#4568: Taat Membabi Buta Kepada Pemimpin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan kepatuhan secara membabi buta kepada pemimpin yang zalim dan mengajak kepada kejahatan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menganjurkan umatnya agar mentaati dan menghormati pemimpin yang diangkat di dalam sesuatu masyarakat. Antara nas yang jelas menyatakan perkara tersebut adalah sebagaimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan para pemerintah dalam kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360)

Ulama’ berselisih pendapat tentang siapakah yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini:

  • Pendapat Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas dan Ibn Zaid R.Anhum mengatakan maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
  • Pendapat Jabir bin ‘Abdillah, al-Hasan al-Basri, Qatadah, Mujahid dan ‘Ata’, yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ulama’ yang tegak di atas sunnah.
  • Pendapat Mujahid dalam satu riwayat, ulil amri adalah para sahabat Rasulullah SAW, dan juga dikatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan ‘Umar R.Anhuma.

Imam Ibn Kathir menukilkan kalam Imam Ibn Jarir al-Tabari, beliau mengatakan bahawa pendapat yang kuat adalah pendapat pertama berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al ‘Azim, 1/530)

Perintah mentaati pemimpin atau pemerintah ini juga telah thabit berdasarkan hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Mendengar dan taat adalah wajib selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Apabila diperintahkan untuk melakukan maksiat maka tidak ada (kewajipan) lagi untuk mendengar dan taat.”

Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)

Bahkan Islam juga melarang dari rakyat sesebuah tempat itu keluar menzahirkan penentangannya terhadap pemerintah, selama mana mereka tidak dipaksa untuk melakukan kekufuran secara terbuka. Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, katanya:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ، فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Nabi SAW memanggil kami lalu kami berbai‘ah kepada Baginda, maka Baginda bersabda mengenai apa yang perlu kami penuhi (perjanjian) saat berbai‘ah: Iaitu kami hendaklah berbai‘ah kepada Baginda untuk mendengar dan patuh (dalam segala keadaan) semasa suka dan benci, saat susah dan senang, (sabar) di saat orang lain didahulukan ke atas kami, serta (supaya) kami tidak pula mencabut urusan (kepimpinan) daripada ahlinya melainkan kalian melihat kekufuran yang nyata, dimana kamu ada bukti padanya daripada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (7055) dan Muslim (1709)

Syeikh Hasal Abu al-Asybal al-Zuhairi berkata, (بَوَاحًا) bermaksud jelas, tidak ada kebarangkalian dan kesamaran padanya. Yakni pemimpin itu melakukan satu perbuatan kufur yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan ini jelas berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, seperti yang dimaksudkan oleh Baginda: “Dimana kamu ada bukti padanya daripada Allah.”

Manakala yang dimaksudkan dengan kufur di sini adalah maksiat, kerana kufur itu kadang-kadang merujuk kepada maksiat, dan kadang-kadang merujuk kepada mensyirikkan Allah SWT. Dan maksud (فِيهِ بُرْهَانٌ) pula, kalian mengetahuinya berdasarkan hukum Allah SWT secara yakin. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 20/18)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi mengatakan, ulama’ salaf terdahulu amat menekankan perihal mendengar dan mentaati pemerintah, sehinggakan mereka meletakkannya sebagai satu bab yang khusus dalam perbahasan akidah, kerana ianya termasuk dalam masalah yang membezakan antara ahli sunnah dengan kelompok-kelompok lain seperti al-Khawarij dan al-Mu‘tazilah. (Lihat al-Maghribiyyah, hlm. 259)

Kepatuhan secara Membuta-Tuli kepada Pemimpin yang Zalim dan Mengajak kepada Kejahatan

Hakikatnya, anjuran kepatuhan kepada pemimpin ini adalah tertakluk kepada perkara-perkara yang bukan maksiat. Perincian ini dinyatakan oleh hadis yang lain seperti hadis daripada ‘Ali RA, daripada Nabi SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المعرُوفِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah di dalam perkara yang makruf.”

Riwayat al-Bukhari (7257)

Namun senario yang berlaku pada hari ini adalah bertentangan dengan prinsip dan panduan yang digariskan oleh al-Quran dan hadis nabawi ini. Terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berkiblat secara membuta tuli kepada pemimpin pujaan mereka meskipun arahan dan perintah mereka adalah jelas berbentuk kemaksiatan. Pandangan dan pertimbangan mereka dikaburi oleh ketaksuban politik sempit yang terkadang membelakangkan neraca kebenaran berlandaskan Islam. Sewajarnya kisah kaum Thamud menjadi iktibar bagaimana kepatuhan membuta-tuli kepada pemimpin yang melampaui batas dan zalim boleh menjadi sebab kehancuran sesuatu umat.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/753-754)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum mentaati pemerintah dalam perkara yang makruf adalah wajib selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’, dan tidak boleh mentaatinya secara membuta tuli sekiranya disuruh melakukan perkara yang maksiat.

Justeru, dalam isu mentaati pemerintah, hukumnya adalah wajib dia dikenali sebagai seorang yang jahat atau zalim, dengan syarat:

  • Tidak mengikutinya secara membuta tuli
  • Ketaatan dan akur kepada perintahnya bukan pada perkara maksiat atau menyekutukan Allah SWT.
  • Pemimpin itu mestilah pemimpin Islam, yang juga beriman kepada agama Allah SWT.

Dalam masa yang sama, ini tidaklah menghalang seseorang itu dari menasihati pemimpinnya jika didapati pemimpin tersebut melakukan kesalahan atau kezaliman. Islam tidak menghalang dari menasihatkan para pemimpin, bahkan ia menjadi tuntutan agama. Ini berdasarkan hadith daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنا: لِمَن؟ قالَ: لِلَّهِ ولِكِتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وعامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu (menginginkan pengikutnya) nasihat (berbuat kebaikan). Lalu kami bertanya: ‘Bagi siapa (kebaikan itu)?’, kata Baginda: ‘Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang Islam, dan bagi umum orang islam’.”

Riwayat Muslim (55)

Imam al-Nawawi berkata, yang dimaksudkan dengan nasihat bagi pemimpin-pemimpin orang Islam adalah membantu mereka di atas kebenaran, mentaati mereka pada kebenaran, menyuruh mereka untuk sentiasa berada di atas kebenaran, menyedarkan dan mengingatkan mereka dengan lembut, memberitahu mereka apa yang mereka terleka tentangnya dan apa yang tidak sampai pada mereka tentang hak-hak orang Islam. Nasihat ini juga dengan cara meninggalkan penentangan terhadap mereka, menyatukan masyarakat agar taat kepadanya. Dinukilkan dari Imam al-Khattabi, katanya: “Dan bentuk nasihat kepada pemimpin adalah solat di belakang mereka, berjihad bersama mereka, menunaikan semua pembayaran (seperti cukai) kepada mereka, tidak memerangi mereka dengan senjata meskipun terzahir pada mereka kesalahan atau cara pergaulan yang buruk, tidak diperdaya dengan pendustaan ke atas mereka, serta didoakan kebaikan buat mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/38)

Semoga, pemimpin kita diberikan kekuatan serta petunjuk dari Allah SWT dalam memastikan tampuk pemerintahan tertegak di atas hukum syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا. اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين. اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami. Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”

Wallahu a‘lam