#4625: Mimpi di Siang Hari

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah mimpi di siang hari sama seperti di malam hari dari segi kekuatannya dan kebolehpercayaannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan beberapa buah hadith:

Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan

Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Kedua: Sikap kita terhadap mimpi

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: 

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian

Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda: 

رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat al-Bukhari (6987)

Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.

Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan dari Sahih Bukhari.

Justeru kami katakan, mimpi di siang hari hari juga boleh ditafsirkan dan benar, bahkan sebahagian ulama menganggap mimpi di siang hari lebih kuat daripada di malam hari.

Ibn ‘Aun mengatakan: Daripada Ibn Sirin: 

رُؤْيَا النَّهَارِ مِثْلُ رُؤْيَا اللَّيْلِ.

Maksudnya: “Mimpi di siang hari adalah sama seperti mimpi di malam hari.”

Daripada Ishaq bin Abdullah bin Abu Talhah bahawa dia mendengar Anas bin Malik berkata: 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ عَلَى أُمِّ حَرَامٍ بِنْتِ مِلْحَانَ وَكَانَتْ تَحْتَ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، فَدَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَأَطْعَمَتْهُ، وَجَعَلَتْ تَفْلِي رَأْسَهُ، فَنَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ اسْتَيْقَظَ وَهُوَ يَضْحَكُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah masuk ke tempat Umm Haram binti Milhan dan dia adalah isteri kepada ‘Ubadah bin al-Samit. Pada suatu hari Baginda masuk ke tempatnya, dan dia memberi makan kepada Baginda, lalu dia membersihkan rambut Baginda. Lalu Rasulullah SAW pun tidur, kemudian baginda bangun dalam keadaan Baginda ketawa.”

Riwayat al-Bukhari (7001)

Ummu Haram R.Anha lalu berkata: 

فَقُلْتُ: مَا يُضْحِكُكَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي عُرِضُوا عَلَيَّ غُزَاةً فِي سَبِيلِ اللهِ، يَرْكَبُونَ ثَبَجَ هَذَا البَحْرِ، مُلُوكًا عَلَى الأَسِرَّةِ»، أَوْ: «مِثْلَ المُلُوكِ عَلَى الأَسِرَّةِ» – شَكَّ إِسْحَاقُ – قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، فَدَعَا لَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ وَضَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ اسْتَيْقَظَ وَهُوَ يَضْحَكُ، فَقُلْتُ: مَا يُضْحِكُكَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي عُرِضُوا عَلَيَّ غُزَاةً فِي سَبِيلِ اللهِ» كَمَا قَالَ فِي الأُولَى، قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، قَالَ: «أَنْتِ مِنَ الأَوَّلِينَ». فَرَكِبَتِ البَحْرَ فِي زَمَانِ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ، فَصُرِعَتْ عَنْ دَابَّتِهَا حِينَ خَرَجَتْ مِنَ البَحْرِ، فَهَلَكَتْ.

Maksudnya: Aku kemudian berkata: “Apa yang membuatkan kamu ketawa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Aku diperlihatkan (di dalam mimpi) tentang kelompok dari umatku yang berperang di jalan Allah, mereka mengharungi tengah lautan seolah-olah raja di atas takhta” – atau: “Seperti raja di atas takhta”. Ishaq syak (antara dua lafaz ayat itu). Maka aku berkata: “Mohonlah kepada Allah agar aku termasuk dari kalangan mereka.” Baginda pun mendoakannya, kemudian Baginda meletakkan kembali kepalanya lalu tidur. Setelah itu Baginda bangun sambil tertawa, maka aku berkata: “Apa yang membuatmu ketawa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Aku diperlihatkan (di dalam mimpi) tentang sekelompok dari umatku yang berperang di jalan Allah,” seperti yang Baginda sabdakan pada kali pertama. Dia (Umm Haram) berkata: Aku kemudian berkata: “Mohonlah kepada Allah agar aku termasuk dari kalangan mereka.” Baginda bersabda: “Engkau sudah termasuk dari kelompok pertama.” Kemudian dia (Umm Haram) mengharungi lautan sewaktu zaman Mu‘awiyah bin Abi Sufyan, lalu dia terjatuh dari haiwan tunggangannya ketika dia keluar daripada lautan lalu jatuh meninggal dunia.

Riwayat al-Bukhari (7002)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”