#4556: Penyalahgunaan Istilah Sunnah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isu penyalahgunaan istilah sunnah dan salah faham sering berlaku. Bagaimana cara penyelesaiannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, mereka yang melanggar perintah Rasulullah berasa takut ditimpa bala bencana atau azab yang amat pedih.

(Surah al-Nur: 63)

Ibn Kathir berkata: “Maka berhati-hatilah berkenaan urusan Rasulullah SAW, iaitu jalannya, manhajnya, dan cara hidupnya, sunnahnya serta syariatnya, maka pernyataan dan perbuatan dinilai dengan ucapan dan tindakannya. Apa yang sejajar dengannya diterima, dan apa yang bertentangan dengan itu ditolak, sama ada sebelumnya atau selepasnya. Hal ini telah disabitkan dalam hadith sahih, daripada Rasulullah SAW yang menyatakan, “Sesiapa melakukan sesuatu yang bukan ajaran daripada kami, maka amalannya ditolak.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/90)

Salah Faham dan Penyalahgunaan Istilah Sunnah

Sunnah dari sudut bahasa adalah jalan atau kehidupan samada ia bersifat terpuji atau sebaliknya. Adapun dari sudut istilah pula terbahagi kepada dua antara definisi ahli hadith dan juga ahli usul:

  • Di sisi ahli Hadith: “Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW samada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul.” (Lihat Qawaid al-Tahdith, 61)
  • Di sisi ahli Usul: “Sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada al-Qur’an melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW.”

Menurut Imam al-Syaf’i, penggunaan perkataan “sunnah” terbatas hanya pada sunnah Rasullullah SAW. Oleh kerana itu, ketika Allah SWT memerintahkan kaum Muslimin mentaati Nabi SAW dan menjadikan kehidupan Baginda SAW sebagai model yang baik dan mengikutinya. Maka ungkapan “sunnah Nabi” pun mula digunakan.

Pada masa kini, sisipan kata sunnah ini digunakan untuk merujuk pada sunnah Nabi SAW. Penggunaannya secara umum terus berlaku dalam kalangan masyarakat. Mutakhir ini juga, muncul program masakan berasaskan sunnah, penghasilan produk kesihatan berasaskan sunnah, pakaian dan busana berasaskan sunnah dan sebagainya. Fenomena ini timbul berikutan sambutan pengguna Islam terhadap label “sunnah” yang digunapakai. Kadangkala program, produk makanan atau pakaian yang dijenamakan “sunnah oriented” hanya digunakan secara melulu tanpa kajian yang mendalam terhadap sunnah Nabi SAW.

Beradab dengan sunnah Nabi SAW bermaksud beramal dengan sunnah yang sahih dan menjauhi perkara baharu dalam agama yang diada-adakan, kerana ia bukannya sunnah Nabi yang sebenar. Daripada ‘Amr bin ‘Auf R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

تَــــَركْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi-Nya.”

Riwayat Malik (1594). Al-Munziri menyatakan bahawa sanadnya sahih atau hasan atau hampir dengan keduanya, dan ia ada asal dalam al-Sahih

Masalah yang melanda umat Islam kini dan menjadi sebahagian daripada barah dalam masyarakat ialah salah faham terhadap penggunaan lafaz sunnah yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW kepada pengikut Baginda. Umat kini semakin keliru dalam memilih Sunnah untuk diamalkan. Ia adalah akibat daripada kejahilan dan tidak memahami konsep asal mengenai definisi Sunnah Nabi SAW itu sendiri. Mereka telah mengeksploitasikan Sunnah Nabi atas nama “mengamalkan Sunnah”. Natijahnya, lahirlah pelbagai produk, perkhidmatan, amalan atau gaya yang dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Mengambil berat mengenai isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-108 yang bersidang pada 2-3 November 2015 telah membincangkan mengenai hukum penjualan produk menggunakan ayat ruqyah untuk tujuan komersial. Antara keputusan penting yang telah diputuskan oleh jawatankuasa tersebut adalah penggunaan ayat ruqyah pada sesuatu produk bagi tujuan komersial tidak dibenarkan sama ada pada pelabelan, pengiklanan atau promosi.

Natijahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 4 Februari 2016 telah mengeluarkan pekeliling pensijilan halal Malaysia bilangan 2 tahun 2016 yang menyentuh mengenai larangan menggunakan ayat ruqyah, “makanan sunnah” dan seumpamanya pada pelabelan, pengiklanan atau promosi produk berkuatkuasa 15 Februari 2016 bagi semua syarikat pemohon sijil pengesahan halal Malaysia. Pekeliling tersebut telah diterbitkan berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.55.

Oleh yang demikian, semua syarikat atau pemohon pensijilan halal Malaysia perlu mematuhi dan mengambil maklum mengenai perlaksanaan pekeliling ini. Ini bagi mendidik masyarakat tentang pengertian sunnah yang sebenar bukanlah sekadar label pada makanan sahaja, tetapi pengamalan ajaran yang telah diwariskan oleh Baginda Nabi SAW. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/642-643)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama belajar berkenaan dengan sunnah dan berpegang teguh dengannya serta mengamalkannya dan dalam masa yang sama bersama-bersama berusaha mencegah penyalahgunaan istilah sunnah yang sering digunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”