#4562: Membuka Tudung dalam Kalangan Selebriti

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah trend membuka tudung dalam kalangan selebriti ini boleh membawa natijah yang buruk?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami menasihatkan sebaiknya seseorang perempuan itu memakai tudung dengan sempurna, bukan sahaja bagi menutup auratnya, malah bagi menjaga dirinya dari fitnah-fitnah terutama di akhir zaman ini. Mengikuti trend atau aliran semasa tidaklah salah, namun ia mestilah berlandaskan hukum dan ketetapan yang telah diletakkan oleh syara‘.

Perintah untuk memakai tudung ini bukanlah sebagai pilihan, yang mana boleh diikuti jika mahu, dan boleh ditinggalkan jika belum sampainya seru. Bahkan, ianya wajib bagi semua wanita, dan ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Meskipun pada zahir ayat ini seakan dikhususkan kepada Ummahat al-Mu’minin sahaja, tetapi aplikasinya diwajibkan ke atas semua wanita muslimah yang beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana para isteri Rasulullah SAW menjadi contoh dan ikon muslimah terbaik bagi sekalian wanita di muka bumi. Imam Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyuruh wanita-wanita yang beriman, khususnya isteri-isteri Baginda SAW serta anak-anak perempuannya kerana kemuliaan mereka, agar mereka melabuhkan pakaian jilbab mereka. Ini bagi membezakan antara wanita-wanita Jahiliyyah dan hamba-hamba perempuan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/42)

Ini disokong dengan hadith daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha, katanya:

أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَوْمَ العِيدَيْنِ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عَنْ مُصَلَّاهُنَّ، قَالَتِ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللهِ إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ قَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: “Kami diperintahkan untuk mengeluarkan wanita-wanita yang uzur (haid) bagi turut serta menyaksikan solat dua hari raya, begitu juga para gadis di dalam bilik-bilik mereka. Mereka kesemuanya menyaksikan perkumpulan Muslimin serta doa-doa mereka. Para wanita yang uzur berada berjauhan dengan tempat solat. Seorang perempuan berkata: ‘Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai jilbab.’ Baginda menjawab: ‘Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya’.”

Riwayat al-Bukhari (351) dan Muslim (890)

Al-Jilbab (الجِلْبَابُ) merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas. (Lihat Al-Qamus al-Muhit, 1/68)

Imam Ibn Kathir berkata, jilbab adalah rida’ (kain atau pakaian lebar) yang dipakai di atas khimar (tudung). Inilah yang dikatakan oleh Ibn Mas‘ud R.A, ‘Ubaidah, Qatadah, al- Hasan al-Basri, Sa‘id bin Jubair, Ibrahim an-Nakha‘i, ‘Ata’ al-Khurasani dan selain daripada mereka. (Lihat  Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/42)

Belakangan ini, wujud trend dalam kalangan wanita seperti golongan artis dan selebriti yang ‘mencabut’ tudung mereka dengan alasan hendak menjadi diri sendiri. Ini merupakan ucapan yang sangat berbahaya kerana padanya terhadap sifat angkuh terhadap hukum syariat, jika dilakukan secara sengaja.

Dalam salah satu artikel di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut:190 “Mereka yang beralasan menjadi diri sendiri untuk tidak menutup aurat berkata mereka tidak mahu bersikap hipokrit atau munafiq. Padahal berasa berat dan malas untuk melaksanakan syariat Allah itulah ciri munafik yang patut dijauhi. Firman Allah Taala:

إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ يُخَـٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَـٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya golongan munafik itu cuba menipu, dan Allah membalas tipu daya mereka, dan apabila berdiri menunaikan solat, mereka berdiri dengan malas. Solat mereka hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Nisa’: 142)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan isu ini, kami katakan bahawa trend yang secara jelas bertentangan dengan syari‘at Islam ini sepatutnya dijauhi oleh umat Islam. Ahli keluarga yang terdekat terutamanya suami dan ayah, memainkan peranan penting dalam mentarbiah anak-anak perempuan serta isteri untuk melazimi pemakaian tudung sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Islam.

Waspadalah kepada sesiapa sahaja yang menjadi ikutan buruk buat orang lain, nescaya dia akan turut sama memikul dosa yang dilakukan oleh orang selepasnya, kerana dia diibaratkan membantu orang lain ke arah keburukan. Firman Allah SWT:

وَمَن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةًۭ سَيِّئَةًۭ يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌۭ مِّنْهَا ۗ

Maksudnya: “dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya.”

(Surah al-Nisa’: 85)

Sememangnya jalan menuju kesempurnaan diri itu melalui pelaksanaan syari‘at itu akan bertemu pelbagai mehnah dan tribulasi khususnya daripada hawa nafsunya. Namun Allah SWT telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan membukakan jalan kemudahan kepada mereka yang melatih dirinya untuk menjadi dirinya yang sebenar mengikut acuan Allah SWT. Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan redha Kami, maka Kami pasti akan memimpin mereka ke jalan-jalan; dan sesungguhnya Allah bersama golongan yang melakukan kebaikan.”

(Surah al-‘Ankabut: 69)

Semoga kita diberikan hidayah dan direzekikan kekuatan untuk mengikut hidayah itu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”