#4571: Fadhilat Surah al-Kafirun 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan fadhilat surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌۭ مَّا عَبَدتُّمْ (٤) وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ (٥) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ

Maksudnya: “Katakanlah wahai Muhammad, “Wahai orang-orang kafir!” “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.” “Kamu pula bukan penyembah-penyembah apa yang aku sembah.” “Aku tidak sesekali akan menjadi penyembah apa yang kamu sembah.” “Kamu tidak pernah menjadi penyembah-penyembah apa yang aku sembah.” “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 1-6)

Menjawab persoalan di atas berkenaan fadhail Surah al-Kafirun ini, terdapat beberapa riwayat sahih yang menerangkan fadhailnya yang merangkumi pemilihan Rasulullah SAW untuk membacanya di dalam solat Baginda serta pembacaannya pada waktu-waktu tertentu. Antaranya adalah sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ، فَقَرَأَ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى: {قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ } [الكافرون: 1] حَتَّى انْقَضَتِ السُّورَةُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  «هَذَا عَبْدٌ عَرَفَ رَبَّهُ»، وَقَرَأَ فِي الْآخِرَةِ: {قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ} [الإخلاص: 1] حَتَّى انْقَضَتِ السُّورَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَذَا عَبْدٌ آمَنَ بِرَبِّهِ» فَقَالَ طَلْحَةُ: «فَأَنَا أَسْتَحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَاتَيْنِ السُّورَتَيْنِ فِي هَاتَيْنِ الرَّكْعَتَيْنِ» 

Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah R.A berkata: Seorang lelaki berdiri dan menunaikan solat sunat subuh dua rakaat. Beliau membaca di rakaat pertama {قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ } sehingga selesai surah. Nabi SAW bersabda: “Hamba ini mengenali Tuhannya”. Lelaki itu membaca di rakaat akhir dengan قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ  sehingga selesai surah. Rasulullah SAW bersabda: “Hamba ini beriman dengan Tuhannya”. Talhah R.A berkata: Aku suka untuk membaca kedua-dua surah ini pada dua rakaat solat tersebut. 

Riwayat Ibn Hibban (2461) Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadith ini kuat.

Diriwayatkan daripada Farwah bin Nawfal, daripada bapanya R.A yang berkata:

أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم قال لِنَوْفَل: «اقرأ: {قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ } ثم نَمْ على خَاتِمتِها، فإنها بَراءةٌ مِنَ الشرك

Maksudnya: Daripada: Sesungguhnya Nabi SAW berkata kepada Nawfal: “Bacalah {قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ}, kemudian tidurlah setelah selesai membacanya, kerana ia adalah penyelamat daripada syirik”.

Riwayat Abu Dawud (5055). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih Abu Dawud (5055)

Diriwayatkan daripada Abd al-‘Aziz bin Juraij berkata: Aku bertanya ‘Aisyah Ummu al-Mukminin R.Anha tentang surah yang dibaca oleh Rasulullah SAW dalam solat witir. Beliau berkata: 

كَانَ « يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى، وَفِي الثَّانِيَةِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَفِي الثَّالِثَةِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَالمُعَوِّذَتَيْنِ. 

Maksudnya: Baginda membaca di rakaat pertama: سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى di rakaat kedua: قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ, dan di rakaat ketiga قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ dan الْمُعَوِّذَتَيْنِ .

Riwayat Ahmad (25906). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan hadith ini Sahih li Ghairih tanpa lafaz المُعَوِّذَتَيْن.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ: قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ 

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca dalam dua rakaat solat sunat sebelum subuh: قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ dan قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ .

Riwayat Muslim (726)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ، وَكَانَ يَقُولُ: «نِعْمَ السُّورَتَانِ هُمَا، يُقْرَأُ بِهِمَا فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ: {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ {قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ}

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah R.Anha berkata: Rasulullah SAW solat dua rakaat sebelum solat subuh, Baginda bersabda: “Sebaik-baik dua surah iaitu yang dibacakan ketika dua rakaat solat sunat subuh: {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} dan {قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ} .

Riwayat Ibn Majah (1150). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan hadith ini hadith sahih

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”