#4651: Al-Quran Diturunkan Secara Beransur-Ansur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan hikmah kenapa al-Quran diturun secara beransur-ansur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ تَنزِيلًا ٢٣ فَٱصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تُطِعْ مِنْهُمْ ءَاثِمًا أَوْ كَفُورًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu al-Quran secara beransur-ansur. Lalu bersabarlah terhadap hukum Tuhanmu dan janganlah kamu taati golongan yang berdosa dan kufur dalam kalangan mereka.”

(Surah al-Insan: 23-24)

Allah SWT berfirman menegaskan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah secara beransur-ansur dengan hikmah-Nya yang tertentu. Ia berbeza dengan penurunan kitab samawi sebelumnya yang diturunkan secara sekaligus, iaitu Taurat, Zabur dan Injil. Dengan penurunan al-Quran secara beransur-ansur ini, ia memudahkan Nabi SAW dan para sahabat  menghafaz, menghayati dan mengamalkanya. Selain itu, ia juga menjadi motivasi serta menyuntik semangat baharu buat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam meneruskan dakwah. Dengan penurunan sebegini juga memudahkan Nabi SAW untuk berhujah sekaligus mematahkan segala provokasi dan dakwaan golongan musyrik yang mengatakan Baginda seorang tukang tilik, ahli sihir dan bermacam lagi. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 15/226; al-Tafsir al-Munir, 29/304)

Dengan ujian dan rintangan yang hebat dalam dakwah sepanjang zaman, khususnya di awal penyebaran Islam maka Allah SWT memerintahkan kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam agar sentiasa bersabar dan menegah diri daripada menuruti kehendak orang kafir, fasiq dan para pendosa kerana telah menjadi sunnatullah bahawa jalan dakwah itu sentiasa mendapat tentangan daripada golongan tersebut. Ia juga berlaku dengan kehendak dan qadha’ qadar Allah SWT yang mengizinkan orang kafir memperlakukan sedemikian rupa terhadap risalah-Nya, sudah tentu semua itu berlaku dengan kebijaksanaan Allah SWT merancang dan menangguhkan kemenangan. (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 901)

