#4612: Kepentingan Hak “Istimta’ Antara Suami Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah kepentingan dari hak kewajipan istimta’ antara suami isteri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya[

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Secara umumnya, nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir terdiri daripada keperluan asasi manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah ini wajib dipenuhi oleh pihak suami mengikut kadar kemampuan suami tersebut berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan. Ini adalah berdasarkan dari  dalil dari al-Quran dalam surah al-Talak ayat 7:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

 Maksudnya : Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.

(Surah al-Talak: 7)

Manakala terdapat hadith Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadith dari Mu’awiyah al Qusyairi RA telah bertanya kepada Nabi SAW :

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajiban suaminya?” Beliau menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Riwayat Abu Dawud (2142) dan Ibn Majah (1850)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa menjadi satu kewajipan bagi suami dan isteri untuk melayani pasangan dengan baik dalam setiap aspek kehidupan, termasuk hubungan kelamin. Suami bertanggungjawab memberikan nafkah, baik secara zahir maupun batin kepada isterinya, sementara isteri juga memiliki kewajipan untuk memenuhi keperluan suaminya dalam hubungan intim dengan penuh penghormatan dan kasih sayang. Firman Allah SWT: 

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

( Surah al-Baqarah ayat 187)

Ibn Abbas menyatakan  bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas adalah “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam Tafsir al-Tabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu, iaitu “bersetubuh”. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/490)

Diriwayatkan daripada  Abdullah Ibn Amru bahwa nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبَّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقٌّ

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

 Riwayat al-Bukhari ( 6139) 

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: ” Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Kewajipan ke atas isteri melayani suami boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAA bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya, dan suami itu pun tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. ( Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7-8)

Antara kepentingan hubungan kelamin dalam sebuah perkahwinan di mana  ia memegang peranan penting dalam keharmonian perkahwinan. Keinginan seksual merupakan pendorong utama bagi kebanyakan orang untuk berkahwin. Oleh itu pengabaian atau kurangnya perhatian terhadapnya oleh pasangan boleh menjadi sebab bagi ketidakseimbangan dalam kehidupan yang boleh menyebabkan kekurangan unsur kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga.

Oleh yang demikian, Islam menetapkan bahawa hubungan kelamin dalam perkahwinan adalah hak bagi kedua pasangan, dan tidak dibenarkan bagi salah seorang daripada mereka untuk meremehkan hak pasangannya. Islam juga menegaskan hak setiap pasangan untuk merespon keinginan untuk bersama dalam hubungan kelamin sehingga dianggap sebagai ibadah yang berhak mendapat pahala dan ganjaran dari Allah. (Lihat Nizam al-Usrah fi al-Islam,2/13)

Justeru, kami ingin menekankan betapa pentingnya hubungan kelamin dalam kehidupan perkahwinan kerana ia berperanan penting dalam menjaga kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangga. Oleh itu, adalah penting bagi suami dan isteri untuk tidak mengabaikan aspek ini kerana ia merupakan tanggungjawab yang harus dipenuhi antara satu sama lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahua’lam