#4593: Nasihat kepada Pemimpin dan Umat Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita dikehendaki menasihati kepada pemimpin dan umat Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW: Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dari R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِله، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الـمُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: ‘Bagi siapa?’ Baginda bersabda: ‘Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.’”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasa’i (7/156)

Nasihat bagi para pemimpin kaum muslimin adalah menasihati mereka, iaitu: menjelaskan kebenaran kepada mereka, tidak meresahkan dan menakutkan mereka, membantu dan menolong pemerintah dalam perkara-perkara yang hukumnya wajib untuk dibantu, bersedia menjadi para pejuang untuk mempertahankan tanah air daripada musuh luar, menegur pemerintah dengan cara lembut dan berhikmah. Pemerintah yang baik ialah pemerintah yang bertaqwa, menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermulanya suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan ialah apabila berlaku hubungan yang tidak baik di antara rakyat dan pemerintah.

Yang dimaksudkan dengan pemimpin kaum Muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk juga dalam pengertian pemimpin umat Islam ialah para ulama dan golongan islah (golongan yang berusaha menggerakkan perubahan ke arah kebaikan). Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Adapun para ulama dan golongan islah tanggungjawab mereka dalam melaksanakan tanggungjawab al-Nasihah untuk kitab Allah dan Rasul-Nya adalah besar. Tangunggjawab ini menuntut supaya mereka menolak kehendak hawa nafsu yang sesat jauh daripada kitab Allah dan sunnah rasul-Nya serta menjelaskan dalil daripada kedua-duanya. Begitu juga menolak pendapat yang daif daripada ulama yang menyeleweng, menjelaskan hadis sahih dan daif yang terdapat dalam kitab sunnah dan masanid berdasarkan kepada kaedah illal hadis dan
al-Jarh wa Ta’dil.

Tanggungjawab mereka yang lebih besar ialah melaksanakan tanggungjawab al-Nasihah untuk para pemerintah dan menyeru mereka supaya berhukum dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah akan menghisab mereka sekiranya mereka cuai
melaksanakan tangunggjawab ini. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.”

Riwayat Ahmad (11143)

Nasihat bagi kaum Muslimin pada umumnya ialah menyampaikan nasihat kepada mereka dengan berdakwah dan menyeru kepada Allah, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, mengajarkan kebaikan kepada mereka, dan lain-lainnya.

Al-Nasihah untuk kaum Muslimin ialah dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan akhirat dan dunia. Apa yang menyedihkan ialah umat Islam tidak mengambil berat di dalam melaksanakan hak nasihat ini terhadap kaum muslimin yang lain secara khususnya di dalam masalah dan perkara yang menuju kepada akhirat. Mereka hanya membataskan segala perhatian kepada
kepentingan dunia sahaja.

Al-Nasihah yang dilaksanakan mestilah tidak terhenti sekadar kata-kata bahkan mesti menjangkau ke peringkat yang membawa kepada amalan. Dengan itu, nasihat akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban dan penyekat kepada kemudaratan, serta memberi ketenangan dan membawa kepada rahmat bagi seluruh umat. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 85-86)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)