#4570: Amal dan Iman

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hubungkait antara amal kebaikan dengan keimanan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعِزَّةَ فَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ ٱلْكَلِمُ ٱلطَّيِّبُ وَٱلْعَمَلُ ٱلصَّـٰلِحُ يَرْفَعُهُۥ ۚ وَٱلَّذِينَ يَمْكُرُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ ۖ وَمَكْرُ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُوَ يَبُورُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.”

(Surah Fatir: 10)

Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur berkata, Allah SWT mengingatkan juga bahawa amalan-amalan orang berimanlah yang akan memberi manfaat dan diterima disisi-Nya, sama ada dari sudut perbuatan mahupun perkataan. Manakala amalan orang musyrik itu batil seluruhnya, meskipun mereka banyak bertahmid, banyak juga bertawaf di sekeliling Ka‘bah, namun amalan tersebut telah bercampur-baur dengan syirik, kerana mereka meniatkan juga melalui ibadah tersebut untuk mendekatkan diri kepada berhala-berhala yang mereka sendiri ciptakan. Disebabkan kesyirikan inilah yang melayakkan mereka menerima azab yang pedih di akhirat kelak. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 22/272-273)

Imam al-Qurtubi memberikan suatu tafsiran, pada lafaz (ٱلْكَلِمُ ٱلطَّيِّبُ) yakni ia bermaksud kalimah tauhid iaitu keimanan, dan perkara inilah yang menaikkan segala amal soleh yang manusia lakukan kepada Allah SWT. Ini kerana amal soleh tidak dapat diterima melainkan ia disertai dengan keimanan dan ketauhidan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran,14/331)

Dalam hal ini juga, terbitnya suatu permasalahan iaitu amalan kebaikan orang kafir adakah dihitung dan diterima Allah SWT? Bagaimanakah status amalan tersebut sekiranya mereka memeluk Islam? Imam Badr al-Din al-‘Aini menyebutkan, diriwayatkan bahawa kebaikan-kebaikan orang kafir yang akhirnya memeluk Islam akan diterima dan dihitung (menjadi pahala ibadah) baginya. Namun, sekiranya dia mati dalam kekufuran, maka hanguslah semua amal kebaikannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 8/303)

Dalam sebuah hadith lain, daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلََامُهُ كَتَبَ اللَّهَُّ لَهُ كُلَّ حَسَنَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا وَمُُحِيَتْ عَنْهُ كُلُّ سَيِّئَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu telah masuk Islam, lalu baik pula amalan Islamnya, nescaya Allah akan menulis baginya pahala bagi semua amal kebajikan yang telah lalu, dan menghapuskan segala dosa kejahatan yang telah lalu.”

Riwayat al-Nasaie (4998). Hadith ini dinilai sahih

Syeikh Muhammad ‘Abd al-Hadi al-Sindi menjelaskan, hadith ini menunjukkan bahawa kebaikan-kebaikan yang dilakukan orang kafir akan digantung terlebih dahulu penilaiannya. Sekiranya dia memeluk Islam, maka barulah diterima (dicatat amal tersebut baginya). (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’ie, 8/106)

Ada juga pendapat yang menyebut bahawa amal kebaikan mereka adalah tidak dicatat. Ini sepertimana disebut oleh al-Maziri: “Seorang yang kafir tidak ada pahala bagi amalan soleh yang dilakukannya ketika dia masih syirik. Ini kerana antara syarat amalan mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah dia mengetahui kepada siapa dia mendekatkan diri kepada, sedangkan orang kafir tidak demikian.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3/302)

Namun Imam Nawawi sebaliknya menegaskan bahawa yang benar dan merupakan pendapat ahli tahqiq – bahkan telah dinukilkan oleh sebahagian mereka bahawa terdapat ijma‘ padanya – adalah seorang kafir apabila dia melakukan perkara-perkara yang baik seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, kemudian dia memeluk Islam dan kemudian mati dalam keadaan Islam, pahala tersebut dicatatkan baginya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/140-142)

Hal ini juga sepertimana kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar yang menyebut bahawa penerimaan amalan semasa kafir adalah bergantung kepada sama ada seseorang kafir itu memeluk Islam atau tidak. Sekiranya dia memeluk Islam, maka dicatat amalannya terdahulu. Sebaliknya jika tidak, maka tidak dikira amalan kebaikannya. Pendapat inilah yang kuat. Inilah yang dipegang oleh al-Nawawi, Ibrahim al-Harbi, al-Qurtubi dan Ibn al-Munir daripada kalangan muta’akhirin. (Lihat Fath al-Bari, 1/154-159)

Kesimpulannya, penerimaan amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang kafir adalah bergantung kepada keislamannya. Jika dia memeluk Islam dan meninggal dunia dalam keadaan Islam, maka dicatat pahala kebaikannya yang terdahulu semasa dia masih kafir. Sekiranya tidak, maka tidak dicatat pahala kebaikan tersebut kepada mereka.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan ini, jelaslah di sini bahawa keterkaitan antara amal dan iman adalah, amal soleh sekiranya tidak disertakan dengan keimanan kepada Allah SWT, maka ia tidak akan diangkat dan diterima disisi-Nya.

Oleh yang demikian, ulama’ salaf terdahulu mengatakan bahawa iman itu tidak lari dari 3 unsur yang utama; kepercayaan dalam hati, membenarkan dengan lisan, dan disertakan dengan amal perbuatan.

Imam Abu al-Qasim al-Lalika’i menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i, kata beliau: “Dan berdasarkan persepakatan para sahabat, al-Tabi‘in serta orang-orang selepas mereka yang kami bertemu dengannya, bahawa iman itu adalah; perkataan, amal perbuatan dan juga kata-kata. Setiap satu darinya memerlukan kepada yang lain.” (Lihat Syarh Usul I‘tiqad Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah, 5/956)

Semoga kita beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini, dan dapat beramal berlandaskan syari‘at yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ وَعَلَى طَاعَتِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam.