#4622: Perlakuan Baik Sebelum Islam: Adakah Dipahalakan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan seperti menyambung silaturrahim, bersedekah dan lain-lain sebelum dia memeluk Islam, adakah dia diberi pahala selepas memeluk Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

(Surah al-Anfal: 38)

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/40) menjelaskan: Maksudnya (berhenti dari melakukan) dari apa yang mereka perbuat berupa kekufuran dan penentangan. Hendaklah mereka masuk Islam, taat dan kembali kepada Allah. Jika demikian, nescaya Allah akan mengampuni mereka atas apa yang telah berlalu. Maksudnya dari kekufurannya, dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya sebagaimana disebut dalam hadis sahih, daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ أُخِذَ بِالْأَوَّلِ وَالْآخِرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam, apa yang dilakukannya pada masa Jahiliyyah (sebelum memeluk Islam) tidak dihukum, dan siapa yang berbuat buruk dalam Islam, akan dihukum dari awal hingga akhir.”

Riwayat al-Bukhari (6921) dan Muslim (334)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, Allah Maha Kaya Lagi Maha Pemurah. Dan Dia boleh menukarkan kebaikan yang kita lakukan dahulu untuk dimasukkan dalam neraca amalan soleh kita selepas memeluk Islam. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: bahawasa sesungguhnya Hakim bin Hizam mengkhabarkan kepadanya, katanya: 

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ أُمُورًا كُنْتُ أَتَحَنَّثُ بِهَا فِي الجَاهِلِيَّةِ، مِنْ صِلَةٍ، وَعَتَاقَةٍ، وَصَدَقَةٍ، هَلْ لِي فِيهَا مِنْ أَجْرٍ؟ قَالَ حَكِيمٌ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ»

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah pandanganmu tentang perkara-perkara kebaikan yang aku lakukan ketika jahiliyah, seperti mengeratkan hubungan silaturahim, memerdekakan hamba dan bersedekah. Adakah padanya ada pahala untukku?” Hakim berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Engkau memeluk Islam bersama dengan pahala kebaikan yang lalu (yang telah engkau kerjakan sebelum ini).”

Riwayat al-Bukhari (5992)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”