Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan gerakan atheis dalam masyarakat muslim di Malaysia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, disebut dalam Tafsir al-Bayan yang menyatakan: Umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan satu gerakan songsang yang menerobos masuk ke dalam masyarakat Islam di negara ini. Gerakan ini membawa kepercayaan dan fahaman yang bertentangan dengan perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Sungguhpun fahaman tersebut bukanlah baru dalam sejarah peradaban manusia, namun kewujudannya dalam bentuk gerakan yang melibatkan anak-anak orang Islam adalah perkara yang agak baru dan membimbangkan semua pihak.
Fahaman yang dimaksudkan adalah fahaman yang tidak mempercayai tuhan atau ateisme. Al-Quran al-Karim telah menerangkan tentang golongan ini dalam firman Allah SWT:
أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍۢ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةًۭ فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣ وَقَالُوا۟ مَا هِىَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهْرُ ۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya: “Adakah kamu tidak melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan. Allah menyesatkan orang tersebut dengan ilmu-Nya. Dia memateri pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup pada penglihatannya. Siapakah yang mampu memberinya hidayah setelah dia disesatkan oleh Allah? Tidakkah kamu mengambil pengajaran. Mereka berkata, “Kehidupan ini hanyalah kehidupan di dunia sahaja; tiada kehidupan selepasnya. Satu generasi kami mati, lahir pula generasi yang baharu. Tiada yang mematikan kami melainkan masa yang datang dan pergi. Mereka sebenarnya tiada pengetahuan pun mengenainya. Mereka hanya membuat sangkaan semata-mata.”
(Surah al-Jathiah: 23-24)
Begitulah sebenarnya keadaan mereka yang mengaku menganut fahaman tidak bertuhan. Sungguhpun rata-rata mereka mengatakan mereka berpegang kepada sains dalam kepercayaan dan fahaman mereka, namun sebenarnya mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. Bahkan terserlah kedangkalan dalam hujah yang mereka bawa.
Menurut Armin Navabi, pengasas komuniti Atheis Republic yang berpangkalan di Vancouver, Kanada: “… kaedah saintifik yang merupakan kaedah yang lebih konsisten daripada kaedah lain, telah berjaya memberikan penjelasan dengan kekuatan ramalan yang sangat tepat untuk alam semesta kita.”[1]
Sungguhpun begitu, kepercayaannya tentang ketiadaan tuhan pula bukanlah disebabkan kejayaan membuktikan bahawa tuhan benar-benar tidak wujud dengan kaedah saintifik tetapi adalah disebabkan golongan yang percaya tuhan, pada pandangannya tidak dapat membuktikan kewujudan tuhan atau tidak cukup bukti. Armin berkata: “… golongan yang percaya tuhan tidak dapat membuktikan kewujudan tuhan mereka. Bukanlah beban ateis untuk mempertahankan kekurangan kepercayaan mereka terhadap tuhan dan ateis tidak perlu memiliki semua jawapan tentang dunia untuk tidak percaya pada Tuhan. Golongan yang percaya tuhan dengan mendakwa bahawa Tuhan wujud, membuat dakwaan yang luar biasa. Ini memerlukan bukti yang luar biasa. Seperti yang dilihat dalam buku ini, bukti itu tidak ada. Tiada hujah yang dikemukakan oleh mereka setakat ini yang boleh dipercayai sepenuhnya.”[2]
Kenyataan di atas menunjukkan Armin berpandangan bahawa bukan tugasnya untuk membuktikan pegangannya yang beranggapan tuhan tidak wujud. Justeru, akidah tidak bertuhan yang dipegang olehnya tidaklah berasaskan kepada kepastian yang mutlak, bahkan masih di tahap hipotesis. Ini boleh difahami daripada kenyatannya: “Kita tidak menunggu sehingga kita mempunyai kepastian mutlak sebelum bertindak. Kita membuat keputusan mengenai dunia kita berdasarkan pengalaman yang dapat diberitahu oleh pengalaman kita mengenai undang-undang alam semesta kita.”[3] Pernyataan ini menunjukkan bahawa kepercayaannya hanya berdasarkan penelitian empirikal. Perkara yang baginya tidak boleh dibuktikan secara empirikal, tidak boleh dipercayai.
Sekiranya kepercayaan tentang kejadian bumi dan manusia golongan ateis ini masih di peringkat hipotesis dan tidak sampai ke tahap kepastian mutlak, maka tidak salahlah al-Quran menyifatkan mereka dalam ayat di atas sebagai “tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”
Namun malangnya, komuniti yang diasaskan oleh Armin Navabi tersebut telah diikuti oleh segolongan anak-anak umat Islam di Malaysia. Hal ini diketahui apabila pada tahun 2017, mereka telah mengadakan perhimpunan sesama mereka dan menamakan komuniti mereka ini sebagai Konsulat Republik Ateis Kuala Lumpur, Malaysia. Mereka telah melaporkan perhimpunan tersebut dan meletakkannya di laman sosial. Perkara ini telah mendapat perhatian dan kecaman banyak pihak, sama ada pemerintah mahupun orang ramai.
Pihak kerajaan pada ketika itu menyatakan bahawa kerajaan akan memantau dakwaan ini kerana ia satu perkara serius dan membabitkan akidah seseorang umat Islam itu. Sekiranya ia menggugat soal akidah umat Islam, kuasa menguatkuasakan sudah ada di bawah enakmen jenayah syariah di peringkat negeri masing-masing manakala di peringkat Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Selain tindakan undang-undang, kerajaan juga akan menjalankan sesi penerangan dan pendidikan bagi mengembalikan semula akidah umat Islam yang terpesong disebabkan fahaman ateis. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/571-573)
Kesimpulan
Justeru, diharapkan usaha memulihkan golongan yang telah terpengaruh dengan ajaran songsang ini dapat diterus dan diperkasakan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Hal ini kerana adalah dibimbangi golongan seumpama ini akan bertambah ramai dan mempengaruhi masyarakat Islam yang lain. Sekiranya perkara ini berlaku, ditakuti boleh mengundang huru hara dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Lebih dari itu, tidak ada seorang pun daripada ibu bapa dan keluarga mereka yang ingin mereka menyesal di akhirat kelak apabila kekal diazab di dalam neraka buat selama-lamanya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Nota kaki:
[1] Navabi, Armin.Why There Is No God. Atheis Republic: Vancouver, 78-79.
[2] Ibid
[3] Ibid