Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat keberkatan dalam amalan infaq dan zakat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Keberkatan rezeki seseorang itu berdasarkan kehendak Allah SWT, dan dalam masa yang sama, Dia menjelaskan kepada Rasulullah SAW tentang cara untuk menggapai keberkahan rezeki itu, iaitu dengan cara infaq dan membayar zakat. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki’.”
(Surah Saba’: 39)
Allah SWT menegaskan bahawa semua rezeki berasal daripada-Nya. Dia akan melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu, janganlah tertipu dengan banyaknya harta benda yang dimiliki. Sebaliknya, infaqkan dan sedekahkanlah harta tersebut sebagai suatu ketaatan kepada Allah SWT kerana ia pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/307)
Rasulullah SAW bersabda sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:
مَا مِنْ يَوْمِ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Tidak satu haripun para hamba memasuki waktu paginya kecuali dua malaikat akan turun, lalu salah satu malaikat tersebut berdoa: ‘Ya Allah, berikanlah untuk orang yang bersedekah gantian daripada hartanya,’ dan salah satu lagi pula berdoa: ‘Ya Allah, berikanlah untuk orang yang menahan hartanya daripada bersedekah kebinasaan pada hartanya’.”
Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)
Dalam ilmu ekonomi, harta atau duit yang hanya terkumpul tidak mempunyai faedah terhadap pertumbuhan ekonomi, bahkan membawa kepada keburukan kepada pasaran, seperti peningkatan kadar inflasi, fenomena ihtikar atau monopoli bahan asas, dan peningkatan jurang kemiskinan. Justeru, apabila al-Quran berkali menyebut kepentingan sedekah kepada golongan yang memerlukan seperti faqir dan miskin, dan memberi nafkah kepada diri dan ahli keluarga, itu merupakan teguran yang jelas kepada golongan kaya yang kedekut dan suka membazir, yakni menggunakan harta untuk tujuan yang salah dan sia-sia.
Apabila zakat diaplikasikan dengan betul, maka nilai al-Numuw (pertumbuhan) pada harta itu dapat dilihat. Contohnya, apabila haiwan ternakan dizakatkan, golongan asnaf yang tidak bernasib baik mempunyai seribu satu cara untuk memanfaatkan haiwan tersebut; sama ada pada susu, daging dan kulitnya. Begitu juga pada tenaganya untuk dibuat pengangkutan atau aktiviti membajak. Dalam konteks pelaksanaan zakat moden, dana zakat digunakan untuk membiayai para asnaf sama ada secara tunai atau dengan skim-skim bantuan yang mempunyai nilai pemberdayaan modal insan supaya sumbangan tidak hanya bersifat sekali sahaja, seperti skim bantuan modal perniagaan bagi asnaf. Kesannya, ekonomi sesuatu kawasan tidak jumud kerana kekayaan tidak dimonopoli oleh suatu pihak sahaja. Begitu juga kajian mendapati pengeluaran zakat yang efektif boleh mengurangkan kadar inflasi. (Lihat How Zakat can affect Inflation in Indonesia through Modified Keynesian Consumption, hlm. 112-125)
Ini salah satu contoh keberkatan yang boleh dilihat daripada amalan infak dan sedekah. Di sana terdapat pelbagai lagi bentuk keberkataan yang diberikan Allah SWT kepada orang yang menjaga pensyariatan infak dan zakat. Oleh itu, Imam Abu al-Laith al-Samarqandi menyebut ada sepuluh kelebihan berzakat berdasarkan al-Quran dan al-Hadis; menyucikan harta kerana berniaga sering wujud penipuan, salah iklan dan sumpah palsu, menyucikan diri daripada dosa, menolak bala dan penyakit mendatangkan kegembiraan dalam jiwa orang miskin dan orang beriman, mewujudkan keberkatan pada harta dan keluasan dalam rezeki, mendapat naungan di Padang Mahsyar yang panas terik, diringankan hisab, dibantu mengharungi Titian Sirat dan ditingkat darjat di dalam syurga. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 311-312)
Kesimpulan
Akhir kalam, rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada sekalian makhluk bukan penentu dekat atau jauhnya seseorang itu dengan-Nya. Hakikatnya, Allah SWT telah menetapkan kadar rezeki bagi setiap makhluk, sesuai dengan kebijaksanaan dan Ilmu-Nya yang qadim. Justeru, manusia sepatutnya menggunakan harta yang Allah SWT kurniakan untuk dibelanjakan pada jalan kebaikan, seperti membayar zakat dan menafkahi diri dan ahli keluarga, dan menghindari pembaziran.
Semoga Allah SWT memurahkan rezeki kesemua mereka yang tidak lokek dari menghulurkan infaq serta menunaikan sedekah, dan moga Allah SWT melimpahkan lagi rezeki yang diperolehi mereka itu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Wallahu a‘lam