#4581: Dakwah dan Peringatan Secara Berterusan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dakwah perlu dilakukan secara berterusan atau hanya sementara?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan yang diajukan, kami menyatakan firman Allah SWT:

لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غَـٰفِلُونَ

Maksudnya: “Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.”

(Surah Yasin: 6)

Ayat ini menerangkan tugas dan tanggungjawab sebagai Rasul yang berada pada jalan agama yang benar dan diturunkan bersama Baginda al-Quran itu, iaitu tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi peringatan kepada mereka yang lalai dan amaran kepada mereka yang alpa. 

Meskipun pada zahir ayat 6 Surah Yasin ini mengkhususkan perutusan Baginda kepada kaum Arab, namun ia tidak sama sekali menafikan kedudukan dan peranan Rasulullah SAW sebagai Rasul yang diutuskan kepada seluruh umat manusia. 

Bangsa Arab disebut secara khusus, kerana kepada merekalah khitab al-Quran ditujukan, dan merekalah kaum yang menerima dakwah Rasulullah SAW secara langsung. Adapun universal misi dakwah Rasulullah SAW telah thabit secara mutawatir melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis yang pelbagai, antaranya firman Allah SWT:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad!): ‘Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku ialah utusan Allah kepada kamu semua’.” 

(Surah al-A‘raf: 158) 

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A:

وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً

Maksudnya: “Dan Nabi sebelumku hanya diutus kepada kaumnya saja, sementara aku diutus kepada umat manusia seluruhnya.”

Riwayat al-Bukhari (438)

Sesuatu peringatan, dakwah, tunjuk ajar serta bimbingan itu perlu dilakukan secara berterusan dan berulang kali tanpa rasa penat dan jemu agar hati dan diri sentiasa diisi dengan roh keimanan. Diriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Abdillah al-Thaqafi R.A bahawa dia bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku (nasihat) tentang Islam, yang mana aku tidak akan bertanya tentangnya pada orang lain selainmu.” Rasulullah SAW bersabda:

قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ

Maksudnya: “Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah,’ kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38)

Syeikh Sa‘id Hawwa dalam tulisannya tentang dakwah pernah menyebut berkenaan kepentingan usaha dakwah yang berterusan. Menurut beliau, dakwah ke jalan Allah merupakan satu matlamat dan pada masa yang sama ia merupakan wasilah untuk mencapai matlamat lain seperti tazkiyyah al-nafs, pembentukan individu dan keluarga muslim, masyarakat dan negara Islam. Pencapaian matlamat ini bergantung kepada dakwah. Semakin banyak usaha dakwah yang dijalankan secara berterusan, maka matlamat umum yang diamanahkan oleh Allah SWT akan tercapai. Oleh itu, keutamaan perlu diberikan kepada dakwah lebih daripada yang lain. (Lihat Kai La Namdhi Ba‘ida ‘an Ihtiyajat al-‘Asr, hlm. 238)

Bertitik tolak daripada itu, maka usaha seperti ini hendaklah sentiasa digiatkan dengan pelbagai cara dan kaedah. Ini sepertimana maksud salah satu daripada sifat penting oleh seorang pendakwah iaitu sifat tabligh (menyampaikan). 

Sifat ini boleh dipraktikkan oleh seseorang pendakwah dengan pelbagai cara seperti dakwah dengan kebaikan, menegakkan amar ma‘ruf dan nahi munkar, kelas pengajian, ceramah, penulisan, khutbah, perbualan harian dan seumpamanya. Dalam erti kata yang lain, seseorang pendakwah tidak sewajarnya melepaskan ruang dan peluang yang ada untuk terus memberi peringatan dan pengajaran.

Justeru, dengan wujudnya pelbagai alat teknologi yang canggih pada masa kini, sudah tentu ia sedikit sebanyak memudahkan usaha dakwah dan peringatan ini dilakukan. Penggunaan teknologi dan media serta capaian internet yang meluas melalui laman blog, Facebook, Twitter, Instagram, saluran Youtube dan seumpamanya boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam melaksanakan tuntutan ini.

Semoga Allah SWT meneguhkan kita dan para pendakwah di luar sana untuk terus kuat di atas jalan dakwah dan mengajak manusia ke arah kebaikan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam