Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum biskut berbentuk haiwan dan adakah dibolehkan untuk memakannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.”
(Surah al-Baqarah: 172)
Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir, ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadah, sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/480)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/81)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak ada masalah untuk membuat beberapa hidangan atau makanan seperti kek dan biskut dalam bentuk berjisim, meskipun dengan bentuk makhluk bernyawa seperti haiwan dan seumpamanya. Ini kerana ia disediakan untuk dimakan dan dihinakan (dengan sebab dimakan itu), dan bukannya untuk disucikan, diagungkan, dan seumpamanya.
Lebih-lebih lagi, syarak ada memberi kelonggaran dan mengharuskan untuk menggunakan gambar/patung dalam permainan kanak-kanak. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي
Maksudnya: “Aku pernah bermain anak patung di sisi Nabi SAW, dan aku mempunyai teman-teman yang bermain bersamaku. Maka apabila Baginda SAW masuk, mereka menyorokkan diri mereka daripada Baginda, lalu Baginda memanggil dan menyuruh mereka bermain bersamaku.”
Riwayat al-Bukhari (6130)
Dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:
كُنْتُ أَلْعَبُ بالبَناتِ في بَيْتِهِ، وَهُنَّ اللُّعَبُ
Maksudnya: “Aku bermain-main bersama anak perempuan di rumah beliau, dan mereka memang senang bermain-main.”
Riwayat Muslim (2440)
Imam al-Nawawi menyatakan, al-Qadhi berpendapat, padanya terdapat dalil yang menunjukkan keharusan untuk bermain dengan patung-patung ini. Beliau menambah lagi, patung-patung ini termasuk dalam jenis gambar yang dilarang, tetapi hadith ini menyatakan keharusan untuk bermain dengannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 15/204).
Begitu juga al-Syabramalisi ada menyebutkan, gambar/patung yang diperbuat daripada manisan bagi tujuan promosi, tidak diharamkan untuk dijual atau dibuat. Kemudian, aku melihat Syeikh al-‘Umairah menukilkan hal tersebut daripada al-Bulqini. (Lihat Hasyiah ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 3/396).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, sekali lagi kami nyatakan, kami berpendapat bahawa membuat manisan, kek, biskut atau seumpamanya yang terdiri daripada makanan-makanan dalam bentuk haiwan adalah tidak mengapa. Hal ini kerana ia disediakan untuk dimakan serta telah dianggap dihinakan dengan sebab dimakan tersebut, dan bukannya untuk disucikan atau diagung-agungkan.
Begitu juga kek dan biskut dalam rupa bentuk haiwan itu halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan dan mengandungi bahan-bahan bernajis yang diharamkan oleh syarak. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang dikemukakan oleh Da’rah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka diajukan soalan yang hampir sama.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”