#4597: Wanita Juhainah Direjam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat seorang wanita dari Juhainah yang telah direjam kerana berzina pada zaman Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Benar sekali. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Imran bin Husain RA katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ أَتَتْ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ حُبْلَى مِنَ الزِّنَى فَقَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَصَبْتُ حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَيَّ، فَدَعَا نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِيَّهَا فَقَالَ: أَحْسِنْ إِلَيْهَا، فَإِذَا وَضَعَتْ فَأْتِنِي بِهَا. فَفَعَلَ، فَأَمَرَ بِهَا نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَشُكَّتْ عَلَيْهَا ثِيَابُهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِهَا فَرُجِمَتْ ثُمَّ صَلَّى عَلَيْهَا، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: تُصَلِّي عَلَيْهَا يَا نَبِيَّ اللهِ وَقَدْ زَنَتْ؟ فَقَالَ: لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ، وَهَلْ وَجَدْتَ تَوْبَةً أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلهِ تَعَالَى؟

Maksudnya: “Seorang perempuan Bani Juhainah datang menemui Nabi SAW dalam keadaan hamil kerana berzina. Perempuan ini berkata: “Wahai Nabi Allah, saya telah melakukan kesalahan, jatuhkanlah hukuman terhadap saya”. Lalu Rasulullah SAW memanggil penjaga perempuan ini dan bersabda: “Layanlah dia dengan baik. Setelah dia lahirkan anaknya bawalah dia kepadaku.  Perintah Baginda ini dilaksanakan dan kemudian Baginda memerintahkan agar pakaian perempuan ini diikatkan (supaya tidak terselak semasa direjam).” Baginda memerintahkan agar perempuan ini direjam. Perempuan itu pun direjam. Setelah itu Baginda menyembahyangkannya. Umar berkata: “Wahai nabi Allah, adakah engkau menyembahyangkan perempuan yang telah berzina ini?” Baginda bersabda: “Perempuan ini telah bertaubat. Sekiranya taubatnya diagihkan kepada 70 orang penduduk Madinah, nescaya mencukupi mereka. Adakah ada yang lebih baik daripada seseorang yang mengorbankan dirinya kerana Allah?”

Riwayat Muslim (1696)

Berkenaan dengan ayat rejam yang dimansuhkan bacaannya dan dikekalkan hukumnya ialah firman Allah SWT:

الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَــيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالاً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيْزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Lelaki tua dan perempuan tua sekiranya mereka berdua berzina hendaklah kamu merejam mereka berdua sebagai hukuman berat daripada Allah, dan Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. 

Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah agar diselamatkan daripada perbuatan yang mungkar seperti zina, mencuri dan lain-lain.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”