#4563: Amanah Bukan Tugas yang Mudah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya banyak melihat rakan-rakan sekerja yang seakan menjalankan amanah yang diberikan oleh majikan secara sambil lewa sahaja, seakan-akan amanah itu satu perkara yang mudah. Mohon nasihat ustaz tentang amanah ini.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا (٧٠) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا (٧١) إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah al-Ahzab: 70-72)

Pesanan-pesanan ke arah ketaqwaan, teguh dengan kebenaran, pengislahan diri dan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasulullah ini tidak lain sebagai satu rangka persediaan bagi menerima dan menanggung amanah daripada Allah SWT. Dari sudut yang lain, Allah SWT juga sebenarnya sedang menjelaskan wasilah dan medium bagi mencapai ketaatan tersebut, iaitu dengan melaksanakan segala tuntutan dan kewajipan yang telah disyari‘atkan, dan ia merupakan satu perkara yang amat berat dan memerlukan usaha yang tidak sedikit. Betapa beratnya amanah dalam melaksanakan tuntutan syara‘ ini, hatta langit yang terbentang luas serta gunung-ganang yang terpasak kukuh itu pun tidak sanggup untuk memikulnya tatkala ia dibentangkan oleh Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 22/126)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengkhabarkan bagaimana Allah SWT mengemukakan tanggungjawab amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang untuk memikulnya, namun mereka enggan memikulnya dek kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan tidak ada persediaan untuknya, dan lantas ia dipikul pula oleh manusia.

Di sebalik amanah yang dikemukakan juga, terdapat konsekuensi yang perlu dihadapi sekiranya amanah tersebut dijaga dengan baik atau ia dikhianati. Daripada gambaran ini, kita boleh melihat ia daripada suatu sudut bahawa tugasan untuk memikul amanah ini bukanlah suatu perkara yang remeh-temeh, boleh dipandang enteng, dan tidak akan menyebabkan konklusi yang buruk sekiranya diabaikan.

Akan tetapi, amanah merupakan suatu perkara yang paling perlu dititik-beratkan oleh orang yang memikulnya, sebelum amanah itu dipikul oleh seseorang, dia perlu melihat akan kemampuan yang ada pada dirinya di samping memerhatikan juga kesan baik dan buruk yang akan terhasil daripada sikapnya terhadap amanah yang dipikul. Disebabkan itu jugalah, amanah hanya akan diberikan kepada mereka yang layak menerimanya. Lantaran itu, apabila kita diamanahkan dengan sesuatu perkara, maka hendaklah ia dijaga dengan sebaiknya dan janganlah ia dikhianati. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

Maksudnya: “Jika sifat amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat (tanda kiamat semakin dekat).” Lalu seorang sahabat bertanya: Bagaimanakah yang dimaksudkan sifat amanah disia-siakan ya Rasulullah? Baginda menjawab; “Jika diserahkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (6496)

Berdasarkan kepada hadith ini, jelaslah bahawa sekiranya seseorang yang dilantik itu tidak memiliki sifat amanah maka akan rosaklah semuanya dan tunggulah saat dunia ini akan binasa dan lenyap selamanya. Allah SWT juga berfirman selepas menyebutkan tentang amanah ini:

لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَـٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۢا

Maksudnya: “(Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 73)

Datang sebahagian pihak dari kalangan manusia yang sanggup mengambil amanah yang berat itu, dalam keadaan kebanyakan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, jahil akan betapa beratnya tugas dan beban yang dipikul. Betapa mereka tidak sedar bahawa amanah yang diterima itu merangkumi segala kefardhuan syarak serta tugas memakmurkan bumi yang menatijahkan pahala apabila dilaksanakan, dan menatijahkan dosa jika ditinggalkan. Begitulah realiti halnya manusia, di mana kebanyakan daripada kita sering meninggalkan kewajipan dan tanggungjawab yang diperintahkan, bahkan melanggar pula larangan yang ditetapkan-Nya, serta mengkhianati pula amanah yang diberikan. Betapa sedikitnya yang taat, dan betapa ramainya yang ingkar! (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 11/253; al-Tafsir al-Munir, 22/127)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas ini, hendaklah kita mengambil cakna akan permasalahan yang begitu besar ini, dan bersama-samalah kita menghindari sifat tidak amanah, serta berusaha memikul amanah dengan sebaiknya.

Semoga dengan usaha kita ini, kita dapat menghindari bumi Malaysia ini daripada kehancuran, sepertimana sabda Rasulullah SAW di atas, dek kerana betapa banyaknya amanah yang telah dikhianati.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahu a‘lam