#4645: Pengimarahan Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami konsep pengimarahan masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Masjid merupakan institusi yang penting dalam pembangunan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga ke tahap pengislahan ekonomi dan sosial.

Sejarah membuktikan fungsi masjid dalam memainkan peranan yang cukup luas bagi membina kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Din (cara hidup) melalui fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid. Sejarah Islam menggambarkan begitu tingginya nilai peranan institusi masjid yang dicetuskan pada zaman kegemilangan Islam. Walaupun keadaan dan suasana masyarakat pada zaman Rasulullah SAW berbeza dengan kehidupan masyarakat pada hari ini, namun masyarakat Islam di Malaysia mempunyai matlamat yang sama terutama dalam hal keagamaan.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, dengan adanya sifat-sifat yang tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dalam kalangan golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Ibn Kathir berkata: “Bukanlah yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid-masjid Allah hanya dengan menghiasi dan mendirikan bangunannya saja, akan tetapi memakmurkannya di sini adalah dengan berzikir kepada Allah dan menegakkan syariat di dalamnya, serta membersihkannya daripada kotoran maksiat dan kesyirikan kepada Allah SWT.”

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat  al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang-alik ke masjid. Orang-orang yang memakmurkan masjid dipandang mulia. Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan terdapat beberapa orang salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid, maka perelokkanlah prasangkamu terhadapnya.” Ini seperti mana hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawasanya Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Apabila kamu melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid, maka saksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (3093)

Mengimarahkan dan memakmurkan masjid merupakan satu amalan mulia dan kita sebagai umat Islam sepatutnya melaksanakannya di masjid berdekatan tempat kediaman masing-masing. Oleh itu, proses pengimarahan institusi masjid memerlukan keterlibatan dan kebergantungan kepada masyarakat sekeliling ke arah mencetuskan fenomena baharu dalam mengimarahkan institusi masjid. Jangan biarkan hanya warga tua, golongan yang telah pencen bersendirian memakmurkan rumah-rumah Allah ini, sebaliknya orang-orang muda yang kuat dan bertenaga perlu turut serta berganding bahu memakmurkan rumah Allah demi mencapai kebaikan bersama. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menjinakkan anak-anak muda dan menarik mereka ke masjid boleh menjadikan jiwa mereka terisi, akhlak mereka diunggulkan serta kehidupan mereka lebih bermakna untuk menjadi orang dewasa yang benar-benar mampu menggalas tugas sebagai hamba Allah yang soleh dan pada masa akan datang sebagai pemimpin negara, negeri serta masyarakat. Inilah pemuda yang kita dambakan.

Amat rugi jika keberadaan masjid yang tersergam indah namun ia tidak dimakmurkan dan tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, kerana pihak kerajaan telah mendirikan masjid dan jumlahnya kian bertambah seiring dengan peningkatan jumlah penduduk, pembukaan tempat baharu sama ada perumahan, perindustrian atau pusat pendidikan. Berdasarkan portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jumlah masjid di seluruh negara adalah sebanyak 6,342 buah; surau sebanyak (17,601) dan surau Jumaat (670). Jika kesemua masjid ini dimakmurkan, maka sudah pasti syiar Islam akan terserlah. Walau bagaimanapun yang masih menghantui pihak pengurusan masjid ialah kegagalan ahli kariah memakmurkan masjid. Perkara ini diakui pihak berkuasa agama negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri dan JAKIM.[1]

Tegasnya, kepimpinan masjid memikul amanah yang besar untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid sebagai pusat yang diasaskan atas prinsip iman dan takwa. Sekiranya diamati, pengimarahan dari sudut kerohanian lebih utama berbanding tanggungjawab pengimarahan dari sudut fizikal dan luaran, namun apa yang berlaku pada masa kini adalah sebaliknya. Oleh sebab itu, Allah SWT menempelak masyarakat arab jahiliyyah yang hanya memfokuskan pengimarahan Masjidil Haram dari sudut fizikal tetapi mengabaikan pengimarahan dari sudut maknawi dan kerohanian apabila enggan beriman kepada Allah SWT dan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Allah  SWT berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ ٱلْحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَجَـٰهَدَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Adakah kamu menyangka bahawa khidmat memberikan minuman kepada jemaah yang mengerjakan haji, dan khidmat memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama pada sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum yang zalim.”

(Surah al-Taubah: 19)

Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)

Pentadbir yang diberi amanah untuk mengendalikan urusan masjid hendaklah sentiasa memikirkan cara untuk memperkasa dan memakmurkan masjid. Hal ini, hendaklah diambil cakna oleh semua pihak termasuk jua ahli jemaah itu sendiri. Beberapa cadangan dalam memperkasakan masjid yang perlu diberi perhatian antaranya:

Jadikan masjid mesra masyarakat dan jemaah, sehingga hati dan fikiran masyarakat dapat bergantung kepada masjid seperti dalam hal ekonomi, pembelajaran dan sebagainya.

Melaksanakan kempen Jom Ke Masjid dari semasa ke semasa. Galakan, pujukan dan rayuan kepada masyarakat untuk ke masjid adalah amat penting dan bukannya bertindak dengan menghukum, mencela ataupun menghina mereka yang tidak ke masjid. Gambarkan kepada mereka kelebihan golongan yang sentiasa hadir ke masjid seperti mana hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘ad R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظَّلَامِ بِالنُّورِ التَّامِّ

Maksudnya: “Berilah berita gembira kepada orang yang berjalan kaki di dalam kegelapan malam menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1499). Al-A’zomi berkata bahawa sanadnya sahih

Hal ini diharap dapat menjadikan umat Islam merealisasikan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam Surah al-Taubah, ayat ke-18: “Hanya saja yang memakmurkan masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi sebahagian daripada golongan yang mendapat petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/189-191)

Kesimpulan

Kita hendaklah berusaha memakmurkan masjid dan surau di muka bumi Allah SWT ini dengan kepercayaan dan keimanan yang tinggi, di samping menghilangkan segala bentuk kesyirikan dan juga perkara yang menyeleweng.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/04/551547/pengurusan-masjid-surau-perlu-berasaskan-jemaah, 28 November 2023.