#4615: Pengkhianat Dibunuh?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tindakan muqawamah Hamas baru-baru ini yang menangkap tiga rakyat Palestin yang dituduh sebagai pembocor rahsia dan tali barut Israel telah dibunuh merupakan satu tindakan yang benar dan diterima?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Anfal: 27)

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Abdullah bin Abi Qatadah dan al-Zuhri, bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Lubabah bin Abdul Munzir ketika mana Rasulullah SAW menghantarnya kepada Bani Quraizah supaya mereka tunduk kepada hukum-hakam yang dibawa oleh Baginda SAW.  Lalu Bani Quraizah pun meminta pandangannya, dan dia (Abu Lubabah) pula memberikan mereka pandangan dengan mengisyaratkan dengan tangan ke tengkuknya, seperti isyarat sembelih (mati).

Kemudian barulah Abu Lubabah tersedar tentang apa yang dilakukannya dan  ketahui bahawa dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka dia bersumpah untuk tidak merasa apa-apa makanan pun sehinggalah dia mati atau dia diampunkan oleh Allah SWT. Dia pun pergi ke al-Masjid al-Nabawi dan mengikat dirinya sendiri di tiang, dan kekal di sana selama 6 hari, sehinggalah dia pengsan kerana kehabisan tenaga.

Lalu Allah SWT mengampuninya dengan menurunkan firman-Nya

 وَآخَرُونَ اعْتَرَفُوا بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا عَمَلًا صَالِحًا وَآخَرَ سَيِّئًا عَسَى اللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Taubah: 102)

Sahabat lain beramai-ramai datang untuk menyampaikan berita gembira bahawa Allah SWT telah mengampuninya, dan mereka ingin membebaskan ikatannya. Abu Lubabah menegah orang ramai daripada melepaskannya kecuali Rasulullah SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/36)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa isu seperti ini melihat kepada keadaan dan tasarruf imam yakni pemerintah setempat berdasarkan kepada taqdir atau pertimbangan dengan maklumat yang tepat di atas perbuatan tersebut. Begitu juga, dari segi bahaya dan mudarat besar kemungkinan berlaku disebabkan kebocoran maklumat atas pengkhianatan tersebut. Kaedah seperti:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.” 

Terlalu banyak kekalahan pasukan perang atau sesebuah negara dengan sebab wujudnya pengkhianat dan pembocor rahsia. Justeru, ia dianggap musuh utama sementelahan lagi ketika berlakunya peperangan. Sejarah telah membuktikan hal tersebut di sepanjang zaman.

Kami juga nukilkan kehendak Saidina Umar untuk membunuh Hatib bin Abi Balta’ah kerana dikatakan munafiq. al-Imam al-Bukhari menyebut secara umum dengan berkata:

وَقَالَ عُمَرُ لِحَاطِبِ بْنِ أَبِي بَلْتَعَةَ: إِنَّهُ مُنَافِقٌ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا يُدْرِيكَ، لَعَلَّ اللَّهَ قَدِ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ، فَقَالَ: قَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: Umar berkata kepada Hatib bin Abu Balta‘ah: “Sesungguhnya dia seorang munafiq.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Apakah yang membuatkan engkau tahu, sesungguhnya Allah telah zahirkan kepada ahli Badar lalu Dia berfirman: Aku telah mengampuni kalian.” (Lihat Sahih al-Bukhari, bab 74)

Berdasarkan kepada nas ini, para ulama’ menyatakan isu Hatib tidak dibunuh kerana meraikannya yang berjasa dalam peperangan Badar. Kami kisahkan di sini, biografi Sahabat yang bernama Hatib bin Abi Balta’ah ini.

Beliau ialah Hatib bin Abi Balta’ah bin Amr’ bin ‘Umair bin Salamah al-Lakhmi al-Makki. Beliau merupakan salah seorang daripada tentera Badar. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/32)

Dikatakan Hatib adalah seorang yang mempunyai tubuh badan fizikal yang menarik, janggutnya sedikit, orangnya tidaklah tinggi, tangannya kasar. Beliau juga meriwayatkan hadis yang kemudiannya, kedua-dua anaknya Abdul Rahman dan Yahya serta Urwah bin Zubair meriwayatkan daripadanya. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’d, 3/85; Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, 1/659)

 

Hatib bin Abi Balta’ah dan Raja Muqauqis

Hatib bin Abi Balta’ah adalah sahabat Nabi SAW yang menjadi utusan rasmi daripada pemerintahan Islam kepada Muqauqis, raja Mesir untuk menyeru dan mengajak rakyat Mesir agar mengikuti ajaran Islam. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad, 3/114)

Surat tersebut mengandungi ajakan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada Muqauqis untuk memeluk Islam. Dr. Muhammad ‘Imarah menyatakan bahawa terdapat kenyataan Hatib ibn Abi Balta’ah semasa dialognya dengan Raja al-Muqauqis membuktikan bahawa beliau meraikan kebebasan beragama. Hatib ibn Abi Balta’ah berkata: “Bukanlah kami melarang kamu memeluk agama Nabi ‘Isa, bahkan kami menyeru kamu kepadanya (kefahaman sebenar ajaran Nabi ‘Isa)…” Allah SWT jualah yang menciptakan kepelbagaian dan perbezaan dalam syariat agama-agama yang merupakan sunnatullah.” (Lihat al-Islam wa al-Akhar oleh Muhammad ‘Imarah, hlm. 83)

