#4579: Penggunaan Kalimah ‘Futihat’ (فُتِحَتْ) Untuk Ahli Syurga dan Ahli Neraka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah rahsia perbezaan penggunaan lafaz ‘wafutihat’ (وَفُتِحَتْ) dan ‘futihat’ (فُتِحَتْ) untuk ahli syurga dan neraka sebagaimana dalam Surah al-Zumar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami membawakan firman Allah SWT dari Surah al-Zumar ketika menerangkan perihal ahli Neraka:

وَسِيقَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا فُتِحَتْ أَبْوَٰبُهَا

Maksudnya: “Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya.”

(Surah al-Zumar: 71)

Manakala dalam ayat berikutnya Allah SWT menceritakan pula perihal ahli Syurga:

وَسِيقَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ إِلَى ٱلْجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَٰبُهَا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka.”

(Surah al-Zumar: 73)

Jika diperhatikan, ada perbezaan kecil dari sudut lafaz pada kedua-dua ayat di atas, iaitu Allah SWT menggunakan lafaz (فُتِحَتْ) berkenaan orang kafir yang dibawa ke Neraka, sedangkan lafaz (وَفُتِحَتْ) dengan tambahan huruf wau (و) pula digunakan tatkala golongan bertaqwa diarak masuk ke Syurga.

Adapun untuk golongan kafir, tatkala mereka tiba di pintu Neraka, mereka mendapati ia sedang tertutup, dalam keadaan mereka tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka sedang berdiri di atas api, lalu apabila mereka sampai di hadapan pintu, Allah SWT membukanya secara mengejut untuk menghina dan menakutkan mereka. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/285;  Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/109)

Manakala huruf wau (و) pada lafaz (وَفُتِحَتْ), para ulama’ membincangkan hal ini secara tuntas dalam karangan mereka. Ada yang berpandangan bahawa huruf wau (و) tersebut ialah wau al-thamaniyah (وَاوُ الثَّمَانِيَةِ), iaitu huruf wau (و) yang digunakan untuk menyebut bilangan 8, sesuai dengan fakta bahawa Syurga itu ada lapan pintu masuk. Ini merupakan pandangan sebahagian ulama bahasa Arab seperti al-Hariri dan Ibn Khalawaih. 

Namun pandangan ini dikritik oleh Imam Ibn Kathir, beliau mengatakan, sesiapa yang menyangka bahawa huruf wau (و) itu adalah wau al-thamaniyah (وَاوُ الثَّمَانِيَةِ), yang mana difahami darinya bahawa pintu Syurga itu ada 8. Bahkan bilangan pintu Syurga ini difahami melalui hadith-hadith sahih. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/109)

Ia juga ditolak oleh Syeikh Ibn ‘Asyur yang menegaskan bahawa huruf wau (و) itu ialah huruf al-hal (keadaan). Maka ayat tersebut menunjukkan keadaan golongan bertaqwa tatkala mereka sampai ke pintu syurga yang telah sedia terbuka dan terbentang luas di hadapan mereka, yang mengisyaratkan kemuliaan yang mereka perolehi daripada Allah SWT. Mereka disambut dengan golongan malaikat di pintu Syurga yang memuliakan mereka. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 24/71)

Para malaikat mengiringi kaum Mukmin menuju ke syurga dengan penuh penghormatan dan kemuliaan. Mereka diarak secara berkelompok dan bergerak secara beriringan. Setiap kelompok disesuaikan dengan tingkatan dan darjat keimanan mereka. Kumpulan pertama adalah bagi orang yang dekat kepada Allah SWT, disusuli dengan kelompok abrar, kemudian disusuli dengan kelompokkelompok berikutnya. Sehinggalah mereka sampai ke pintu-pintu syurga yang berjumlah lapan semuanya setelah melalui titian sirat dan dibersihkan daripada dosa-dosa dunia. Pintu-pintu syurga telah terbuka menyambut kedatangan para penghuninya dengan penuh kemeriahan.147 Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَنََا أَوَّلُ النَّاسِ يَشْفَعُ فِِي الْْجَنَّةِ وَأَنََا أَكْثَرُ الْْأَنْبِيَاءِ تَبَعًا

Maksudnya: “Akulah orang pertama yang memberi syafaat di syurga dan akulah nabi yang mempunyai pengikut paling ramai.”

Riwayat Muslim (330)

Diriwayatkan juga daripada Sahl bin Sa‘d R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ فِِي الْْجَنَّةِ بََابًًا يُقَالُ لَهُ الرَّيََّّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لََا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ، فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ، أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang bernama al-Rayyan. Mereka yang berpuasa akan masuk syurga melaluinya pada hari kiamat dan tiada siapa boleh memasukinya kecuali mereka. Lalu ditanya kepada ahli syurga: Di manakah orang yang berpuasa? Kemudian, mereka pun memasukinya. Sebaik sahaja orang yang terakhir masuk, ia ditutup dan tiada seorangpun yang akan memasukinya selepas itu.”

Riwayat Muslim (1152)

Dalam hadith yang lain daripada Umar al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَنَّهُ لََا يَدْخُلُ الْْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak akan masuk Syurga kecuali orang beriman sahaja.” 

Riwayat Ahmad (203)

Kami katakan, dapatan kami juga menunjukkan bahawa untuk penduduk neraka tanpa wau sedangkan penduduk syurga didatangkan dengan wau iaitu وَفُتِحَتْ bagi menggambarkan tiada penghormatan untuk penghuni neraka dan dihina sedemikian rupa, dimasuk dan dihumbankan sebagaimana dalam nas menyebut. Sedangkan bagi penghuni syurga, mereka diberi penghormatan, diraikan, dipersilakan, dimuliakan dengan penuh penghormatan dan kemuliaan. Maka layaklah disebut dengan وَفُتِحَتْ.

Kemudian, masuklah mereka yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga, tinggal di dalamnya selamanya, tidak akan pernah terlepas dan berpindah darinya. Tiada kematian dan tidak ada yang sia-sia di sana.

Ketika orang Mukmin mendapati kenikmatan Syurga yang kekal dan pahala yang melimpah, mereka berkata: “Segala puji dan syukur hanya untuk Allah Yang Maha Agung, Yang Menepati janji-Nya dengan kebangkitan dan pahala berupa Syurga yang disampaikan melalui para utusan-Nya yang mulia.” Hal ini selari dengan doa mereka sewaktu di dunia sepertimana firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami segala apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui para rasul-Mu berupa kemenangan di dunia dan akhirat dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.”

(Surah Ali ‘Imran: 194)

Semoga kita juga tergolong dari kalangan mereka yang diiringi oleh malaikat untuk masuk ke Syurga Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam