Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dukun dan bomoh yang mengambil pengeras itu sesat? Sebenarnya, apakah hukum bayaran pengeras dalam rawatan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu takrif pengeras. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengeras didefinisikan sebagai bayaran kepada pawang kerana berubat atau menuntut ilmu daripadanya.[1] Pengeras dalam pengubatan Islam adalah sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan dengan syarak. (Lihat 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, hlm. 123). Ia boleh sahaja dalam bentuk wang, haiwan, makanan dan lain-lain.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa ia perlu diperhalusi. Jika pengeras yang dimaksudkan itu adalah upah bagi rawatan, terutamanya perubatan ruqyah Syar‘iyyah, maka ia adalah diharuskan. Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:
أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ: هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: نَعَمْ، فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ: حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَاللهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَتَبَسَّمَ وَقَالَ: وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟ ثُمَّ قَالَ: خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: ‘Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.’ Salah seorang dari para sahabat menjawab: ‘Ya, ada.’ Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: ‘Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,’ beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.’ Baginda tersenyum lalu bersabda: ‘Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?’ Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.’”
Riwayat Muslim (2201)
Imam al-Nawawi menyebutkan, ini merupakan ucapan yang jelas sekali tentang keharusan mengambil upah daripada ruqyah dengan al-Fatihah dan zikir. Sesungguhnya ia adalah halal tanpa kemakruhan di dalamnya. Demikian juga upah daripada mengajarkan al-Quran. Ini adalah mazhab al-Syafi‘i, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan yang lainnya dalam kalangan Salaf dan ulama yang setelah mereka. Abu Hanifah melarang mengambil upah dalam pengajaran al-Quran, dan membolehkannya dalam ruqyah.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/188)
Namun, jika pengeras yang dimaksudkan itu adalah suatu bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan dengan syarak, sebagaimana takrifnya di atas, maka jelas ia adalah haram dan dilarang dalam syarak.
Larangan memberi pengeras kepada pawang atau bomoh disebutkan dengan jelas dalam hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mas‘ud al-Ansari bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada mengambil hasil jualan anjing, mahar pelacur (hasil daripada zinanya), dan upah tukang tilik.”
Riwayat al-Bukhari (2237)
Ibn Battal menyebutkan bahawa “حُلْوَانِ الكَاهِنِ” dalam hadith ini merujuk kepada upah daripada usaha perbomohannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/364).
Pengeras dalam bentuk sedemikian dilarang dan dihukumkan sebagai haram serta boleh membawa kepada syirik kerana meletakkan syarat pengeras bagi penentu kesembuhan. Ini sekaligus menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai Maha Penyembuh. Firman Allah SWT:
وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-An‘am: 17)
Tambahan lagi, dalam Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam (terbitan JAKIM), ada dinyatakan pada ‘Bahagian Bayaran Perkhidmatan/Pengeras’ bahawa:
- Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.
- Bayaran perkhidmatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong-menolong.
Begitu juga pada ‘Bahagian Pengijazahan’ ada dinyatakan bahawa tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembah sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya. (Lihat Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam, terbitan JAKIM, hlm. 17).
Dr. Haron Din juga pernah diajukan soalan yang hampir sama, lalu beliau menjawab dengan menyatakan bahawa pengeras ini satu penghargaan yang diberikan oleh seorang murid atau pesakit kepada perawat. Islam tidak melarang, terdapat hadith Abu Sa‘id al-Khudri merawat orang yang disengat kala jengking. Mereka berpakat untuk membayar 30 ekor kambing, maka dia ambil. Ini pengeras diberikan bentuk pemberian ikhlas. Ini tidak sesat melainkan dikenakan terlampau tinggi. Maka dibolehkan dalam mengambil pengeras melihat kepada situasi perawat itu juga kerana meluangkan masa untuk merawat atau mengaji dan sebagainya. Perkara ini dibolehkan. (Lihat Petua Menelusuri Ilmu Pengubatan Islam, hlm. 46).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa perkara ini perlu diteliti dan diperhalusi. Jika dukun dan bomoh itu mengambil pengeras sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik atau amalan yang bertentangan dengan syarak, maka jelas ia adalah haram dan dilarang dalam syarak. Dalam hal ini, tidak syak lagi ia adalah sesat dan boleh membawa kepada syirik. Namun, jika pengeras yang diambil itu bermaksud upah bagi rawatan atau penghargaan kepada perawat, terutamanya dalam perubatan ruqyah Syar‘iyyah, tanpa ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik atau amalan yang bertentangan dengan syarak, maka ia adalah diharuskan. Ini berdasarkan kepada hadith Abu Sa’id al-Khudri sebagaimana di atas.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pengeras. Diakses pada 23 November 2023.