#4610: Biji Kopi yang Digoreng Bersama Lemak Babi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita minum kopi yang berasal dari biji kopi yang digoreng bersama lemak babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa bahagian perbahasan. Pertamanya, secara umumnya, meminum kopi adalah termasuk dalam perkara yang diharuskan. Ini kerana hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Keduanya, sebagaimana yang kita sudah sedia maklum, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). 

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Ketiganya, sebagaimana yang diketahui, proses pemanggangan atau penggorengan merupakan proses yang akhir sebelum ia dikisar (grind) dan dibru (brew) bagi menghasilkan air kopi. Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa sekalipun biji kopi pada asalnya adalah suci dan diharuskan untuk dimakan atau diminum. Namun, bila mana ia telah digoreng bersama lemak babi, maka hukumnya telah berubah menjadi najis dan haram. Ini kerana lemak babi adalah haram dan najis, maka apabila ia digoreng bersama biji kopi secara tidak langsung ia telah mencair dan meresap bersama dengan biji-biji kopi yang digoreng itu, sekali gus menjadikan biji-biji kopi turut dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan atau diminum.

Dalam hal ini terdapat kaedah menyebutkan:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ

Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kopi yang terhasil daripada biji kopi yang digoreng bersama lemak babi adalah haram untuk diminum disebabkan oleh kenajisan lemak babi itu.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan atau minuman kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan atau minuman yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”