#4607: Memakan Mencit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca dan kali pertama dengan berkenaan haiwan yang dipanggil mencit. Lalu terfikir, adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu pengenalan ringkas mengenai mencit. Mencit atau dipangil juga sebagai mancit  adalah sejenis haiwan seperti tikus, tetapi lebih kecil. 

Secara ringkasnya, mencit ialah jenis rodensia yang lebih kecil daripada tikus yang tergolong dalam salah satu spesies mamalia kecil genus Mus. Spesies mencit yang paling dikenali ialah mencit rumah (Mus musculus) yang didapati di seluruh dunia sebagai mencit ujian makmal yang berfungsi sebagai organisma contoh penting dalam biologi, di samping menjadi haiwan peliharaan yang laris. Kata mencit ada kaitan dengan kata semakna dalam bahasa-bahasa serumpun keluarga Malayik seperti mancit atau mancik dalam bahasa Minangkabau.

Mencit. Kredit: https://www.greeners.co/flora-fauna/mencit-hewan-pengganggu-yang-berjasa-bagi-penelitian/ 

Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai mouse atau mice (genus Mus). Ia adalah nama umum yang digunakan secara umum tetapi tidak tepat untuk merujuk kepada rodensia yang terdapat di seluruh dunia dengan badan kurang dari kira-kira 12 cm (5 inci) panjangnya. Dalam konteks saintifik, mouse (mencit/tikus) merujuk kepada mana-mana daripada 38 spesies dalam genus Mus, yang merupakan perkataan Latin untuk tikus. Mencit rumah (Mus musculus), asalnya dari Asia Tengah, telah menetap dengan populasi manusia di banyak bahagian dunia.

Semua rodensia dengan badan yang seperti mencit atau seperti tikus, tanpa mengira saiz badan atau ciri-ciri diagnostik, digambarkan sebagai spesies Mus antara 1758 dan akhir abad ke-19. Kajian lanjut mengalihkan kebanyakan spesies ini kepada kumpulan yang berbeza, meninggalkan Mus sebagai genus yang lebih kecil dan ditakrifkan dengan jelas oleh gabungan ciri tertentu. Dalam genus ini, terdapat empat kumpulan berbeza: mencit berduri (subgenus Pyromys), mencit cerut (subgenus Coelomys), mencit padang rumput dan mencit rumah (subgenus Mus), dan tikus Afrika (subgenus Nannomys).

Justeru, jelaslah bahawa mencit atau mice ini tergolong dalam kategori atau spesies tikus.

Hukum memakan mencit

Selanjutnya dalam menjawab soalan di atas, oleh kerana ia tergolong dalam spesies tikus, maka ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, ular, cicak dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat, tidak halal untuk memakan tikus. Al-Mahalli dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menyatakan, pengharamannya adalah disebabkan oleh terdapatnya larangan untuk memakannya dan perintah untuk membunuhnya. Manakala di sisi ulama mazhab Maliki pula terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan ia adalah haram untuk dimakan seperti mana mazhab jumhur ulama. Pendapat kedua menyatakan, hukum memakannya adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 6/32).

Selain daripada itu, ulama mazhab Maliki juga ada menyatakan berkenaan tikus bahawa sekiranya diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah makruh, dan sekiranya tidak diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah diharuskan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144).

Al-Syeikh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir menyatakan, dihukumkan sebagai makruh untuk memakan tikus dan ia adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki. Namun, al-Dusuki dalam hasyiahnya bagi kitab ini menyebutkan, pendapat itu perlu diperhalusi lagi. Hal ini kerana dinyatakan dalam kitab Taharah daripada al-Taudhih bahawa mengenai tikus dan kelawar terdapat tiga pendapat. Pendapat yang menyatakan keharamannya adalah pendapat yang masyhur, dan dia menukilkannya. Begitu juga disebutkan daripada Ibn Rusyd bahawa dia menghafal pendapat yang menyatakan keharamannya. (Lihat Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/115).

Tidak syak lagi bahawasanya tikus termasuk dalam haiwan fawasiq yang diperintahkan untuk dibunuh. Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/22) bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:

لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Apatah lagi, ia haiwan yang dianggap jijik dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83). Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula menyatakan, makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mencit atau mancit haram untuk dimakan kerana ia tergolong dalam spesies tikus dan tikus adalah haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama dan salah satu pendapat dalam mazhab Maliki. Hal ini kerana ia dianggap sebagai haiwan yang jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”