#4642: Musafahah atau Berjabat Tangan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum bermusafahah atau berjabat tangan, atau dalam bahasa kita bersalaman. Adakah di sana terdapat hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan memang terdapat dalil menunjukkan ke arah itu. Antaranya:

Ibn Mas’ud berkata:

عَلَّمَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ التَّشَهُّدَ، وَكَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ. وَقَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ: دَخَلْتُ المَسْجِدَ، فَإِذَا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ إِلَيَّ طَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ يُهَرْوِلُ حَتَّى صَافَحَنِي وَهَنَّأَنِي.

Maksudnya: Nabi SAW mengajarkanku tasyahud, dan tapak tanganku berada antara kedua telapak tangannya. Ka’ab bin Malik pula berkata: Aku masuk ke dalam masjid, maka aku dapati Rasulullah SAW ada di dalamnya. Lalu Talhah bin ‘Ubaidullah berdiri dan bergegas kepadaku sehinggalah dia bersalaman denganku dan mengucapkan tahniah kepadaku (atas penerimaan taubatku).”

Daripada Qatadah, katanya: Aku bertanya kepada Anas:

أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ.

Maksudnya: “Adakah adanya amalan berjabat tangan dalam kalangan sahabat Nabi SAW?” Beliau menjawab: “Ya.”

Riwayat al-Bukhari (6263)

Berdasarkan dua nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW tidak mengingkari perbuatan berjabat tangan atau bersalaman, bahkan inilah yang dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW apabila bertemu khususnya apabila dapat perkhabaran yang baik dari saudaranya. Semoga ia menambah ikatan keakraban dan ukhuwwah islamiyyah selaras dengan firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Dikatakan bahawa Hammad bin Zaid seorang tokoh ulama besar telah bersalaman dengan Ibn al-Mubarak dengan kedua tangannya. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)