#4569: Menilik dan Berpawang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibenarkan menilik dan berpawang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”

(Surah al-An’am: 59)

Ibn Kathir dalam tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir, (3/264) mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4697)

Pengetahuan kita mengenai hal-hal ghaib sangat terbatas, di mana kita hanya mengetahui sebahagiannya melalui perkhabaran daripada Allah SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya, namun ia tetap terbatas dan sama sekali tidak akan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah.

Menilik dan Berpawang adalah Budaya Jahiliyyah

Menilik, berpawang dan yang seumpamanya merupakan sebahagian daripada budaya jahiliyyah dan salah satu daripada kesyirikan yang sangat ditegah dalam Islam. Berdasarkan ayat-ayat dalam Surah al-Syuʿara’, teras kepada ajaran Islam dan dakwah para nabi AS adalah tauhid dan memerangi kesyirikan kepada Allah SWT. Abu Masʿud R.A meriwayatkan hadis berkaitan tegahan ini iaitu:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang perniagaan anjing, upah pelacuran dan tukang tilik”

Riwayat al-Bukhari (2237)

Mempercayai tukang tilik juga merupakan salah satu perbuatan dosa besar dan sangat ditegah dalam agama. Sebahagian isteri Nabi Muhammad SAW meriwayatkan daripada Baginda sabdanya:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَة

Maksudnya: “Sesiapa berjumpa tukang tilik, lalu bertanya kepadanya sesuatu, nescaya tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Riwayat Muslim (2230)

Namun budaya mempercayai tukang tilik, bomoh dan pawang ini masih menebal di dalam kehidupan sebahagian masyarakat Islam di Malaysia merentasi pelbagai aktiviti kehidupan seperti perubatan, kekeluargaan, ekonomi dan perniagaan dan lain-lain. Sebagai contoh, bomoh, pawang atau dukun memainkan peranan penting dalam aktiviti berkaitan ekonomi. Bidang perniagaan adalah antara bidang yang banyak melibatkan peranan bomoh. Masih lagi terdapat di kalangan usahawan Melayu menggunakan perkhidmatan bomoh bertujuan untuk melariskan perniagaan.

Kepercayaan yang bersifat mistik menyebabkan masyarakat terpengaruh mengiktiraf keistimewaan yang terdapat pada bomoh sehinggakan boleh memesongkan akidah mereka. Meskipun begitu, bukan semua amalan perbomohan bertentangan dengan ajaran Islam. Amalan perbomohan yang dibenarkan hendaklah bersih daripada unsur-unsur sihir dan amalan khurafat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/776-777)

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan satu garis panduan atau kod etika yang perlu dipatuhi oleh pengamal perubatan seperti berikut:

  • Tidak menggunakan sihir, ilmu hitam, tilik, tenung nasib, nujum, ramalan tapak tangan, astrologi atau ramalan menggunakan buruj bintang dan silap mata.
  • Tidak mengaitkan pengeras atau bayaran dengan sesuatu dan meminta-minta pengeras atau perkhidmatan yang tinggi dan melampau.
  • Tidak percaya kepada fahaman sesuatu boleh membawa sial dan mudharat menimpa seseorang.
  • Tidak melakukan perkara syirik, khurafat dan bidaah yang keji seperti sembah pantai, sembelih binatang untuk korban dan buang ancak.
  • Tidak menyembelih binatang sebagai korban selain untuk Allah SWT dan bukan untuk tujuan yang bukan syari‘e.
  • Tidak mengamalkan amalan atau bacaan tertentu menggunakan unsur meminta izin serta bantuan daripada makhluk halus sebagai khadam.
  • Tidak menyajikan makanan untuk menjamu penunggu atau jin yang tinggal di sesuatu tempat.
  • Tidak mentaati bomoh atau seseorang pengubat pada sesuatu perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Ini kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Meskipun bertujuan baik seperti penggunaan haikal/jaljalut untuk menangkis serangan musuh, ilmu guna-guna, pencuri, kebakaran jin dan lain-lain. Isi kandungan haikal ini bertentangan akidah seperti mempercayai adanya sesuatu yang dapat memberi manfaat dan menolak bencana.
  • Menolak syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akidah Islam.[1]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa menilik dan berpawang adalah budaya jahiliyyah yang mesti ditinggalkan. Tidak ada seorang pun yang mengetahui perkara ghaib, kecuali Allah SWT. Sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang hakiki, nescaya dia telah berdusta terhadap Allah SWT dan kepada hakikat kenyataan dan kepada manusia.  

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat http://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_perbomohan_menurut_islam.pdf.