#4587: Sifat Ahli Syurga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan sifat ahli syurga berdasarkan nas hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Allah SWT telah menetapkan bahawa syurga ini hanya akan didiami oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh sahaja. Hal ini, dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Baqarah: 82)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang-orang yang membenarkan Allah dan rasul-Nya, beriman dengan hari akhirat, melakukan amal soleh, menunaikan kewajipan, meninggalkan segala maksiat adalah orang-orang yang layak untuk memasuki syurga sebagai ganjaran di atas ketaatannya, pergantungannya serta keikhlasannya kepada Allah di waktu sembunyi dan terang-terangan. Ini juga merupakan dalil bahawa iman yang sahih bersama amal soleh merupakan syarat untuk masuk ke dalam syurga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/154)

Sebagai umat Islam kita memang dituntut untuk berusaha mendapatkan syurga Allah SWT di akhirat kelak. Bahkan terdapat beberapa nas dari al-Quran dan juga al-Sunnah yang menganjurkan kepada hal tersebut. Ini seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Bersegeralah kamu ke arah (mendapatkan) pengampunan dari Tuhan kamu dan (bersegeralah) mendapatkan syurga yang luasnya melebihi langit-langit dan juga bumi yang disediakan buat golongan yang bertakwa.

(Surah Ali Imran: 133)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ

Maksudnya: Apabila kamu meminta kepada Allah mintalah kepadanya syurga Al-Firdaus kerana ia merupakan syurga terbaik serta yang paling tinggi.

Riwayat al-Bukhari (2790)

Justeru, menjadi tabiat manusia ketika mana berada dalam proses dan usaha untuk mendapatkan syurga Allah SWT kadangkala menimbulkan beberapa persoalan berkenaan dengan ciri-ciri syurga, bagaimana cara mendapatkannya, sifat-sifat penghuni syurga, adakah sesama ahli keluarga boleh dihimpunkan semula dan juga beberapa perkara yang berkaitan dengannya.

Sifat Ahli Syurga

Menjawab persoalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW menjelaskan sifat ahli syurga dalam sabdanya;

أَوَّلُ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ عَلَى أَشَدِّ نَجْمٍ فِي السَّمَاءِ إِضَاءَةً، ثُمَّ هُمْ بَعْدَ ذَلِكَ مَنَازِلُ لَا يَتَغَوَّطُونَ وَلَا يَبُولُونَ وَلَا يَمْتَخِطُونَ وَلَا يَبْزُقُونَ، أَمْشَاطُهُمُ الذَّهَبُ، وَمَجَامِرُهُمُ الْأَلُوَّةُ، وَرَشْحُهُمُ الْمِسْكُ، أَخْلَاقُهُمْ عَلَى خُلُقِ رَجُلٍ وَاحِدٍ، عَلَى طُولِ أَبِيهِمْ آدَمَ، سِتُّونَ ذِرَاعًا.  

Maksudnya: “Kumpulan pertama dari umatku yang masuk ke syurga (bercahaya) seperti bulan purnama di malam hari. Kemudian mereka yang selepasnya (bercahaya seperti) bintang-bintang yang paling banyak berkilauan, kemudian manusia berada dalam peringkat yang berbeza, mereka tidak akan membuang air besar, atau membuang air kecil, atau membuang hingus, dan tidak juga meludah. Dan sikat mereka diperbuat daripada emas, dan bahan bakar mereka adalah gaharu dan peluh mereka bak kasturi. Akhlak mereka seperti akhlak seorang lelaki dan ketinggian mereka seumpama ketinggian bapa mereka Adam setinggi enam puluh hasta.” 

Riwayat Muslim (2834)

Justeru, berdasarkan hadith ini, antara sifat ahli syurga ialah:

  • Sebahagian mereka bercahaya seperti bulan purnama di malam hari. 
  • Sebahagian mereka bercahaya seperti bintang-bintang yang paling banyak berkilauan
  • Mereka tidak akan membuang air besar, atau membuang air kecil, atau membuang hingus, dan tidak juga meludah. 
  • sikat mereka diperbuat daripada emas,
  • ahan bakar mereka adalah gaharu dan peluh mereka bak kasturi. 
  • Akhlak mereka seperti akhlak seorang lelaki
  • ketinggian mereka seumpama ketinggian bapa mereka Adam setinggi enam puluh hasta.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”