#4630: Hak Kesamaan Antara Lelaki Dan Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hak persamaan yang telah ditetapkan oleh syara’ antara lelaki dan perempuan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT: 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa)

(Surah al-Nisa’:1)

 هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا

Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.

(Surah al-’Araf: 189)

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Maksudnya: Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya – isterinya (Hawa);

(Surah al-Zumar:6)

Wanita tidak dicipta dari sesuatu yang berbeza daripada apa yang dicipta dari lelaki, tetapi dicipta daripada dirinya. Juga, terdapat kesamaan antara lelaki dan perempuan kerana kedua-duanya dilahirkan dari makhluk yang diciptakan oleh Allah iaitu Nabi Adam dan isterinya.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas Islam memberikan hak yang sama kepada lelaki dan perempuan dalam  hak-hak yang sama sepenuhnya pada  pelbagai perkara dalam aspek kehidupan setelah mencapai umur baligh  dan berkeahlian. Antaranya adalah sepertimana berikut:

  • Kontrak dan urus niaga

Dalam hal kontrak dan urus niaga, tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam aspek ini. Keduanya berhak untuk melakukan kontrak seperti jual beli, sewa-menyewa, gadai, wakalah, dan wakaf. Sementara di negara Perancis, wanita masih dilarang untuk berurusan dengan hartanya sendiri tanpa persetujuan suaminya.

  • Ekonomi

Dalam aspek ekonomi, wanita memiliki hak seperti lelaki dalam pewarisan, hak untuk memiliki harta melalui usaha dan bekerja, atau melalui pemberian, wasiat, atau mahar. Mereka juga memiliki hak mutlak dalam pengurusan harta yang mereka miliki.

  • Sosial

Dalam hak sosial, wanita memiliki hak untuk memilih pasangannya tanpa paksaan, sama seperti lelaki.

  • Pendidikan

Lelaki dan perempuan memiliki hak yang sama dalam mendapat pendidikan dan menuntut ilmu sebagaimana sama dalam hak untuk mendidik dan membimbing. (Lihat Nizam al-Usrah,2/191)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka

(Surah al-Tahrim: 6)

Diriwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.”

Riwayat Ibn Majah (224)

Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan: Tidak diragukan lagi bahawa Islam adalah agama pertama yang menetapkan prinsip-prinsip hak asasi manusia – baik lelaki atau perempuan – secara umum dalam setiap bidang kehidupan. Islam menetapkan kebebasan manusia untuk memilih kepercayaan dan agamanya, untuk menyatakan pendapatnya, serta untuk hidup dalam keamanan, ketenangan, dan kedamaian. Tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan, atau antara kulit putih dan kulit hitam, semua sama dalam Islam. Tiada yang diberikan kelebihan kecuali melalui amal kebaikan yang membawa manfaat kepada masyarakat.

Justeru, perlu ditekankan bahawa walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam hak lelaki dan perempuan, terdapat juga beberapa aspek dalam kehidupan di mana hak mereka adalah sama. Ini menunjukkan keadilan yang ditetapkan oleh syariat Islam untuk umatnya, suatu keadilan yang tidak wujud sebelum kedatangan Islam.

Perlu diingat bahawa dalam Islam, perbezaan hak antara lelaki dan perempuan tidak bermakna ketidakadilan, tetapi ianya lebih kepada penjagaan fungsi-fungsi spesifik yang sesuai dengan fitrah dan keperluan masing-masing. Ini termasuk tanggungjawab yang berbeza dalam keluarga dan masyarakat, dengan penekanan pada kesetaraan dan keadilan sebagai prinsip utama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 

Wallahua’lam