#4584: Maksud Humazah (هُمَزَةٍۢ) dan Lumazah (لُّمَزَةٍ)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan Humazah dan Lumazah dalam surah al-Humazah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيْلٌۭ لِّكُلِّ هُمَزَةٍۢ لُّمَزَةٍ

Maksudnya: “Celakalah kepada semua pengumpat dan pencela.”

(Surah al-Humazah: 1)

Syeikh al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “وَيْلٌ” bermakna ancaman dan azab yang sangat keras. “لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ” iaitu orang yang suka mencela dan merendahkan orang lain dengan perbuatannya dan menyakiti orang dengan katanya. Orang yang disebut “الهَمّاز” ialah orang yang menghina dan mencela orang lain dengan isyarat dan perbuatan, Manakala “اللّمّاز” adalah orang yang mengaibkan orang lain dengan perkataannya.  Orang yang suka mencela dan mengumpat memiliki sifat-sifat tertentu, antaranya ialah dia hanya fokus pada mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, serta merasa bangga dengan harta tersebut. Mereka tidak memiliki keinginan untuk membelanjakan harta mereka pada perkara dan jalan kebaikan, menyambungkan silaturrahim dan seumpamanya.

Orang yang suka mencela dan mengumpat menyangka dengan kejahilannya bahawa harta kekayaannya akan membuatkan hidup selamanya di dunia. Oleh itu, segala usaha dan upayanya difokuskan untuk memperbanyakkan hartanya, yang dia sangkakan dapat memperpanjang umurnya. Tetapi dia tidak sedar bahawa sifat bakhil dan kikir itu sebenarnya memendekkan umurnya dan merosakkan kehidupannya dan persekitarannya. Sebaliknya, kebaikan dan amal kebajikanlah yang akan memperpanjangkan umur seseorang. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 934)

Menjawab persoalan di atas, Humazah ialah kata sifat mengaibkan orang lain dengan isyarat mata, mulut dan kepala sama ada di hadapannya atau di belakangnya. Lumazah pula ialah menyakitkan orang lain dengan menyebut keaibannya. Kedua-dua sifat ini adalah sifat golongan musyrik terhadap orang beriman pada waktu tersebut. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/646)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”