Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah pernah disebut perkataan pasar dalam al-Quran dan apakah hukum seseorang itu memasuki pasar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan pasar pernah disebut dalam al-Quran: Firman Allah SWT:
وَقَالُوا۟ مَالِ هَـٰذَا ٱلرَّسُولِ يَأْكُلُ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشِى فِى ٱلْأَسْوَاقِ ۙ لَوْلَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌۭ فَيَكُونَ مَعَهُۥ نَذِيرًا
Maksudnya: “Mereka berkata pula: “Mengapa Rasul ini makan makanan dan berjalan di pasar-pasar seperti kita? Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya?”
(Surah al-Furqan: 7)
Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa orang kafir masih tidak puas dengan pembohongan mereka terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Sebelum ini mereka memperlekehkan al-Quran, kini mereka memperlekehkan pula Baginda SAW dengan sengaja menimbulkan persoalan-persoalan yang berbentuk penghinaan kepada Baginda SAW. Mereka menyebutkan sifat-sifat Rasulullah SAW yang menurut mereka bertentangan dengan sifat seorang nabi:
- Pertama: Mereka mengatakan bahawa Baginda SAW tiada keistimewaan berbanding orang lain kerana Baginda SAW makan sebagaimana mereka makan, minum sebagaimana mereka minum dan Baginda SAW berhajat kepada perkara-perkara tersebut sebagaimana mereka. Mereka mendakwa bahawa seorang nabi sepatutnya bersifat seperti malaikat yang tidak berhajat kepada makan, minum dan segala keinginan hidup.
- Kedua: Baginda berjalan ke pasar dan berulang-alik ke sana untuk bekerja, berniaga serta mencari rezeki dan keperluan hidup. Justeru menurut mereka, di manakah kelebihan Baginda SAW berbanding mereka sedangkan mereka juga bersifat demikian.
Anggapan-anggapan mereka ini keseluruhannya bersifat lahiriyyah (maddiy) dan hanya dibandingkan dengan penguasa-penguasa kerajaan di dunia. Pada anggapan mereka, kerasulan itu adalah suatu perkara yang melampaui sifat kemanusiaan. Mereka sebenarnya tidak memahami bahawa kebenarannya adalah rasul itu adalah manusia biasa yang menerima wahyu daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/658-659)
Ayat-ayat ini memperlihatkan warna-warni kehidupan Rasulullah SAW. Ia menunjukkan sifat Rasulullah SAW sebagai seorang manusia biasa seperti kebanyakan manusia yang lain kecuali hanya penurunan wahyu yang membezakan mereka. Antaranya Baginda SAW turut mengunjungi pasar tempat berniaga masyarakat arab. Baginda SAW turut mendapatkan keperluan-keperluan harian Baginda dan keluarga di pasar. Baginda SAW bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kabilah-kabilah arab yang pelbagai. Baginda SAW turut menyampaikan dakwah kepada mereka dengan harapan mereka akan kembali kepada kebenaran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/662)
Hukum Memasuki Pasar
Para sahabat Rasulullah SAW khususnya golongan Muhajirin turut berniaga di pasar Madinah sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
إِنَّ إِخْوَانَنَا مِنَ المُهَاجِرِينَ كَانَ يَشْغَلُهُمُ الصَّفْقُ بِالأَسْوَاق
Maksudnya: “Sesungguhnya saudara-saudara kami daripada kalangan Muhajirin, mereka sibuk berniaga di pasar-pasar.”
Riwayat al-Bukhari (118)
Berkenaan dengan hukum memasuki pasar, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا
Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.”
Riwayat Muslim (671)
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT adalah disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketaqwaan. Adapun berkaitan tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya disebabkan ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya. Makna suka dan benci Allah adalah Allah menghendaki akan kebaikan dan juga keburukan. Selain itu, dengan perbuatan-Nya itu akan menyebabkan seseorang itu gembira atau berduka. Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/171)
Imam al-Qurtubi pula menyatakan bahawa hadith ini di antara dalil menunjukkan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi di zaman kita yang padanya terdapat percampuran di antara lelaki dan wanita. Kata para ulama, apabila banyaknya kebatilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan serta mengikut jejak langkah mereka pada urusan agama bagi bagi menyucikan daripada berada pada tempat yang banyak berlakunya maksiat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/16]
Tambahan pula, Imam Ibn Battal ada berkata, masjid merupakan tempat yang disebutkan nama Allah. Manakala, pasar pula adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit. Di samping itu, sekiranya seseorang itu mengingati Allah di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/249)
Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’, 9/154)
Kesimpulan
Justeru dapatlah difahami bahawa hukum memasuki pasar secara umumnya adalah harus sekiranya ia dengan tujuan yang baik dan mulia. Namun, sekiranya tujuannya adalah untuk sesuatu yang melalaikan, maka hukum harus tersebut akan berubah mengikut niat seseorang sehingga boleh menyebabkan dosa, andai terlibat dengan perkara dosa dan melalaikan. Sesetengah ulama’ menyatakan bahawa hukum asal memasuki pasar adalah makruh melainkan bagi orang yang berhajat padanya.
Akan tetapi, perlu diingat agar menjaga adab-adab serta tidak menghabiskan banyak masa pada perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga terabainya kewajipan atau tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT.
Kami juga menasihatkan supaya membaca doa ketika memasuki pasar. Ibn Battal berkata: “Adapun apabila dibacakan zikrullah di dalam pasar maka ia merupakan antara amalan yang paling afdhal.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/249).
Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ دَخَلَ السُّوقَ فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ
Maksudnya: Sesiapa yang masuk ke dalam pasar lalu dia membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan buatnya dan menghapuskan satu juta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat.
Riwayat Al-Tirmizi (3428)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”