#4653: Tafsiran Ayat 20 Surah al-Mursalat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsiran sebenar ayat 20 daripada surah al-Mursalat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ نَخْلُقكُّم مِّن مَّآءٍۢ مَّهِينٍۢ

Maksudnya: “Bukankah Kami telah menciptakan kamu daripada setitis air yang hina dan lemah?”

(Surah al-Mursalat: 20)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Allah SWT menyatakan “Adapun penciptaan kamu, wahai manusia, dari air yang hina, iaitu dalam keadaan yang sangat rendah, yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 904)

Perbahasan Ulama Tentang Terjemahan Ayat 20: (أَلَمْ نَخْلُقكُّم مِّن مَّآءٍۢ مَّهِينٍۢ)

Isu terjemahan al-Quran ke dalam bahasa-bahasa asing di dunia seperti bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Jepun, Itali, German dan sebagainya bukanlah satu isu baharu, khususnya yang terkait dengan ketidaktepatan maksud yang ingin disampaikan. Ini kerana keunikan dan kehebatan bahasa al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh bahasa-bahasa lain yang ada di dunia. Ditambah pula dengan faktor keterbatasan perbendaharaan kata dalam bahasa asing yang tidak mampu menampung maksud sebenar sesuatu yang dinyatakan dalam bahasa al-Quran, iaitu bahasa arab. Namun, atas dasar menyebarluaskan ajaran Islam ke seluruh pelosok dunia, adalah menjadi suatu kewajipan untuk setiap umat mengambil langkah proaktif bagi menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa ibunda setiap negara kerana ia salah satu medium terbaik untuk berdakwah kepada non-muslim sama ada di barat, benua Eropah dan benua Asia. Terjemahan al-Quran yang dibangunkan oleh umat Islam lebih baik dan dipercayai berbanding terjemahan yang dibuat oleh non-muslim seperti orientalis kerana ia terdedah kepada salah faham dan pengkhianatan gara-gara sifat hasad dengki mereka kepada Islam yang sudah berakar umbi sejak dari dahulu lagi.

Dengan kebaikan dan manfaat yang sangat besar daripada terjemahan al-Quran ke bahasa-bahasa asing di dunia, maka isu ketidaktepatan terjemahan adalah suatu isu yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Antaranya perbahasan ulama tentang terjemahan ayat 20 (أَلَمْ نَخْلُقكُّم مِّن مَّآءٍۢ مَّهِينٍۢ) yang mempunyai beberapa versi terjemahan dalam bahasa Melayu seperti berikut:

  • Terjemahan Pimpinan Rahman oleh Abdullah Basmieh: “Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang?”
  • Terjemahan Yusuf Zaki: “Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?”
  • Terjemahan Mujamma: “Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?”
  • Terjemahan HAMKA: “Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang lemah?”

Menurut HAMKA beberapa tafsir menterjemahkan ( مِّن مَّآءٍۢ مَّهِينٍۢ ) sebagai air yang hina. Kalimah (مَّهِينٍۢ) dimaksudkan sebagai hina, sedangkan makna hina tidaklah begitu tepat bagi menjelaskan sifat air mani kerana hina bagi dalam masyarakat melayu adalah sesuatu yang rendah dan negatif. Seseorang yang rendah akhlaknya atau budi pekertinya disebut seorang yang hina. Rakyat yang tidak mempunyai darah bangsawan juga disebut hina. Terjemahan pertama al-Quran ke dalam bahasa Melayu dalam abad ketujuh belas (kira-kira sekitar tahun 1620) oleh Syeikh Abd al-Rauf mentafsirkan (مَّهِينٍۢ) sebagai dhaif yang bermaksud lemah.

Menurut HAMKA juga, terjemahan (مَّهِينٍۢ) sebagai lemah lebih dekat maksudnya kerana air mani lebih lemah daripada air biasa. Air biasa mampu meruntuhkan gunung, menghantam lurah dan membelah sungai dan menjadi lautan. Kalau tiada percantuman antara mani lelaki dan perempuan dan membentuk manusia, ia sekadar air yang lemah. Malah dalam perbahasan fiqh, terdapat perbahasan ulama sama ada air mani najis atau tidak, manakala dalam mazhab syafie ia tidak dikira najis. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/304-305)

Kesimpulan

Manusia perlulah merenungi penciptaan diri mereka sendiri yang diciptakan daripada setitis air yang lemah sehingga menjadi manusia yang sempurna. Dengan itu, akan lahirlah sifat syukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan. Daripada pemerhatian dan renungan penciptaan alam semesta yang begitu indah dan ajaib, manusia pasti akan mendapati bahawa hebatnya penciptaan alam dan pasti ada Tuhan Yang Menciptakannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”