Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang solat secara qasar tanpa jamak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah jika ingin mengqasarkan solat tanpa menjamakkannya. Hal ini kerana terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW kadang-kadang tidak menjamakkan solat ketika musafir. Di antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Ibnu Abbas:
صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِى غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ سَفَرٍ
Maksudnya : Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan asar dan Maghrib dengan Isyak bukan ketika peperangan bukan juga ketika musafir.”
Riwayat Muslim (1662)
Ini menunjukkan kadang-kadang Rasulullah SAW tidak menjamakkan solat ketika Musafir. Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Imam Al-Ghazali yang menyatakan bahawa paling baik meninggalkan solat jamak dan solat pada waktunya. Tidak ada khilaf bahawa meninggalkan solat jamak lebih afdal. Ini berbeza dengan solat qasar.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/378)
Justeru, dapat kita fahami bahawa solat jamak dan qasar merupakan salah satu rukhsah yang diberikan pada keadaan yang tertentu. Namun, tidak menjadi masalah apabila mengqasarkan solat tanpa menjamakkannya, tetapi jika terdapat kesempitan waktu musafir, maka sebaiknya kita mengambil rukhsah yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)