 

Membocorkan Rahsia Nabi SAW

Hatib bin Abi Balta’ah pernah melakukan dosa yang paling besar atau dinamakan ‘pengkhianatan terbesar’. Kejadian tersebut berlaku tatkala dia memberi maklumat berkenaan pergerakan tentera yang dipimpin Baginda Nabi SAW menuju ke Mekah untuk menawannya walaupun Nabi SAW berusaha menyembunyikan perkara tersebut kecuali kepada para sahabat-sahabat tertentu sahaja. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh al-Qaradhawi, hlm. 176-177)

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakpuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut: Hatib bin Abi Balta’ah menulis perutusan kepada Quraisy untuk mengkhabarkan kepada mereka tentang perjalanan Rasulullah SAW. Diberikan perutusan itu kepada seorang wanita dan wanita itu menyelitkan perutusan tersebut dalam gulungan rambutnya. Dia pergi menuju kepada kaum Quraisy. Kemudian, telah sampai kepada Rasulullah SAW berita dari langit yang memberitahu tentang apa yang dilakukan oleh Hatib. Maka Rasulullah SAW lalu mengutus Ali RA dan Miqdad RA dengan berkata: “Pergilah kamu sehingga sampai di Raudhah Khakh. Di sana ada seorang wanita yang membawa sepucuk perutusan kepada Quraisy.”

Maka kedua-duanya pergi dengan memacu kuda dengan pantas sehingga bertemu dengan wanita tersebut di tempat itu. Kedua-duanya terus menghampiri wanita itu dan bertanya: “Apakah engkau membawa perutusan?” Wanita itu menjawab, “Aku tidak membawa perutusan.” Kemudian mereka berdua memeriksa haiwan tunggangan wanita tersebut dan tidak menemui apa-apa.

Lalu Ali berkata kepada wanita itu, “Aku bersumpah atas nama Allah SWT, Rasulullah SAW tidak pernah berdusta. Demi Allah SWT, engkau keluarkan perutusan itu atau kami akan menelanjangkan engkau.” Melihat kesungguhan yang dipamerkan oleh Ali, wanita itu menjawab: “Aku akan keluarkan. Aku akan keluarkan.” Wanita itu lalu menguraikan gulungan rambutnya dan mengeluarkan perutusan tersebut. Dia menyerahkan perutusan itu kepada Ali RA dan Miqdad RA.

Kedua-dua mereka lantas membawa perutusan tersebut kepada Rasulullah SAW. Setelah dibuka, didapati di dalamnya tertulis: “Daripada Hatib bin Abi Balta’ah kepada Quraisy.” Di dalamnya, Hatib memberitahu berkenaan pergerakan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW lalu memanggil Hatib dan bertanya: “Apakah ini Hatib?” Hatib menjawab: “Jangan hukum aku wahai Rasulullah. Demi Allah, sesungguhnya aku ini beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Aku tidak murtad dan tidak pula menukar agamaku. Hanya aku seorang sahaja anak pertama yang membesar di tengah Quraisy. Sebenarnya aku bukanlah saudara mereka, tetapi mereka sudi melayanku sebagai keluarga, saudara dan anak mereka. Aku mempunyai saudara yang boleh melindungi mereka. Sedangkan orang-orang yang bersamamu adalah saudara mereka, yang sebetulnya boleh melindungi mereka. Disebabkan itulah aku ingin melakukan apa yang boleh aku lakukan untuk melindungi mereka.”

Umar bin al-Khattab RA lalu berkata: “Biarkan aku wahai Rasulullah. Aku akan pancung lehernya. Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya. Dia seorang munafik.”

Rasulullah SAW menjawab:

إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia adalah termasuk orang yang ikut serta dalam perang Badar. Apakah engkau mengetahui, bahawa Allah SWT telah melihat (ke dalam hati) orang-orang yang ikut serta dalam Perang Badar, lalu Dia berfirman: “Lakukanlah apa yang kamu kehendaki, sungguh Aku telah mengampuni kalian.”

Riwayat al-Bukhari (4890)

Kedua-dua mata Umar RA terus menitiskan air mata. Lantas dia berkata: “Allah SWT dan Rasul-Nya lebih mengetahui”

Demikianlah Allah SWT mengaburi setiap mata, sehingga berita persiapan dan keberangkatan tentera Islam untuk berperang tidak diketahui oleh Quraisy. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 588-589)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Al-Quran mengesahkan tindakan Nabi SAW melalui ayat awal Surah al-Mumtahanah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan.

(Surah al-Mumtahanah: 1)

Allah SWT masih memanggil Hatib dengan gelaran yang diberikan kepada orang-orang beriman dan memisahkannya daripada golongan musuh yang tidak beriman, seperti dalam ayat “..dengan cara kamu sampai kepada mereka (rahsia Mukmin) dengan sebab hubungan kasih mesra antara kamu.” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh al-Qaradhawi, hlm. 176-177)

Hatib bin Abi Balta’ah telah meninggal dunia di Kota Madinah pada tahun 30 Hijrah dalam usia 65 tahun. Saidina Uthman RA telah menyembahyangkan jenazah ke atasnya. Beliau meninggalkan harta sebanyak 4000 dinar dan dirham serta sebuah rumah. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’d, 3/85)

 Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)