Hikmah Penurunan Al-Quran Secara Beransur-Ansur, Tidak Secara Sekali Gus

  • Mengukuh dan memantapkan hati Nabi Muhammad SAW dalam mengharungi perjalanan dakwah yang sangat mencabar selain daripada tentangan hebat daripada kaumnya berupa azab, cacian dan gangguan berterusan. Justeru banyak ayat menceritakan tentang kisah para rasul terdahulu yang mengalami tentangan yang sama seperti Baginda SAW bahkan lebih teruk daripada itu. Dalam kisah-kisah tersebut Allah SWT memerintahkan agar mereka bersabar, cekal dan tabah sehingga datang pertolongan daripada Allah SWT. Kisah-kisah tersebut secara tidak langsung memantapkan hati Nabi SAW kerana bukan sahaja Baginda keseorangan yang menghadapi tentangan kaumnya, bahkan turut dilalui oleh para rasul sebelumnya.
  • Memudahkan untuk menghafaz dan memahaminya Sesungguhnya al-Quran diturunkan kepada umat yang tidak tahu menulis dan membaca, iaitu ummi. Meskipun begitu mereka dianugerahkan dengan ingatan yang kuat dan mampu menghafaz dan mengingati dengan baik. Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, ia menjadi sukar untuk dihafaz, apatah lagi untuk dihayati dan diamalkan. Lantaran itu Allah SWT dengan hikmah-Nya telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur bagi memudahkan proses hafazan dan pemahamanan secara berterusan.
  • Penurunan al-Quran secara beransur-ansur memudahkan proses pensyariatan sesuatu hukum Islam secara berperingkat. Dengan penurunannya secara beransur-ansur, permulaan ayat yang diturunkan di Makkah adalah berkaitan dengan pemantapan iman kepada Allah SWT, malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat, hisab, syurga, neraka dan sebagainya. Semua perkara itu diperkuatkan dengan hujah dan dalil yang dapat meruntuhkan kepercayaan golongan penyembah berhala terhadap berhala mereka serta digantikan dengan akidah Islam dalam jiwa mereka. Selain itu ia juga untuk mencabut penyakit-penyakit masyarakat Arab Jahiliah yang suka menindas golongan yang lemah, dan menggantikan dengan akhlak mulia. Antara hikmah penurunan al-Quran secara beransur-ansur ialah memudahkan proses pengharaman arak yang sudah sebati dalam kehidupan mereka dalam empat fasa; fasa 1 dalam Surah al-Nahl ayat 67, fasa 2 dalam Surah al-Baqarah ayat 219, fasa 3 dalam Surah al-Nisa’ ayat 43, fasa empat dan terakhir yang membawa kepada pengharaman total adalah pada Surah al-Maidah ayat 90. Akhirnya semua sahabat dapat menerima pengharaman dengan hati yang terbuka. Begitu juga dalam perkara-perkara usul dalam bab muamalat diturunkan di Makkah tetapi huraian hukum hakamnya diturunkan di Madinah seperti ayat hutang dan pengharaman riba. Ayat berkaitan hubungan kekeluargaan diturunkan di Makkah, tetapi hak-hak suami isteri, kewajipan hidup suami isteri, kelangsungan hidup suami isteri dan perceraian serta cara pewarisan diterangkan dalam ayat madani. Begitu juga dengan syariat Islam yang difardhukan seperti solat, zakat, haji, puasa dan lain-lain. Semuanya itu difardhukan secara beransur-ansur dan bukan dalam satu masa. Aisyah R.Anha berkata, “Penurunan yang pertama adalah surah mufassal yang menerangkan tentang syurga dan neraka. Apabila manusia sudah mantap imannya diturunkan halal dan haram. Jika sekiranya ayat pertama diturunkan “jangan kamu minum arak” mereka akan menjawab kami tak akan meninggalkan arak selama-lamanya. Jika ayat pertama diturunkan “jangan kamu berzina” nescaya mereka akan menjawab kami tak akan meninggalkan zina selama-lamanya.”
  • Teguran secara langsung kepada Nabi SAW dan umat Islam serta pembongkaran sikap golongan munafik dan konspirasi mereka. Dengan penurunan al-Quran secara beransur, segala teguran dan nasihat kepada Nabi SAW dan para sahabat dapat disampaikan secara langsung seperti dalam Surah Abasa ayat 1-12, Surah al-Kahfi ayat 23-24, dan lain-lain. Begitu juga konspirasi jahat golongan munafik dibongkarkan Allah SWT satu persatu dalam Surah al-Taubah, Surah al-Munafiqun dan lain-lain.
  • Hujah yang kuat bahawa al-Quran adalah dari Allah SWT. Walaupun tempoh penurunan al-Quran ialah selama 23 tahun, tetapi penyusunan ayat dan surahnya amat berkait rapat antara satu sama lain dan keseluruhan al-Quran mempunyai rangkaian ayat yang amat teguh dan rapat. Susunan ayat dan surah al-Quran ibarat susunan mutiara yang menjadikan rantai yang indah. Ini semua menunjukkan bahawa al-Quran adalah daripada Allah SWT. Jika ia datang dari ciptaan manusia sudah tentu berlaku percanggahan ayat dan makna sebagaimana firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَـٰفًۭا كَثِيرًۭا

Maksudnya: “Patutkah mereka bersikap demikian, tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

(Surah al-Nisa’: 82)

Kesimpulan

Ambillah al-Quran untuk dijadikan petunjuk dan panduan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Quran ibarat peta penunjuk jalan bagi menuju ke akhirat dengan selamat, menggunakan peta selain al-Quran menyebabkan kehidupan manusia kucar-kacir, hilang arah dan sesat jalan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”