#4590: Allah Tidak Bercakap dengan Nabi Musa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum orang yang berkata Allah SWT tidak bercakap dengan Nabi Musa A.S? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًۭا ‎

Maksudnya: “Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”

(Surah al-Nisa’: 164)

Abu Hayyan ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan, ini adalah perkhabaran tentang Allah yang memuliakan Musa dengan kata-kata-Nya, dan Dia menguatkan dengan sumber yang menunjukkan bahawa perbuatan itu terjadi secara nyata, bukan secara metafora. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 4/139).

Biografi Nabi Musa AS: Nabi Musa lahir di Mesir 1527 SM pada pemerintahan Merneptah, pendapat lain mengatakan Ramses Akbar atau Thutmosis atau Firaun. Musa adalah seorang pemimpin dan Nabi orang Israel dan memiliki tugas membawa Bani Israil (Israel) keluar dari Mesir. Nama beliau disebutkan sebanyak 136 kali di dalam Al-Quran. Musa bin Imran bin Fahis bin ‘Azir bin Lawi bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim bin Azara bin Nahur bin Suruj bin Ra’u bin Falij bin ‘Abir bin Syalih bin Arfahsad bin Syam bin Nuh. Sedangkan nama ibunda Musa memiliki nama Yukabad, pendapat lain mengatakan namanya adalah Yuhanaz Bilzal.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagai jawapannya, cukuplah kami menukilkan perkataan Ibn al-Qasim yang merupakan seorang ulama terkemuka di Mesir dan mufti serta sahabat kepada Imam Malik, beliau menyatakan bahawa sesiapa yang mengatakan sesungguhnya Allah SWT tidak bercakap dengan Nabi Musa AS, maka hendaklah dia dibunuh. Selain itu, pendapat yang sama turut disebutkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Mahdi yang termasuk dalam kalangan ulama besar salafussoleh, bahkan beliau dipuji oleh Imam al-Syafi‘i dengan pujian, “Aku tidak mengetahui adanya orang sebandingnya (dari segi keilmuan dan kehebatannya) di dunia ini.” (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 170).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”