#4620: Mengadakan Gencatan Senjata atau Hudnah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah mengadakan gencatan senjata semasa peperangan kerana sebab-sebab tertentu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Anfal: 61)

Mengambil iktibar dalam perjanjian Hudaibiyyah yang berlaku pada tahun 6 H merupakan salah satu daripada asbab tersebarnya Islam dengan lebih meluas dan kebebasan Rasulullah SAW untuk mengukuhkan lagi kota Madinah dan pasukannya sehingga membawa kepada kebaikan yang banyak. Islam bukanlah sifatnya laparkan darah, tetapi sentiasa mahu menghulurkan perdamaian sekalipun kita berada di atas asas kebenaran sedangkan mereka berada dalam kebatilan. 

Kami kemukakan dalam buku kami yang bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW:

Umar al-Khattab datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas agama yang benar, manakala mereka berada dalam kebatilan?” Rasulullah SAW menjawab: “Memang benar.”  Umar R.A bertanya lagi: “Bukankah orang kita yang terbunuh berada di dalam syurga dan orang mereka berada di dalam neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Memang benar.” Umar R.A bertanya lagi: “Justeru, mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?”

Rasulullah SAW menjawab: “Wahai putera al-Khattab, aku ini Rasulullah dan aku tidak akan menderhakai Allah. Dialah pembantuku dan Dia tidak akan mensia-siakan aku sama sekali.” Umar R.A bertanya lagi, “Bukankah engkau memberitahu kami bahawa kita akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf?” Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan. Tetapi adakah aku memberitahumu bahawa kita akan datang pada tahun ini?” Umar R.A menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda: “Memang engkau pasti akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf.”

Kemudian Umar R.A beredar sambil menahan marah. Beliau pergi pula bertemu dengan Abu Bakar R.A dan berkata seperti yang beliau katakan kepada Rasulullah SAW. Abu Bakar R.A menjawab sepertimana yang dijawab oleh Rasulullah SAW. Selain itu, Abu Bakar R.A turut menambah lagi dengan berkata: “Berpegang teguhlah dengan keputusan Baginda sehingga engkau mati. Demi Allah, Baginda berada di atas kebenaran.”

Kemudian turunlah firman Allah SWT:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberi kemenangan kepadamu (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata.”

(Surah al-Fath: 1)

Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang untuk membacakan ayat ini kepada Umar R.A. Selepas mendengarnya, Umar R.A berkata: “Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” Barulah kemudian Umar R.A berpuas hati dan kembali.

Setelah itu, Umar R.A merasa menyesal atas keterlanjurannya dengan sesalan yang amat sangat. Umar berkata: “Disebabkan perbuatanku itu, maka aku telah melakukan beberapa amalan. Aku bersedekah, berpuasa, bersolat dan membebaskan hamba seperti yang aku lakukan pada hari ini kerana bimbang akan kata-kataku itu, sehingga aku mengharapkan agar amalanku ini diterima sebagai satu kebaikan.” (Lihat Fath al-Bari, 7/439; Sahih al-Bukhari, 1/378; Sahih Muslim, 2/140; Ibn Hisyam, 2/308; Zad al-Ma’ad, 2/122 seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 590)

Berdasarkan kepada pengamatan kami, hasil daripada perjanjian gencatan senjata sementera, sekurang-kurangnya:

  • Bantuan boleh tiba.
  • Peralatan perubatan dan rawatan juga boleh masuk.
  • Bekalan asas juga boleh diserahkan.
  • Pertukaran tawanan juga rancak berjalan.
  • Kemenangan moral juga berpihak kepada pihak Islam atau Palestin.

Justeru, kami katakan, langkah mengadakan gencatan senjata adalah langkah yang baik dan terpuji.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”