#4586: Dakwah dan Teknologi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah perlu menggunakan teknologi dalam berdakwah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saling nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran ialah tanggungjawab dakwah yang perlu dipikul oleh umat Islam. Dakwah kekal sehingga hari akhirat kerana pertembungan antara di keimanan dan kekufuran, baik dan buruk, adil dan zalim, hak dan batil akan sentiasa berlaku. Ia merupakan aturan Allah bagi alam ini semenjak Nabi Adam A.S. 

Firman Allah SWT:

وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّهُدِّمَتْ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٌۭ وَصَلَوَٰتٌۭ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًۭا ۗ 

Maksudnya: Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain, nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, sinagog-sinagog Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan. 

(Surah al-Hajj: 40) 

Allah SWT telah mewajibkan tanggungjawab dakwah ke atas hamba-hambanya. Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:  Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh manusia berbuat makruf serta melarang mereka daripada segala perkara mungkar. Dan mereka itulah golongan yang berjaya. 

(Surah Ali Imran: 104)

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa dakwah kepada Allah bersifat fardu kifayah di setiap kawasan dan wilayah. Sekiranya ada orang yang melaksanakan tanggungjawab dakwah ini, maka baki yang lain tidak lagi diwajibkan dan ia menjadi sunat muakkad. Jika tidak ada orang yang memikul tanggungjawab ini dengan sempurna, maka semua penduduk di kawasan dan wilayah tersebut berdosa. Oleh itu, ia menjadi wajib kepada setiap orang untuk memikulnya mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Sebahagian ulama pula menyebut bahawa dakwah ialah fardu ain kepada para rasul A.S dan ulama yang faqih, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat”.

Riwayat al-Bukhari (3461)

Pada zaman sekarang, Allah SWT telah memudahkan urusan dakwah dengan jalan-jalan yang tidak ada sebelum ini seperti melalui radio, televisyen, surat khabar, internet dan lain-lain. Para ahli ilmu wajib menggunakan kemudahan yang ada ini untuk menyampaikan risalah Allah SWT ini.   

Nabi Musa A.S ketika berdepan dengan Firaun telah bertarung dengan ahli sihirnya. Ketika penentuan hari pertarungan, Nabi Musa A.S memilih hari perayaan pada zaman tersebut dengan tujuan supaya ramai penduduk Mesir dapat melihatnya dan seterusnya melihat kebenaran. 

Jelasnya, Nabi Musa AS sedaya upaya berusaha agar dakwahnya dapat sampai kepada ramai penduduk Mesir dalam satu masa. 

Justeru, para pendakwah di zaman moden hari ini seharusnya menggunakan pelbagai teknologi agar dakwah boleh sampai kepada sasaran meliputi ramai orang dalam satu-satu masa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/640-641)

Kesimpulan

Setiap pendakwah seharusnya menggunakan teknologi moden untuk menyampaikan agama Allah. Keberkesanan dalam  menyampaikan dakwah adalah satu keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Justeru, setiap pendakwah hendaklah memanfaatkan penggunaan teknologi moden ini sesuai dengan peredaran zaman. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”