#4608: Syarat Nafkah Tempat Tinggal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah syarat bagi nafkah tempat tinggal ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )

Firman Allah SWT:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq: 7)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzkikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat  Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.871)  

Diriwaytakan daripada Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.

Riwayat al-Bukhari (3825), Muslim (1714), Abu Dawud (3532), al-Nasaie (5420), Ibn Majah (2293) dan Ahmad (24163)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa nafkah yang diwajibkan ke atas suami adalah mengikut status kemampuan dan para isteri boleh menuntut nafkah mengikut keperluan dan kemampuan suami.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa antara nafkah yang wajib diberikan kepada isteri adalah tempat tinggal. Ia merupakan hak isteri ke atas suami disebabkan berlakunya perkahwinan. Hal ini menegaskan betapa pentingnya bagi suami untuk memastikan isterinya mempunyai tempat tinggal yang layak sebagai bahgian dari tanggungjawabnya dalam memelihara kesejahteraan keluarga. Firman Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu

(Surah al-Talak: 6)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT apabila diwajibkan tempat tinggal bagi isteri yang diceraikan maka bagi isteri adalah lebih utama untuk disediakan tempat tinggal. (Lihat al-Mughni, 8/200)

Ibn Qattan menyatakan: Para Ulama telah bersepakat siapa yang diwajibkan ke atasnya nafkah maka diwajibkan juga ke atasnya pakain dan tempat tinggal. (Lihat al-Iqna’ fi Masail al-Ijma’, hlm.80)

Antara syarat-syarat nafkah tempat tinggal adalah sepertimana berikut: 

  • Ia haruslah sesuai dengan keadaan suami, baik suami itu senang atau susah. Ia boleh berupa sebuah bilikbeserta fasiliti, atau sebuah rumah flat, bergantung kepada keadaan suami.
  • Tempat tinggal harus sesuai dengan lingkungan suami, serta statusnya dalam lapisan sosial. Sekiranya dia merupakan seorang doktor atau jurutera, maka tempat tinggalnya sepatutnya sesuai dengan tempat tinggal orang-orang profesional dan dalam kawasan yang sama dengan tempat tinggal yang serupa bagi pekerjaan yang dijalankan.
  • Ia sepatutnya dilengkapi dengan perkakas dan barang-barang yang diperlukan oleh isteri seperti perabot, peralatan memasak  juga harus mempunyai persediaan yang mencukupi untuk rumah, supaya isteri tidak perlu sering meminta barang dari jiran-jiran yang menyebabkan rasa kesempitan dan susah.
  • Ia harus dilengkapi dengan kemudahan yang penting seperti dapur dan bilik mandi  yang tersendiri untuk menjaga martabat dan memelihara kehormatan wanita.
  • Tempat tinggal harus di antara jiran yang baik yang membuat isteri merasa aman dengan kehadiran mereka, dan mereka melindunginya jika suami pergi bekerja atau pergi bermusafir. Suami sebaiknya tidak menempatkannya di tempat yang jauh yang menyebabkan kesepian, dan jika tidak mungkin, dia perlu menyediakan teman atau memindahkannya ke tempat yang lebih aman. (Lihat Nizam al-Usrah fi al-Islam, 2/321)

Justeru kami katakan adalah menjadi kewajipan ke atas suami menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri bagi menjamin kehidupan rumahtangga yang sejahtera dan aman. Yang demikian merupakan nafkah yang patut ditunaikan oleh suami ke atas isteri.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahua’lam