” “Pemilik dan Raja manusia.” “Tuhan yang disembah manusia.” “Daripada kejahatan was-was bisikan syaitan.”“Syaitan yang mencampakkan bisikan was-wasnya dalam dada-dada manusia.” “Syaitan dalam  kalangan jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)

Dalam Tafsir al-Bayan (6/734-735), dinyatakan: Pemerhatian dilakukan kepada kitab-kitab yang menyenaraikan Fadhail Surah-surah dalam al-Quran, dan didapati terdapat beberapa riwayat sahih yang menerangkan fadhail bagi keseluruhan Surah al-Falaq ini. Fadhail surah ini merangkumi kelebihan yang telah dinyatakan pada Surah al-Ikhlas iaitu merangkumi al-Mu’awwizat ( المعوذات ) iaitu Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, juga kelebihan merangkumi al-Mu’awwizatain ( المعوذتان ) iaitu Surah al-Falaq dan Surah al-Nas. Antara hadith-hadith tersebut seperti yang disebutkan dalam huraian nama surah, serta hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

«أَلَمْ تَرَ آيَاتٍ أُنْزِلَتِ اللَّيْلَةَ لَمْ يُرَ مِثْلُهُنَّ قَطُّ، قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ» 

Maksudnya: “Tidakkah kamu mengetahui ayat-ayat yang telah diturunkan pada malam ini, ia merupakan ayat yang tiada tandingannya dan seumpama dengannya?; iaitu ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ) dan (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ)

Riwayat Muslim (814)

Begitu juga riwayat daripada ‘Uqbah, katanya:

كُنْتُ أَقُودُ بِرَسُولِ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاقَـتَهُ فِي السَّفَرِ، فَقَالَ لِي: «يا عُقْبَةُ، أَلَا أُعَلِّمُكَ خَيْرَ سُورَتَيْنِ قُرِئَتَا؟ « فَعَلَّمَنِي قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ. قَالَ: فَلَمْ يَرَنِي سُرِرْتُ بِهِمَا جِدًّا، فَلَمَّا نَزَلَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ، صَلَّى بِهِمَا صَلاَةَ الصُّبْحِ لِلنَّاسِ،فَلَمَّا فَرَغَ رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلم مِنَ الصَّلاَةِ، الْتَفَتَ إليَّ فقال: «يا عُقْبَة كيفَ رأيتَ؟

Maksudnya: Aku menuntun unta yang dinaiki oleh Rasulullah SAW dalam satu permusafiran. Baginda berkata kepadaku: “Wahai ‘Uqbah, hendakkah jika aku ajarkan kepada kamu dua buah surah yang terbaik jika dibaca?” Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلْفَلَقِ) dan (قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ). ‘Uqbah R.A berkata: Baginda tidak melihat bagaimana aku begitu amat gembira dengan kedua-dua surah tersebut. Apabila Baginda turun daripada unta untuk mendirikan solat subuh, Baginda menjadi imam dengan membaca kedua-dua surah tersebut. Setelah Rasulullah SAW selesai daripada solat, Baginda memandang ke arahku dan berkata: “Wahai ‘Uqbah, apa pandangan kamu?”

Riwayat Abu Dawud (1462). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanad hadith ini sahih

Diriwayatkan juga daripada ‘Uqbah R.A, katanya: 

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللهِ: أَقْرِئْنِي مِنْ سُورَةِ يُوسُفَ أَوْ سُورَةِ هُودٍ قَالَ:  يَا عُقْبَةُ، اقْرَأْ بِقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ، فَإِنَّكَ لَنْ تَقْرَأَ سُورَةً أَحَبَّ إِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَأَبْلَغَ عِنْدَهُ مِنْهَا، فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا تَفُوتَكَ، فَافْعَلْ 

“Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, bacakanlah kepadaku surah Yusuf atau surah Hud.’ Beliau bersabda, ‘Wahai Uqbah, bacalah dengan mengucapkan ‘Qul a’udhu birabbil-falaq’, karena sesungguhnya engkau tidak akan membaca sebuah surah yang lebih dicintai oleh Allah Azza wa Jalla dan lebih dapat mencapai kepada-Nya daripadanya. Jika engkau bisa untuk tidak meninggalkannya, maka lakukanlah.'”

Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (7791), dan Ibnu Hibban dalam Sahih-nya (1842)

Ibnu Kathir menyatakan bahawa hadith ini telah dikuatkan oleh berbagai jalur daripada Uqbah, termasuk jalur mutawatir daripada beliau. Hal ini memperkuat kepastian hadith daripada para pentahqiq hadith. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 8/533; Lihat juga Musnad Imam Ahmad, hadith no. 17341).

Hadith ini dibabkan oleh al-Nasa’i dengan tajuk “ذِكْرُ فَضْلِ مَا يَتَعَوَّذُ بِهِ الْمُتَعَوِّذُونَ .” Ibnu Hibban juga membabkan hadith ini dengan tajuk, “ذِكْرُ الْبَيَانِ بِأَنَّ قِرَاءَةَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ مِنْ أَحَبِّ مَا يَقْرَأُ الْعَبْدُ فِي صَلَاتِهِ إِلَى اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا” iaitu: peringatan tentang keterangan bahawa membaca ‘قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ’ adalah salah satu bacaan yang dibaca oleh seorang hamba dalam solatnya adalah paling disukai oleh Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.” 

Justeru, hadith-hadith ini menunjukkan secara zahirnya bahawa kedua-dua surah ini merupakan surah yang disukai oleh Allah secara khas, dan bukannya untuk al-Quran secara umumnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”