Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada membaca artikel berkenaan hukum memakan capybara di Maktabah al-Bakri. Dalam artikel tersebut dinyatakan bahawa capybara haram dimakan kerana ia merupakan perumah kepada parasit. Soalan saya, di sesetengah kawasan di Amerika Selatan ada diternak capybara bagi mendapatkan daging dan kulitnya, barangkali ia lebih bersih dan selamat daripada parasit daripada yang liar. Jadi, adakah capybara yang diternak itu boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu pengenalan ringkas mengenai haiwan ini. Capybara (Hydrochoerus hydrochaeris) ialah rodensia yang paling besar daripada semua rodensia. Ia membesar sehingga panjangnya 1.2 meter dan beratnya mungkin melebihi 45 kilogram. Ia tinggal di timur Panama dan di Amerika Selatan di timur pergunungan Andes. Capybara kelihatan seperti babi kecil atau tikus belanda besar. Badannya yang besar diliputi bulu kasar yang berwarna perang kemerahan atau kelabu di bahagian atasnya dan perang kekuningan di bahagian bawahnya. Kepala haiwan ini besar, muncungnya dempak dan ekornya pendek. Kaki belakangnya agak lebih panjang daripada kaki depannya. Kakinya mempunyai jari renang dan boleh berenang dengan baik. Ia meragut dekat tasik dan sungai, dan terjun ke dalam sungai sekiranya ada tanda bahaya. Sesetengah orang menamakannya babi air. Capybara adalah makanan kegemaran jaguar, buaya dan manusia. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 5/95).
Capybara adalah satu-satunya spesies daripada famili Hydrochoeridae. Rupanya mirip cavy dan tikus belanda (guinea pig) daripada famili Caviidae.[1] Ia tergolong dalam haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan bagi memperoleh semua nutrien yang diperlukannya. Pemakanan capybara kebanyakannya ialah rumput dan tumbuhan akuatik. Ia juga memakan buah-buahan serta sekali sekala mengunyah kulit kayu lembut.[2] Selain itu, capybara juga boleh berada di dalam air — yakni menyelam — sehingga 5 minit dalam satu masa bagi bersembunyi daripada musuhnya.[3]
Keduanya, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)
Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).
Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’”
(Surah al-An‘am: 145)
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:
وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا
Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.”
Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).
Kemudian, jika dilihat kepada sifat dan habitat capybara, ia lebih dekat dengan haiwan darat dan bukannya hidupan air. Mengenai hal ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:
مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ
Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”
Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).
Oleh yang demikian, capybara ini termasuk jenis haiwan yang tidak dinyatakan secara jelas mengenai status kehalalannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal untuk dimakan selagi mana tidak terdapat dalil lain yang menunjukkan kepada hukum sebaliknya.
Apatah lagi, jika dilihat kepada sifat capybara ini, ia termasuk dalam kategori haiwan herbivor yang hanya makan rumput, tumbuh-tumbuhan akuatik dan buah-buahan. Bukannya seperti haiwan buas yang memburu haiwan lain sebagai makanan. Begitu juga, menamakannya sebagai babi, sama sekali tidak memberi kesan hukum ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan:
العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا
Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”
Tambahan pula, perkara ini jelas disebut oleh Ibn Rusyd al-Hafid sebagaimana kenyataannya bahawa kaum Muslimin telah bersepakat akan pengharaman babi. Lafaz babi membawa erti seluruh jenis babi secara zat selagimana bukan hanya sekadar berkongsi nama atau disebut sebagai babi, tetapi pada hakikatnya ia bukan daripada jenis babi secara zatnya, contohnya seperti babi air. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/10).
Selain itu, sebahagian masyarakat setempat juga menjadikan capybara ini sebagai makanan terutamanya di Venezuela.[4]
Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam artikel kami yang lalu kami berpendapat bahawa capybara haram dimakan disebabkan oleh ia menjadi perumah kepada parasit dan memudaratkan kepada pemakannya. Justeru, ketika itu ia menjadi haram bukan disebabkan oleh zat haiwan itu sendiri adalah haram, tetapi disebabkan oleh adanya faktor lain yang menjadi penyebab kepada pengharamannya iaitu “memudaratkan pemakannya disebabkan disebabkan oleh parasit yang terdapat padanya.” Hal ini selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”
Akan tetapi jika terbukti bahawa capybara yang diternak bagi mendapatkan daging dan kulitnya selamat daripada jangkitan parasit yang memudaratkan manusia, maka hukum memakannya kembali kepada hukum asal iaitu harus dimakan. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan atau haram memakan capybara adalah kerana ia menjadi perumah kepada parasit yang membahayakan pemakannya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:
إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ
Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa capybara dihukumkan sebagai haram untuk dimakan disebabkan oleh ia menjadi perumah kepada parasit yang memudaratkan serta membahayakan pemakannya — iaitu manusia. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).
Namun, jika terbukti bahawa capybara yang diternak bagi mendapatkan daging dan kulitnya selamat daripada jangkitan parasit yang memudaratkan manusia, maka hukum memakannya kembali kepada hukum asal iaitu harus dimakan sebagaimana dalil-dalil yang kami telah sebutkan di atas.
Bagi mendapatkan sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut dan menambahkan maklumat, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang berkaitan dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #373 Memakan Daging Capybara (Babi Air).[5]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/capybara-genus. Diakses pada 24 November 2023.
[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/capybara/. Diakses pada 24 November 2023.
[3] Lihat https://animals.sandiegozoo.org/animals/capybara. Diakses pada 24 November 2023.
[4] Lihat artikel bertajuk 5 Things to Know About the Capybara, the World’s Largest Rodent, https://people.com/pets/5-things-to-know-about-the-capybara-the-worlds-largest-rodent/.
[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/373-memakan-daging-capybara-babi-air/. Diakses pada 24 November 2023.