#4605: Lari daripada Perang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seseorang itu lari daripada perang fi sabilillah, adakah di sana jalan untuk dia bertaubat dan diampunkan dosa oleh Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, suka kami nyatakan, lari daripada perang bukan kerana bergabung dengan pasukan, atau kerana taktik, maka hukumnya haram dan hendaklah dia bertaubat kepada Allah. Betapa besarnya dosa tersebut maka dia dianggap 7 dosa besar. Sabda Rasulullah SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ ‏:‏ الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ ‏

Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab, ‘Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina.’” 

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Untuk itu, sewajarnya seseorang bertaubat dengan taubat nasuha serta beristighfar kepada Allah. Sebuah hadith, sabda Rasulullah SAW:

 مَن قال: أستَغفِرُ اللهَ الذي لا إلهَ إلّا هو الحَيُّ القَيُّومُ وأتوبُ إليه، غُفِرَ له وإنْ كان قد فَرَّ مِنَ الزَّحفِ.

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘ أستَغفِرُ اللهَ الذي لا إلهَ إلّا هو الحَيُّ القَيُّومُ وأتوبُ إليه’, maka dia pasti akan diampuni walaupun dia pernah lari dari medan pertempuran.”

Riwayat Abu Daud (1517)

Kami akhiri dengan doa Sayyidul Istighfar:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”