#4652: Tafsiran al-Mursalat (ٱلْمُرْسَلَـٰت)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan tafsiran mursalat daripada ahli tafsir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱلْمُرْسَلَـٰتِ عُرْفًۭا

Maksudnya: “Demi angin yang bertiupan.”

(Surah al-Mursalat: 1)

Surah al-Mursalat ini dimulakan dengan sumpahan Allah SWT terhadap ciptaan-Nya untuk menegaskan bahawa hari kiamat pasti akan berlaku. Al-Razi menyatakan kalimah al-Mursalat yang bermaksud “yang diutus” ini merujuk kepada empat makna iaitu malaikat, angin, al-Quran dan para rasul. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/764-766)

Allah SWT membuka surah ini dengan bersumpah terhadap beberapa fenomena agung ciptaan-Nya. Ayat sumpah ini bermula daripada ayat 1 hingga 6. Sementara jawab sumpah tersebut dinyatakan dalam ayat 7 dan seterusnya. Menurut al-Razi, ayat-ayat sumpah ini boleh membawa empat maksud iaitu malaikat, angin, al-Quran dan para rasul. Berikut dinukilkan empat tafsiran tersebut secara ringkas agar dapat dimanfaatkan serta menyerlahkan keunggulan bahasa al-Quran:

  • Tafsiran al-Mursalat dengan makna malaikat.

Allah SWT bersumpah dengan ciptaan-Nya yang agung berupa para malaikat yang diutuskan-Nya membawa rahmat ilahi. Ia terbang dengan begitu kencang dan pantas kerana penciptaan malaikat adalah daripada unsur cahaya (nur) yang sangat laju. Kelajuannya sangat kencang dan pantas sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah al-Ma‘arij ayat 4 dan Surah Fatir ayat 1, bahawa malaikat terbang dengan sayapnya dua, tiga dan empat di ruang angkasa dengan perkiraan 1 hari di dunia yang bersamaan dengan 50,000 tahun. Kemudian, Allah SWT bersumpah dengan malaikat Mikail A.S yang menyebarkan rahmat Allah SWT seluas-luasnya. Allah SWT juga bersumpah dengan al-Quran yang merupakan kalam-Nya yang membezakan di antara yang benar dan dusta, apa yang diperintahkan Allah SWT dan apa yang dilarang-Nya agar manusia selamat. Wahyu itu juga adalah peringatan, maka sesiapa yang bersalah dan bersegera bertaubat, pastinya akan diampunkan oleh Allah SWT. Sebaliknya sesiapa yang melakukan maksiat dan tidak memperbaiki dirinya dan tidak meminta keampunan Allah SWT, pastinya akan diancam dengan siksaan api neraka.

  • Tafsiran al-Mursalat dengan makna angin.

Allah SWT bersumpah dengan ciptaan-Nya yang agung berupa fenomena angin yang mempunyai pelbagai kategori, antaranya angin sepoi-sepoi bahasa yang membawa udara segar untuk menyuburkan bumi. Lazimnya, angin ini yang menyatukan benih tumbuhan antara jantan dan betina sehingga mengeluarkan buah yang subur. Selain itu, terdapat angin jenis ribut taufan yang membadai lautan dan daratan sehingga merosakkan alam dan membawa kemusnahan yang teruk sebagaimana angin yang membadai kaum ‘Ad. Selain ribut taufan, terdapat juga jenis angin yang menyebar seluas-luasnya, baik menyebarkan rahmat, atau pun menyebarkan azab seperti penyakit wabak yang dibawa melalui medium udara. Maka, kesemua jenis angin ini menjadi perumpamaan bagi keteguhan iman manusia dan sebaliknya. Iman yang tidak kukuh pasti yang jatuh tumbang dengan godaan dunia, sebaliknya iman Mukmin yang teguh umpama akar pohon yang mencengkam kuat bumi serta tidak terkesan dengan tiupan angin kencang. Hembusan angin ini umpama peringatan bagi manusia, tanpa udara (oksigen) juga akan dimatikan manusia. Allah Maha Berkuasa atas setiap diri manusia. Maka, siapa yang bertaubat, Allah SWT pasti akan mengampuninya. Namun, jika tetap kufur maka Dia akan mengazabnya di neraka kelak.

  • Tafsiran al-Mursalat dengan makna al-Quran.

Allah SWT bersumpah dengan al-Quran yang merupakan kalam-Nya yang diturunkan oleh Jibril A.S kepada Nabi Muhammad SAW. Ayat-ayat al-Quran ini membawa rahmat dan kebaikan kepada manusia juga mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya ilmu yang terang benderang. Pengaruh ayat al-Quran menyerap masuk ke dalam hati-hati manusia perlahan-lahan umpama angin sepoi-sepoi bahasa. Namun lama kelamaan, ia semakin kukuh dan mantap sehingga mampu mengubah kepercayaan manusia sehingga tumbangnya kemunafikan, kekufuran, kemusyrikan dan keegoan manusia, dan diganti dengannya ketundukan dan kepatuhan kepada-Nya. Ayat al-Quran penuh hikmah ini tersebar seluas-luasnya ke seluruh alam, timur dan barat. Penurunannya benar-benar membezakan antara yang hak dan batil kerana al-Quran diturunkan sebagai al-zikr iaitu peringatan. Lalu mereka yang menyedari kesilapan mereka dan bertaubat, maka Allah SWT akan memgampuni dosa mereka, dan orang kafir akan diazab di neraka kelak. Manakala tafsiran al-Mursalat yang bermaksud para rasul lebih kurang sama dengan tafsirannya sebagai al-Quran. Himpunan makna malaikat, angin, al-Quran dan para rasul dalam sumpah-sumpah ini mempunyai persamaan daripada aspek kepantasan, halus dan menyebar luas kesannya ke seluruh tempat.

Setelah itu, datanglah “jawab al-qasam” pada ayat ke-7 bagi menjelaskan mesej utama yang hendak disampaikan di sebalik sumpahan-sumpahan tersebut dibuat, bahawa sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu tentang hari kiamat dan pembalasannya itu adalah benar-benar pasti. Hari itu pasti terjadi. Maka, Allah SWT meneruskan penjelasan tentang hari kiamat dengan menampilkan perkara-perkara dahsyat dan mengerikan yang akan berlaku. Pada hari itu, hancurnya alam semesta seperti terhapusnya bintang-bintang dan hilang lenyap cahayanya, langit terbelah lalu menggugurkan segala yang ada di langit jatuh ke bumi, gunung-ganang hancur lebur berterbangan tanpa meninggalkan kesannya, dan apabila para rasul ditentukan waktunya untuk dipanggil menjadi saksi terhadap umatnya, maka sudah tentu manusia akan menerima balasan masing-masing. Jika ditanya, “Ke hari apakah perkara-perkara yang besar itu ditangguhkan?” Jawabnya, “Ke hari keputusan.” Kemudian Allah SWT mengagungkan hari itu dengan firman-Nya, “Dan tahukah kamu apakah hari keputusan itu? Maka, kecelakaan besarlah pada hari itu bagi orang yang mendustakan apa yang dijanjikan oleh rasulnya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/297-299)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”