#4561: Merendahkan Para Nabi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kita sebagai seorang muslim ingin mengahadapi fenomena golongan yang suka merendahkan para nabi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat kepada persoalan saudara, kami mulakan jawaban kami dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا (٥٦) إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا (٥٧) وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

(Surah al-Ahzab: 56-58)

Ayat ini menunjukkan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW sehingga Allah dan para malaikat-Nya turut berselawat ke atas Rasulullah SAW. Di samping itu juga, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman agar mereka turut berselawat ke atas Baginda SAW. Ini kerana, setiap selawat yang diucapkan akan memberi manfaat kepada dirinya juga kerana Allah SWT berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلََاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat.”

Riwayat Muslim (384)

Hal ini juga merupakan satu petunjuk akan kemuliaan Rasulullah SAW, ketinggian darjatnya dan kedudukannya di sisi Allah serta makhluk-Nya dengan meninggikan sebutannya. Makna selawat Allah SWT ke atas Nabi SAW adalah dengan memuji Baginda di hadapan para malaikat-Nya yang tertinggi disebabkan kecintaan-Nya kepada Baginda SAW. Adapun makna selawat malaikat pula adalah pujian malaikat yang hampir dengan berdoa kepada Baginda SAW dengan penuh rasa rendah diri. (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman, hlm. 671)

Tambahan pula, Allah SWT juga menyebutkan perihal orang-orang yang menyakiti Allah dan rasul-Nya iaitu golongan kafir yang mana mereka sentiasa melakukan maksiat dan perkara-perkara yang tidak diredhai oleh-Nya. Golongan ini dijauhkan daripada mendapat rahmat Allah SWT serta Allah SWT menjanjikan bagi mereka azab yang pedih. Selain itu, disebutkan juga golongan yang menyakiti orang yang beriman sama ada dengan ucapan atau perbuatan tanpa hak seperti mencela jiwa seorang yang beriman, memukulnya atau membunuhnya. Maka, dibenarkan untuk dilakukan perkara yang sama kepada orang yang menyakiti tersebut sebagai qisas. Selain itu, sekiranya seseorang itu memusnahkan sesuatu harta maka perlu didenda (dibayar) dengan sama sepertinya (nilainya), boleh jadi juga mereka melakukan maksiat tersebut, lalu diagungkan apa yang dilakukan itu. (Lihat Zubdah al-Tafsir, hlm. 426)

Oleh itu, ayat-ayat ini menunjukkan akan kemuliaan Rasulullah SAW dan juga orang yang beriman di sisi Allah SWT dengan dipelihara diri mereka daripada perkara-perkara tidak baik.

Fenomena Merendahkan Nabi SAW

Antara perkara yang mengecewakan berlaku pada zaman ini adalah tindakan sebahagian individu yang tidak berhati-hati mengeluarkan komentar terhadap kehidupan para nabi dan rasul sehingga boleh menimbulkan tohmahan terhadap keperibadian mereka. Antaranya ialah tindakan seorang menteri di Mesir yang mengatakan sekiranya Rasulullah SAW melakukan kesalahan jenayah nescaya Baginda juga akan dihukum, atas prinsip kedaulatan undang-undang. Kami pernah membincangkan isu ini ketika menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, saudara boleh merujuk artikel kami yang bertajuk: “Bayan Linnas Siri Ke-55: Rasulullah Saw: Jangan Sekali-Kali Menghina Baginda!

Ucapan-ucapan sebegini dibimbangi akan menjerumuskan penuturnya ke dalam lembah kemunafiqan sehingga boleh menggelincirkan akidah dan mengakibatkan laknat Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mereka hanya menimbulkan sangkaan-sangkaan yang tidak berasas, tanpa mengambilkira bahawa para nabi dan rasul itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam syariat dan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dengan panduan wahyu.

Kesimpulan

Justeru, sebagai seorang Islam kita hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan menimbulkan tohmahan kepada para Nabi kerana itulah tujuan yang ditetapkan dalam al-Quran. Kita juga hendaklah melakukan amar ma‘ruf nahi munkar kepada mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan kedudukan para nabi, sekalipun untuk tujuan bergurau atau apa-apa tujuan sekalipun.

Dalam konteks Malaysia, di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ ﷺ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Wallahu a‘lam